Saturday, March 8, 2025

RAMADAN SERIES 2025 - MASJID & PUSAT ISLAM - MASJID 16 - MASJID KUALA DULANG - JELEBU NEGERI SEMBILAN

Assalamualaikum.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

MASJID 16 - MASJID KUALA DULANG - JELEBU NEGERI SEMBILAN


🔵Masjid Kuala dulang ialah masjid yang tertua di Jelebu. Dianggarkan keujudan masjid ini adalah sekitar 400 tahun. Ia boleh memuatkan seramai 500 orang jemaah.
🔵Ia diasaskan Dato' Nika dan Mudim Khatib Raja, pendakwah dari Minang kabau yang mula-mula menyebarkan agama islam di Jelebu pada abad ke 16. 
🔵Kedua-duanya telah meneroka kawan perkampungan yang kemudian dinamakan Kampung Peninjau. 
🔵Bagaimanapun, kedua-dua pendakwah berkenaan yang dikatakan antara orang yang terawal membawa ajaran Islam ke daerah itu, ghaib begitu sahaja selepas masjid siap dibina beberapa tahun kemudian.


🔵Masjid ini asalnya sebuah bangsal beratap ijuk yang menjadi tempat pendakwah itu berteduh. Bangsal inilah yang akhirnya dibangunkan menjadi sebuah masjid dan dikenali sebagai Masjid Kuala Dulang (Kedulang). Pada asalnya masjid ini dibina tanpa menggunakan paku, sebaliknya dipasak. 


🔵Nama masjid ini diambil dari peristiwa kehadiran dulang berisi makanan yang tidak diketahui siapa menghidangkannya. Walau seramai mana jemaah yang hadir, makanan sentiasa mencukupi. Setelah beberapa tahun, dulang itu hilang begitu sahaja.


Sumber: bharian.com.my/
🔵Bukan sekadar dikenali sebagai masjid tertua di Jelebu, Negeri Sembilan, sebaliknya misteri dan sejarah silam Masjid Kuala Dulang, terletak di Kampung Peninjau, kira-kira 1.5 kilometer (km) dari pekan Kuala Klawang, menjadikannya antara produk pelancongan popular di daerah berkenaan.
🔵Difahamkan, bukan hanya penduduk tempatan, bahkan pengunjung dari luar Negeri Sembilan, termasuk Singapura sering berkunjung ke Masjid Kuala Dulang.


🔵Kini, Masjid Kuala Dulang dikenali dengan nama baharu, Masjid Warisan Kuala Dulang sebagai tarikan kepada pengunjung yang ingin melihat keunikannya.
🔵Pengerusi Masjid Warisan Kuala Dulang, Basri Abdul Aziz, 54, berkata dulang misteri itu dikatakan benar-benar berlaku menerusi beberapa versi cerita disampaikan beberapa penduduk awal yang menetap di Kampung Peninjau.


🔵Dulang misteri itu wujud ketika jemaah selesai menunaikan solat Zuhur ketika masjid itu mula dibuka. 
🔵Kisah bermula ketika penduduk berhenti rehat untuk solat Zuhur. Selesai solat, mereka terkejut kerana ada dulang yang penuh dengan makanan, iaitu nasi, lauk seperti ikan dan sayur di luar masjid. 
🔵Setiap hari selepas solat Zuhur, dulang itu muncul bersama makanan sehingga pembinaan masjid siap. Tiada siapa tahu siapa yang meletakkan dulang itu. Jika ada musafir yang datang, mereka juga berpeluang merasai makanan dalam dulang itu yang sentiasa mencukupi untuk semua orang.


🔵Bagaimanapun, dulang misteri itu dikatakan ghaib sejak 300 tahun lalu selepas seorang jemaah tidak memegangnya dengan betul, lalu terhempas dan pecah.
🔵"Namun, cerita mengenai dulang misteri itu masih diperkatakan hingga kini. Lebih unik, atap ijuk yang asal ketika mula-mula masjid ini dibangunkan masih kekal hingga sekarang dan kini dijadikan atap mimbar," jelas Basri.


🔵Sementara itu, Tok Siak, Mohd Sanin Gudang, 62, berkata tabuh yang berada di perkarangan masjid berkenaan diperbuat daripada kayu hutan dan kulit lembu. Usianya pula dikatakan sama dengan usia masjid yang dibina pada abad ke-16.
🔵Kemunculan tabuh ini juga agak misteri. Kisahnya bermula apabila sebaik masjid ini siap, orang kampung bingung memikirkan cara mahu mengajak penduduk untuk datang ke masjid.
🔵Pada suatu malam, hujan lebat menyebabkan air dari Sungai Triang di hadapan masjid melimpah.  Keesokan hari, muncul sebatang pokok besar dipercayai dihanyutkan air sungai betul-betul di hadapan masjid. Kayu pokok itulah yang digunakan sebagai tabuh.


🔵Perkara pelik lain yang diceritakan mengenai masjid berkenaan apabila pernah berlaku dua kali banjir besar iaitu sebelum merdeka dan pada 1970, tetapi masjid berkenaan tidak ditenggelami air, walhal kedudukannya terletak di tebing Sungai Batang Jelebu. Kampung lain berhampiran sungai, semuanya ditenggelami air.


Terdapat juga versi lain yang hampir serupa mengenai hidangan dalam dulang.
🔵Mengikut cerita penduduk, dulang aneh itu wujud ketika jemaah selesai menunaikan sembahyang zuhur ketika masjid itu mula dibuka.
🔵Selesai berjemaah, dikatakan ada di kalangan jemaah yang lapar ternampak sebuah dulang di atas busut besar yang terletak di tengah-tengah sawah berdekatan masjid dan di tepi busut itu pula ada pusar air.
🔵Seorang jemaah mendapati ia berisi makanan yang lengkap dengan nasi serta gulai.


Sumber: Majalah 'WARISAN' oleh Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Sembilan Keluaran 6, 1981.
Tajuk artikel: SEJARAH MASJID KUALA DULANG
Disusun semula oleh Mohd Isa Jadi daripada karangan asal Encik Ismail Abdullah.
🔵Seperti tempat-tempat lain, daerah Jelebu di Negeri Sembilan ini juga mempunyai banyak tempat-tempat bersejarahnya yang menarik. Di antara tempat-tempat bersejarah yang menarik ini, mungkin yang paling terkenal ialah sebuah masjid yang dianggap sebagai masjid yang tertua sekali di daerah ini, yang dipanggil Masjid Kuala Dulang.
🔵Disebabkan tiadanya bukti-bukti sejarah yang nyata, maka penulisan mengenai sejarah asal usul Masjid Kuala Dulang ini tidaklah dapat dilakukan secara ilmiah dan terpaksalah didasarkan semata-mata kepada cerita-cerita mulut orang tua-tua yang telah diwarisi secara turun temurun sejak zaman berzaman dahulu. 


🔵Justru kerana itu, maka tarikh yang sebenarnya bila masjid ini dibina tidaklah dapat ditetapkan. Namun adalah dipercayai bahawa masjid ini telah diasaskan sejak awal kedatangan Islam ke daerah Jelebu ini, mungkin pada abad ke 16 atau 17 dahulu, iaitu semasa penduduk-penduduk daerah ini masih terdiri dari suku-suku kaum orang asli lagi.
🔵Masjid Kuala Dulang ini adalah sebuah masjid yang dianggap sebagai keramat dan berpuaka oleh penduduk-penduduk di daerah Jelebu ini dan di Negeri Sembilan ini amnya pada ketika itu. 


🔵Masjid ini terletak di suatu kawasan tanah lapang dan berpamah, di tepi tebing sebatang sungai yang disebut sebagai Sungai Lumut atau Batang Jelebu, di kariah Kampung Peninjau. Jauhnya ialah lebih kurang 3 kilometer (2 batu) dari pekan Kuala Klawang.
🔵Masjid Kuala Dulang ini pada asalnya adalah beratapkan ijuk. Dikatakan bahawa terdapat dua buah masjid lagi, pun beratapkan ijuk, yang sama keturunan "puakanya" dengan Masjid Kuala Dulang ini, iaitu sebuah di Kampung Majau di daerah Kuala Pilah, manakala yang sebuah lagi ialah di Karak dalam negeri Pahang. 


🔵Menurut cerita orang tua-tua, Puaka di Masjid Kuala Dulang ini adalah Puaka yang terkanan sekali di antara Puaka-Puaka seketurunan di ketiga-tiga buah masjid itu. 
🔵Oleh kerana itulah maka dikatakan bahawa jika sekiranya seseorang itu telah berniat untuk membayar sesuatu nazar di Masjid Dulang ini, maka nazarnya itu tidak boleh tidak mestilah dibayar di Masjid Kuala Dulang juga, tidak boleh dibayar di Masjid Majau atau di Masjid Karak. 
🔵Sebaliknya pula, jika sekiranya seseorang itu berniat untuk membayar sesuatu nazar di Masjid Majau atau di Masjid Karak, maka nazar itu boleh pula dibayar di Masjid Kuala Dulang.


🔵Merujuk semula kepada asal usulnya Masjid Kuala Dulang ini, adalah dipercayai bahawa sebelum kedatangan Islam ke daerah Jelebu ini, penduduk-penduduk di sini adalah terdiri dari orang-orang asli (Sakai) yang diketuai oleh seorang Batin, bernama Batin Moyang Canggai Besi. Isteri Batin Moyang Canggai Besi ini bergelar Moyang susu Empat. Mereka mempunyai seorang anak lelaki bernama Batin Maabud. 
🔵Kaum Sakai ini membuat tempat kediaman mereka di tepi tebing Sungai Lumut (yang sekarang disebut Batang Jelebu).


🔵Adalah juga dikatakan bahawa agama Islam telah dibawa masuk ke daerah Jelebu ini dari Minangkabau, iaitu oleh seorang yang bergelar Datuk Nika bersama seorang mudim yang bernama Mudim Khatib Raja. 
🔵Sejak dari pertemuan Datuk Nika dan Mudim Khatib Raja bersama Batin Moyang Canggai Besi maka mulalah terjalin hubungan yang ikrab di antara kedua-dua belah pihak itu. 
🔵Melalui hubungan yang ikrab ini juga, maka dapatlah Datuk Nika dan Mudim Khatib Raja memujuk Datuk Batin Canggai Besi dan semua anak buahnya supaya menganut agama Islam yang maha suci. 


🔵Kemudiannya lalulah mereka mendirikan sebuah bangsal di situ, yang beratapkan ijuk, untuk dijadikan sebagai tempat belajar hukum-hukum agama. Kononnya bangsal yang beratapkan ijuk ini jugalah kemudiannya dijadikan sebagai masjid, yang menjadi asas kepada bangunan Masjid Kuała Dulang yang ada pada hari ini.
🔵Kononnya juga diceritakan bahawa suatu keanihan telah berlaku dalam masa mereka melakukan kerja-kerja meneroka tempat kediaman dan tempat bercucuk tanam di Peninjau itu. 


🔵Kejadian anih itu ialah sebaik sahaja mereka selesai menjalankan kerja-kerja pada setiap hari, mereka sentiasa mendapati sedulang nasi siap sedia terhidang di dalam masjid (bangsal) itu, yang mencukupi untuk mereka semua, dengan tiada diketahui siapakah gerangan yang menghantarnya ke situ.
🔵Kejadian anih ini berterusan sehinggalah segala kerja-kerja penerokaan itu selesai dijalankan dan kawasan perkampungan di Peninjau itu siap dibina dengan sempurnanya. 


🔵Akhirnya, pada suatu malam Datuk Nika telah bermimpi bahawa yang menghantar nasi sedulang setiap hari itu ialah Keramat yang menunggui Masjid Kuala Dulang itu dan juga dua buah lagi masjid yang sama kejadiannya di Majau dan di Karak itu.
🔵Sesudah saja kawasan perkampungan di Peninjau itu sempurna dibuka serta didiami orang, maka pada suatu hari Datuk Nika dan Mudim Khatib Raja telah bercadang pula untuk pergi meneroka di tempat lain. 
🔵Tetapi setelah bersiap-siap, dengan tidak semena-mena pula kedua-duanya telah ghaib di situ, dengan tidak diketahui langsung kemanakah gerangan perginya sehinggalah ke hari ini.


🔵Selepas Datuk Nika dan Mudim Khatib Raja ghaib dari pandangan itu Kampung Peninjau terus menjadi maju dan makmur. Sempena kejadian anih nasi sedulang itu, maka masjid yang beratapkan ijuk itu pun disahkan namanya oleh penduduk-penduduk di situ sebagai Masjid Kuala Dulang. 
🔵Manakala tempat Datuk Nika dan Mudim Khatib Raja ghaib itu dijadikan orang pula sebagai tempat bagi pawang-pawang di Jelebu ini membakar kemenyan dan berseru kepada Keramat dan Puaka Masjid Kuala Dulang itu. Letaknya tempat ini ialah di tepi sebelah kiri jalan masuk ke masjid itu.


🔵Pada hari ini (1981) Masjid Kuala Dulang ini masih lagi menjadi tumpuan bagi mereka yang ingin membayar niat atau nazarnya di situ. Walaubagaimana pun bangunan masjid itu yang ada pada hari ini tidaklah lagi beratapkan ijuk kerana sudah diganti dengan atap zing. 
🔵Bangunan baru masjid ini sebenarnya telah dibina di zaman Datuk Abdullah bin Datuk Panglima Muda memerintah sebagai Datuk Undang Luak Jelebu ini (1902-1945). 


🔵Menurut ceritanya. semasa dilakukan istiadat menegakkan tiang tengah Masjid Kuala Dulang itu, tiada siapa pun yang dapat menegakkan tiang tersebut, walaupun sudah beberapa kali dilakukan secara beramai-ramai. 
🔵Sesudah semua ikhtiar gagal untuk menegakkan tiang itu maka akhirnya tampillah Datuk Undang Abdullah ke hadapan, lalu mengangkat dan menegakkannya dengan mudah sahaja tanpa dibantu oleh sesiapa pun.


🔵Diberitakan juga, tukang yang menyiapkan bangunan masjid itu ialah seorang tukang yang berasal dari Kampung Terachi, Kuala Pilah, bernama Tukang Akob (Yaakob). Beliau telah dibantu oleh seorang tukang lagi, bernama Tukang Omar. 
🔵Kononnya tukang berdua itu telah menyiapkan bangunan masjid yang baru itu tanpa menggunakan walau barang sebatang paku besi pun.


🔵Pada hari ini (1981), bangunan asalnya yang berbentuk limas itu, dari bahagian ruang tengahnya hinggalah ke mikrab, masih lagi wujud dalam bentuk seperti ianya mula dibina di zaman Datuk Undang Abdullah dahulu. 
🔵Namun sejak selepas kemerdekaan, beberapa tokok tambah kepada bangunan asal itu sudah dilakukan, terutamanya di bahagian hadapan masjid itu, untuk mengisi keperluan orang-orang yang datang berjemaah ke situ, yang kian hari kian bertambah ramai.


🔵Begitu juga bangunan itu sekarang sudah pula dibekalkan dengan api elektrik dan air paip. 
🔵Di samping berbagai perubahan yang telah dialami oleh bangunan Masjid Kuala Dulang itu sendiri, perubahan yang agak ketara juga telah berlaku pada sungai yang sentiasa mengalir berhampiran dengan masjid itu. 
🔵Kalau pada masa dahulu Sungai Lumut atau Batang Jelebu itu adalah sebatang sungai yang dalam airnya sehingga ada orang mati lemas di situ, pada hari ini sungai itu sudah menjadi cetek, sehinggakan di setengah-setengah tempat airnya hanyalah melebihi sedikit sahaja daripada paras buku lali dalamnya.



Till the next coming entry, inshaAllah. Meanwhile do take care.

No photograph or videos may be reproduced, downloaded, copied, stored, manipulated, or used whole or in part of a derivative work, without written permission from Syed Amran. All rights reserved.

No comments:

Post a Comment