Friday, May 12, 2017

UMRAH 2017 - DAY 05 - LAWATAN & UMRAH KE 3

Pada hari ke 5 dalam program Umrah 2017 kami ini, kami telah membuat lawatan ke bandar Taif. Di sana kami telah melawat Masjid Abdullah bin Abbas, Masjid Ku', pasar buah-buahan dan Miqat Qarnul Manazil. 

Pada hari ke 5 ini juga kami telah dapat melakukan sekali lagi ibadah umrah. Syukur Alhamdulillah. 

Pukul 4 pagi sudah berjalan ke Masjidil Haram. 

Seperti biasa kami terus ke tingkat 1. Selesa dan tak ramai orang lagi masa tu.


Cuma 11 minit sahaja berjalan dari Masjidil Haram ke hotel masa balik dari solat Subuh.   

Sarapan lontong yang sedap! Memang pihak Mursyid Al Haramain Travel & Tours Sdn Bhd telah memastikan sajian makanan adalah bagus dan cukup rasanya. Kami berdua memang tak ada apa-apa nak complain tentang makanan yang disediakan. Malah kami tidak pun perlu menggunakan duit kami sendiri untuk membeli sebarang meals semasa di sana kecuali pada satu ketika sahaja sebab masa tu kami kelaparan baru lepas selesai mengerjakan umrah pertama kami. Syukur Alhamdulillah. 

Di hotel ada disediakan TV dengan siaran langsung dari Masjidil Haram. Antara lain ia sangat membantu to inform jemaah keadaan di Mataf samada sesak atau tidak. 

Snacking sikit sementara menunggu di lobi untuk lawatan hari ke 5 😊. 

Bergambar kejap di lobi 😊. Saya bawak beg sebab dalam tu ada kain ihram. Kami akan melakukan umrah ke 3 kami hari tu. Isteri terus berpakaian ihram dia. 

Bergambar kenangan bersama Pak Imam dan isterinya Ibu Wiwiek. Semalam kami makan semeja dengan mereka di dewan makan hotel. Such nice people. Seronok bersembang dengan mereka. Banyak yang mereka cerita pada kami tentang keadaan dan cabaran yang dihadapi oleh jemaah dari Indonesia. Mereka dah nak balik ke Indonesia masa kami bertembung di lobi hotel ni. 

Bergambar kenangan bersama isteri tersayang.

Bas tiba kami pun naik. Selesa bas kami hari ni. Nak ke Taif adalah sejauh lebih kurang 2 jam perjalanan.

Kami beli air kotak ni untuk kami distribute kepada ahli rombongan kami nanti. Tadi masa snacking kami ada beli sekotak. Sedap sungguh rasanya. So itu yang tetiba decided nak belikan untuk ahli rombongan kami. 

Membaca doa perjalanan. 

Kota Makkah. 

Ustaz juga distribute pada kami bacaan-bacaan yang sangat elok untuk kami amalkan setiap hari. 



Menuju ke Taif.

Saya sangat suka merakam landskap muka bumi di sini. 

Pemandangan gunung berbalam-balam.


Lihatlah bukit/gunung yang berbatu-batu besar ini!

Selepas lebih kurang sejam saya pun distribute air kotak tadi. Macam steward pulak.. hehe.


Dan ditengah-tengah ketandusan ini ada banyak ladang-ladang dan kebun-kebun. Such stark contrast, the green against the arid grey surrounding. 

Langit yang begitu biru menyerlahkan lagi bentuk mukabumi bergunung ganang.

Berhenti sebentar for toilet breaks.

Unta-unta grazing di gurun.

Such a beautiful and amazing animal. MasyaAllah. Unta adalah antara binatang-binatang yang disebut dalam Al Quran.
“Maka apakah mereka tidak memperhatikan unta, bagaimana dia diciptakan? Dan langit, bagaimana ia ditinggikan? Dan gunung-gunung, bagaimana ia ditegakkan? Dan bumi, bagaimana ia dihamparkan? Maka berilah peringatan, kerana sesungguhnya kamu hanyalah orang yang memberi peringatan.” (QS. Al Ghasiyah: 17-21)

Setelah lebih kurang 1 jam setengah perjalanan. 

Kadang kala ada ternampak tulisan sebegini di bukit/gunung. Tapi saya tak tahu maksudnya. 

Ini Saudi Arabian National Guard. 

Selamat tiba di bandar Taif. Alhamdulillah. Ini Awaliv Hotel.

Taif (الطائف) adalah bandar paling sejuk di Arab Saudi kerana ia terletak di lereng gunung Al-Sarawat dengan ketinggian 1,879 m. Bandar ini merupakan pusat kawasan pertanian dikenali kerana anggur, delima, buah tin, bunga ros dan madu.
Ada Al-Taif Antiquities Office. Jadi tentunya ada banyak tempat-tempat bersejarah di sini.

Taif adalah bandar pelancongan terkenal di Arab Saudi. Pada musim panas lokasi seperti Lembah Asin dan al Hada menjadi tempat bersantai dan percutian para kenamaan dan kerabat diRaja Arab Saudi. Destinasi percutian domestik dan antarabanga yang terkenal.

Berikut adalah beberapa foto suasana bandar Taif yang sempat kami rakam.

Antara monuments/binaan hiasan bandar yang kami nampak.



Masa saya cari info tentang Taif, saya dapat tahu penulis buku 'Muhammad: His Life Based on the Earliest Sources' Martin Lings atau Abū Bakr Sirāj ad-Dīn seorang Islamic scholar, author and Shakespearean scholar pernah tinggal di Taif. Buku ni saya baca sampai menangis kerana saya sangat terharu dengan penulisan Martin Lings dalam buku ini tentang kisah Nabi SAW. Saya recommend sangat pada kawan-kawan untuk membaca buku ini.

Sebuah masjid di Taif, Abdul Aziz Mosque Adib Abbasi.

Lawatan pertama kami di Taif ialah ke Masjid Abdullah ibn Abbas. 

Masjid Abdullah ibn Abbas menempatkan makam seorang sahabat Nabi Muhammad SAW yang bernama Abdullah ibn Abbas. Beliau adalah seorang sepupu Rasullullah SAW dari sebelah ayahnya dan terkenal di kalangan orang Islam sebagai seorang pakar Tafsir Al Quran dan seorang sumber dalam riwayat Hadis.

Abdullah ibn Abbas seorang sahabat Nabi SAW yang sangat hebat dan mulia yang terkenal dengan jolokan habrul ummah  (seorang yang sangat luas ilmunya). Beliau berhasil meriwayatkan 1,660 hadits Nabi SAW dan berada di peringkat ke 5 sebagai sahabat yang paling banyak meriwayati hadits Rasulullah SAW selepas Abu Hurairah, Abdullah bin Umar, Anas bin Malik dan Aisyah r.a. Rasulullah sendiri mendoakan dia dalam kefakihan dalam beragama “Ya Allah berilah ia pengertian dalam bidang agama dan berilah ia pengetahuan ta'wil (tafsir)”. Ilmu ta'wil ialah ilmu tafsir Al-Quran.

Abdullah Bin Abbas lahir 3 tahun sebelum Hijrah Rasullullah SAW. Sewaktu Rasullullah wafat, dia hanya berusia 13 tahun. Semasa hidup baginda, Rasullullah SAW sangat rapat dengan Abdullah Bin Abbas dan mereka yang lain yang seusia dengannnya seperti Ali bin Abi Talib, Usamah bin Zaid dan sahabat-sahabat kecil yang lain.

Di sinilah menjadi tempat bersejarah dalam Islam kerana Abdullah ibn Abbas telah berpindah ke sini setelah Nabi SAW wafat. Beliau berpindah dan meninggal di Taif kerana takut untuk tinggal di Makkah dan tidak dapat menunaikan hak-hak kesucian kota Makkah. Berbuat maksiat di kota Makkah atau Madinah tidak sama seperti berbuat maksiat di tempat lain. 2 kota ini dimuliakan dengan larangan-larangan tertentu seperti tak boleh berburu yang tidak dilarang ditempat lain. Kerana kekhuatirannya tidak dapat menjaga kesucian kota Makkah, beliau berpindah ke Taif. Abdullah ibn Abbas meninggal dunia pada usia 72 tahun pada 68 Hijriah. 

Banyak kisah tentang Abdullah ibn Abbas yang kita boleh baca. Salah satunya ketika Saidina Omar membawa Abdullah ibn Abbas bersama dalam majlis Al-Syura peringkat pentadbiran negara di kalangan sahabat lain yang berumur. Maka mereka pun bertanya kenapa dibawa anak kecil ini, sangsi akan kemampuan Ibnu Abbas. Saidina Omar pun bertanya kepada ahli mesyuarat tentang tafsiran maksud firman Allah SWT dalam Surah An-Nashr:

إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ، وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّهِ أَفْوَاجًا، فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ ۚ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا

Yang bermaksud:
1. Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan.
2. Dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong.
3. Maka bertasbihlah dengan memuji Rabbmu dan mohonlah ampun kepada-Nya.
Sesungguhnya Dia adalah Maha Menerima taubat. 
[an-Nasr/110 : 1-3]

Maka tokoh-tokoh Islam itu pun menjawab “Allah memerintahkan kita untuk beristighfar setelah Allah menolong dan memudahkan kita untuk menaklukkan Kota Makkah". Tapi lain pula jawapan Ibn Abbas yang ternyata membuktikan kehebatan dan kebenaran doa Rasulullah SAW. Ibn Abbas berkata bila Allah SWT telah memberikan pembukaan Kota Makkah dan kemenangan kepada umat Islam ini isyarat kewafatan Nabi SAW sudah semakin hampir. Lalu Saidina Omar berkata yang dia juga berpandangan yang sama dengan Ibn Abbas. Demikianlah ketajaman dan ketelitian Ibnu Abbas dalam memahami wahyu. Jadi, jelaslah kepada sahabat lain akan kelebihan yang dimiliki Ibnu Abbas. Oleh itu, ilmu tidak mengira dan bergantung pada usia. 

Keakraban dengan Rasullullah sejak kecil membuatkan Bin Abbas membesar menjadi seorang lelaki yang mempunyai keperibadian yang luar biasa. Hidup bersama Rasullullah benar-benar telah membentuk karekter dan sifatnya.

Satu ketika, Ibnu Abbas sangat ingin mengetahui bagaimana Rasullullah SAW bersolat. Malam itu, dia sengaja menginap di rumah ibu saudaranya, Maimunah binti Al-Harits, isteri Rasullullah SAW.

Sepanjang malam dia berjaga, sampai terdengar olehnya Rasullullah bangun untuk menunaikan solat. Maka dia segera mengambil bekalan air untuk wuduk Rasullullah. Di tengah malam buta itu, betapa terkejutnya Rasullullah menemui Abdullah Bin Abbas yang masih terjaga dan menyediakan air wuduk untuk baginda.

Rasullullah merasa bangga dan kagum dengannya. Baginda menghampiri Ibnu Abbas, dan dengan lembut diusapnya kepala anak muda itu sambil berdoa, "Ya Allah, berilah dia keahlian dalam agamaMu dan ajarilah dia tafsir kitabMu".

Keadaan di sini adalah nyaman dan tidak terasa bahang panas matahari seperti di Makkah. Lebih kurang 26°C masa tu.

Memasuki perkarangan masjid. 


Di perkarangan Masjid Abdullah ibn Abbas.


Masuk sebentar ke dalam masjid.

Suasana di dalam Masjid Abdullah ibn Abbas.

Luas di dalamnya dan ada banyak tiang.





Mihrab masjid.

Ruang tengah masjid.

Ada ruang dataran terbuka. 




Ustaz sedang memberikan penerangan tentang Abdullah ibn Abbas. Pada kami lawatan ke tempat bersejarah memang sewajar ada penerangan sebegini supaya lawatan kami tidaklah sekadar melihat sebuah masjid tapi, in this case, mengenali siapakah Abdullah ibn Abbas. 

Satu lagi kisah yang diceritakan pada kami oleh Ustaz. Ketika Saidina Husein bin Ali, cucu Rasullullah dan keluarganya berniat berangkat ke Kufah, beberapa orang sahabat mencegahnya, termasuk Abdullah Bin Abbas. Kufah adalah tempat para penyokong Ali bin Abi Talib, dan penduduknya meminta Husein datang dan tinggal di sana. Ibnu Abbas dengan pandangan hatinya yang tajam berkata kepada Husein, "Janganlah engkau lakukan itu! Sesungguhnya aku mempunyai firasat yang engkau akan dibunuh di tengah-tengah isteri dan anak-anak perempuanmu, sebagaimana Uman (bin Affan) dibunuh!"

Namun mungkin telah menjadi jalannya takdir Allah, Husein tetap berangkat ke sana. Ibnu Abbas, Ibnu Umar, Jabir bin Abdullah dan beberapa sahabat lainnya mengiringi pemergiannya dengan deraian air mata. Ketika mereka telah sampai di wilayah Iraq, tetapi belum sempat sampai ke Kufah, tepatnya di Padang Karbala, mereka ditahan oleh pasukan yang dikirim oleh Ubaidillah bin Ziyad atas perintah Khalifah Yazid bin Muawiyah. Dengan sungguh biadap, 4,000 anggota pasukan itu menyerang dan membunuh rombongan Husein bin Ali yang hanya berjumlah kira-kira 80 orang, yang sebahagiannya terdiri dari wanita dan kanak-kanak. Peristiwa itu yang berlaku tepat seperti yang 'dilihat' oleh Abdullah Bin Abbas berlaku pada Hari Asyura, tanggal 10 Muharram.

Bergambar kenangan di Masjid Abdullah ibn Abbas.


Ketika nak beredar, kami didatangi oleh lelaki Arab ini yang menyedekahkan kurma. MasyaAllah. 

Dan kurmanya sungguh la sedap. Semoga lelaki tadi dimurahkan Allah SWT rezeki.

Penjual wangian dan buah-buahan di tepi masjid.

Kami pun terus ke tempat lawatan seterusnya. 

Ini adalah Beit Kaki. Dibina pada tahun 1943 sebagai kediaman musim panas untuk salah satu daripada keluarga pedagang yang paling penting Mekah. 

Ini adalah Masjid Madhoun. Kelihatan seperti sudah tidak digunakan lagi. Dibina selepas zaman Rasullullah SAW.


Seterusnya kami singgah di Masjid Ku' bermaksud Masjid Siku. Ia mengambil sempena keadaan Nabi SAW yang berteleku dengan sikunya dalam keadaan yang penuh luka.

Nabi SAW datang ke bumi Taif kerana 2 pendokong kuat baginda iaitu Abu Talib dan isteri baginda, Siti Khadijah yang disegani oleh kaum Quraisy telah meninggal dunia. Nabi rasa tertekan dan penentangan semakin kuat dari kaum Quraisy. Lalu Nabi SAW telah mengambil keputusan ke kawasan ini yang diduduki oleh 3 kaum iaitu Bani Saad, Bani Hawazin dan Bani Thaqif. Nabi SAW semasa baginda kecil pernah disusui oleh Halimatus Saadiah di kawasan Bani Saad maka baginda berfikir mungkin dakwah baginda akan diterima di situ.  

Kawasan yang kami singgah ini adalah kawasan Bani Thaqif. Masa Nabi SAW sampai di sini, semua pintu rumah Nabi SAW ketuk untuk tujuan berdakwah tapi semua penduduk tidak mahu menerima kedatangan baginda. Begitu kuat penentangan mereka, disuruh semua anak-anak di sepanjang 1 km melontar batu kepada Nabi SAW. Nabi SAW yang ketika itu ditemani oleh Zaid bin Harithah teruk dibaling batu hingga darah Nabi SAW mengalir bertakung ke selipar baginda. Pada masa itu pula adalah musim panas. Tak terbayangkan kepayahan dan keperitan yang Nabi SAW lalui dalam usaha dakwah baginda. 

Lepas peristiwa ini berlaku peristiwa Israk Mikraj, Nabi SAW dibawa naik ke langit dan dibenarkan Allah SAW untuk masuk ke Sidratul Muntaha dengan selipar baginda itu sedangkan kepada Nabi Allah Musa a.s Allah berfirman, “Wahai Musa!”, “Sesungguhnya Aku Tuhanmu! Maka bukalah kasutmu, kerana engkau sekarang berada di Wadi Tuwa yang suci'. [Ta-Ha:11-12]. 

Dikatakan di batu inilah Nabi SAW berteleku dengan sikunya dalam keadaan yang penuh luka.

Nabi SAW bersama Zaid bin Harithah larikan diri yang semasa itu dalam keadaan berdua sahaja dan cedera parah. Rasullullah SAW terlihat sebuah perkebunan anggur yang subur di situ. Nabi SAW dan Zaid bin Harithah yang setia menemani Nabi SAW berhenti di salah sebuah pepohonannya untuk beristirahat dan membersihkan diri. 

Pada masa tu ada kedua-dua anak-anak Rabi'ah iaitu Utbah bin Rabi'ah dan Syaibah bin Rabi'ah. Mereka nampak dan sememangnya kenal akan Nabi SAW dan tahu bahawa Nabi SAW adalah musuh ketat ayah mereka. Sampaikan Bilal bin Rabah semasa keluar dari bumi Makkah waktu berhijrah, "Ya Allah, laknatkan Utbah bin Rabi'ah dan Syaibah bin Rabi'ah". Tapi hikmah Allah SWT lebih utama dan bila Allah SWT melaksanakan sesuatu ianya pasti berlaku. Sedang Nabi SAW duduk di dalam kebun musuh, kepada Utbah Allah SWT berikan sedikit rasa kasihan dan simpati kepada Nabi SAW. Dan Utbah pun menyuruh hambanya Addas memberikan anggur dan air terhadap Nabi SAW. Nabi SAW ambil anggur tersebut dan membaca bismillah. Addas adalah orang Nasrani dan bila terdengar Nabi SAW membaca 'Bismillah', dia pun bertanya kepada Nabi SAW. 

Addas berkata: "Sesungguhnya ucapan itu tidak biasa diucapkan oleh penduduk di negeri ini."

Rasullullah bertanya: "Kamu berasal dari mana dan apa agamamu?"

Addas: "Aku seorang Nasrani dari penduduk Ninawa." Kampung imam nawawi di Iraq.

Rasullullah: "Dari negeri seorang lelaki soleh yang bernama Yunus Bin Matta?"

Addas: "Apa yang kamu ketahui tentang Yunus bin Matta?"

Rasullullah: "Beliau adalah saudaraku. Dia seorang Nabi, demikian pula dengan diriku."

Addas langsung merangkul kepala Rasullullah SAW, kedua tangan dan kedua kakinya untuk diciumi. Addas adalah orang pertama di Taif yang memeluk agama Islam. 

Dikatakan batu-batu di atas bukit ini cuba ditolak oleh orang Bani Thaqif untuk ditimpakan ke atas Nabi SAW tapi telah ditahan oleh malaikat.


Masjid Ku'.

Masuk ke dalam Masjid Ku'.







Seorang Mutawwif / tour leader approached Ustaz pohon pertolongan untuk memberi sedikit penerangan tentang sejarah Masjid Ku' kepada keluarga yang berasal dari South Africa ini. Selain begitu fasih bertutur dalam bahasa Inggeris, cara penyampaian Ustaz juga begitu menarik dan 'riveting' sehingga keluarga ini nampaknya begitu berterima kasih pada Ustaz bila Ustaz selesai dengan penerangannya.

Ustaz sedang menceritakan kisah usaha Nabi SAW berdakwah di bumi Taif. 



Kami berhenti sekejap melihat Empangan Ikrimah yang dibina oleh Sultan Malik Raja Saudi yang pertama.  

Tak ada air di empangan ni, cuma ada masa hujan sahaja.


Gelanggang sukan di tengah gurun.

Ini King Abdul Aziz Speacialist Hospital, Taif.


Panorama bumi Taif.

Kawasan perumahan di Taif.

Ada banyak theme parks di sini.

Seterusnya kami dibawa ke pasar buah-buahan untuk melihat kepelbagaian buah-buahan yang dijual di situ lantas mengagumi kurniaan Allah SWT kepada bumi Taif dengan kesuburan yang luar biasa. Di tengah ketandusan gurun ada kawasan perkebunan dan ladang yang menghasilkan macam-macam jenis buah. MasyaAllah.


Memanglah rambang mata tengok semua buah-buahan ni!


Selain buah anggur, buah delima dari sini juga begitu popular.



Pelbagai sayur-sayuran juga ada.




Kami beli beberapa packs assorted fruit ni untuk dihadiahkan kepada ahli-ahli rombongan kami. Syukur Alhamdulillah.

Perjalanan diteruskan lagi.


More theme parks. Di sini theme park buka masa malam sahaja. 




Kami makan tengahari di RnR di sebuah restoran Arab. Setelah driver kami check restoran tu ada ruang makan untuk keluarga, barulah confirm kami boleh makan di restoran tu. Kalau tak ada, lelaki je yang boleh makan di situ. 

Restoran dan tuan punya restoran. 

Duduk di atas carpet dengan kusyen bersandar. 

Hidangan disediakan. 

Inilah hidangannya. Baunya sedap sangat. Portion cukup besar. Terpegun kejap kami... hehe. Satu dulang ni makan 4 orang. Saya dan isteri makan bersama abang Jeff dan kak Ani. 

Sebenarnya cara orang Arab makan hidangan macam ni adalah seperti cara Ustaz ni. Nasi dikaut dan lauk diletak atas plastik putih tu. Kami makan je terus dari dulang.. hehehe.

Sebelum dan selepas. Sekali lagi kami terpegun, kali ni sebab tak sangka boleh habis.. hehehe. Ayam tu lembut dan tidak kering even kulitnya pun tak keras kering. Rasa rempahnya serap. Tak tau la apa rempahnya tapi tak pernah kami berdua rasa yang sedap macam ni. Nasi tu lagi la. Saya ni yang memang kena hati-hati makan nasi pun habis bedal sebab sedap sangat. 

Telah masuk waktu Zohor maka pintu dan tingkap restoran ditutup separuh. 

Sebab ada beli buah-buahan tadinya, maka ada group members kami yang nak beli pisau. Dan kedai dibuka semula selepas earlier ditutup sebagai menghormati masuknya waktu solat Zohor.

Bergambar kenangan.

Perjalanan balik ke Makkah diteruskan dan akan melalui Miqat Qarnul Manazil. Maka wajib melakukan umrah bila masuk ke Makkah.


Al Sayl AlKabir ialah nama lain Qarnul Manazil.

Kami pun singgah di Masjid Miqat Qarnul Manazil untuk berwudhu, berihram dan bersolat sunat.

Tempat miqat bagi penduduk Taif ialah di Qarnul Manazil. Miqat ini juga adalah tempat miqat bagi penduduk Malaysia yang datang dari tanahair dan langsung masuk ke Makkah ketika hendak menunaikan Haji dan Umrah. Selain itu ia juga adalah miqat bagi penduduk Arab Saudi sendiri yang datang dari arah Najd.

Waktu solat Zohor di Taif.

Ruang solat utama.

Masa kami datang tempoh hari, kami berniat umrah di Qarnul Manazil juga tapi dalam kapal terbang. Tapi kali ni di darat. 

Setibanya di Makkah, kami terus ke Mataf untuk bertawaf.


Dan mengerjakan saie. Kali ini kami memilih untuk bersaie di tingkat bawah sekali. 



Selesai bersaie dalam masa 39 minit.

Maka selesailah umrah kami pada hari itu. Syukur Alhamdulillah kami berkesempatan dan berkemampuan menunaikan umrah sebanyak 3 kali pada umrah 2017 ini. 

Bersambung... 

Saya list di bawah semua entries Umrah 2017 for easy reference:
DAY 01 - PREPARATION & DEPARTURE

DAY 02 - ARRIVAL & UMRAH PERTAMA

DAY 03 - MASJID SITI AISYAH, TANAIM

DAY 04 - JABAL ABU KUBAIS, JABAL THUR, MASJID AL RAJHI, UMM AL-QURA UNIVERSITY, ARAFAH, MASJID NIMRA, JABAL RAHMAH, AIN ZUBAIDAH, WADI MUHASSIR, MASJID MASYA'IR HARAM, MUZDALIFAH, MINA, JABAL QURBAN, KOMPLEKS JAMRAH, MASJID BAIAH AQABAH, JABAL NUR, JAARANAH & UMRAH KE 2

DAY 05 - TAIF, MASJID ANDULLAH BIN ABBAS, MASJID KU', EMPANGAN IKRIMAH, PASAR BUAH-BUAHAN, MASJID MIQAT QARNUL MANAZIL & UMRAH KE 3

DAY 06 -  LADANG UNTA, EXHIBITION OF THE TWO HOLY MOSQUES ARCHITECTURE & YAYASAN JAMIYYAH KHAIRIYYAH

DAY 07 - BERANGKAT KE MADINAH, MASJID JIN, TANAH PERKUBURAN MAA'LA, KAWASAN ABU LAHAB, MASJID SITI AISHAH & WADI QUDAID

DAY 08 - MASJID GHAMAMAH, MASJID QUBA', LADANG KURMA, TELAGA YASEERAH, JABAL UHUD, MASJID SAYYID AL-SHUHADA, JABAL RUMAT, PERKUBURAN SHUHADA, MASJID QIBLATAIN, KAWASAN KHANDAK, MASJID SAB'AH, MASJID FATH, MASJID KHANDAK, PASAR KURMA, ZIARAH MASJID NABAWI, TELAGA HA DAN PERKUBURAN BAQI'

DAY 09 - PART 01 - MASJID BANI MUAWWIYAH, MASJID IMAM BUKHARI, SANDSTORM AREA, HIJAZ RAILWAY MUSEUM, MADAIN SALEH

DAY 09 - PART 02 - AL-HIJR (MADAIN SALEH)

DAY 10 - MASJID BILAL BIN RABAH, MASJID JUMMAH, BUKIT TSANIYATUL WADA', MASJID QUBA, TELAGA ARIS, KUBU KAAB BIN ASYRAF, BUKIT KHURAIDAH, KUBU URWAH BIN ZUBAIR, HIJAZ RAILWAY STATION MADINAH, MASJDI AMBARIAH

DAY 11 - PART 01 - MASJID QUBA, THE REFUGE OF FAITH EXHIBITION, UNIVERSITI ISLAM MADINAH, WADI AQIQ, MASJID QIBLATAIN

DAY 11 - PART 02 - SOKAIFAT BANI SAEDAH & MUHAMMAD MESSENGER OF ALLAH EXHIBITION


DAY 12 - GOING HOME

No photograph or videos may be reproduced, downloaded, copied, stored, manipulated, or used whole or in part of a derivative work, without written permission from Syed Amran. All rights reserved.

6 comments:

  1. buah apa yang separa circle macam buah asam jawa tu?

    ReplyDelete
    Replies
    1. A'aa kan mcm asam jawa. Tak tau buah apa tu doc. Nampak macam some kind of beans.

      Delete
  2. Tempat sama saya berniat miqat untuk umrah kedua :') Tuhan kasi saya kekuatan untuk buat umrah on my own. Masa tu parents tak larat dah.. Masa di Taif, kita ada local tour guide dari sana. Tapi mak saya perasan, dia tak mention sangat tentang kesusahan Nabi bila nak berdakwah dkt sana. Sayang..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah. Dgn kekuatan yg Allah swt kurniakan bersama dgn azam kuat Cik Syakirah sendiri, maka Allah swt kurniakan lagi bilangan umrah yg dpt Cik Syakirah laksanakan. SubhanAllah.

      Tak larat tak apa. Asal dah dpt buat sekali yg berkualiti pun dah cukup. Maka eloklah berehat. Kalau dikuatkan juga takut jatuh sakit dan tak selesa nak ke masjid dan beribadat pulak nanti.

      Hmm... memang begitulah Cik Syakirah. Yg kita rancang adakala tidak semua dpt seperti yg kita harapkan. Namun, in this case, saya berharap penulisan saya ini dptlah Cik Syakirah buat ganti, insyaAllah.

      Delete
  3. Pergi taif perlu buat tawaf wida tak??

    ReplyDelete