Saturday, May 20, 2017

UMRAH 2017 - DAY 08 - MASJID QUBA, BUKIT UHUD, MASJID NABAWI DAN PERKUBURAN BAQI'

Untuk hari ke 8 saya akan bercerita tentang Masjid Quba, Ladang Kurma, Bukit Uhud, Masjid Khandak, Pasar Kurma, Ziarah Masjid Nabawi, Telaga Ha dan Perkuburan Baqi'. 

Hari pertama kami di Madinah, kami beramai-ramai pergi ke Masjid Nabawi bersama Ustaz. Seawal pukul 4 pagi kami dah berkumpul di lobi. Masuk waktu solat Subuh di Madinah pada hari itu adalah pukul 4:41 am. Dan semestinya kami semua merasa seronok dan bersyukur kerana akan ke Masjid Nabawi. Alhamdulillah. 

Berjalan menuju ke Masjid Nabawi. Berbanding dengan di Masjidil Haram, di sini keadaan adalah lebih tenang. Saya dan isteri sepakat lebih prefer dengan trip umrah untuk pergi ke Makkah dahulu menunaikan yang wajid iaitu umrah dan lepas tu baru ke Madinah. Ini cuma preference dan bukanlah kemestian bagi kami. Ada jemaah lain yang prefer sebaliknya dan ada yang indifference. 

Bergenang mata saya bila melihat keindahan Masjid Nabawi ini dan rasa bersyukur sangat kerana kami berdua dapat lagi ke sini. Alhamdulliah.

Masjid Nabawi adalah masjid kedua yang dibina oleh Rasulullah SAW, selepas Masjid Quba yang didirikan dalam perjalanan hijrah dari Makkah ke Madinah.

Bersama Ustaz melangkah masuk ke ruang solat dalam Masjid Nabawi.



Suasana yang cukup tenang dan nyaman sekali. 

Menunggu masuk waktu solat Subuh.



Suasana selepas solat Subuh. 

Qubbatul Khadhra’ (kubah hijau) di Masjid Nabawi berfungsi menaungi makam Rasulullah SAW bersama kedua sahabatnya Abu Bakar As Siddiq ra dan Umar bin Al-Khattab ra. 
Tempat tersebut dahulunya adalah rumah baginda Rasulullah SAW kerana setiap Rasul yang diutus oleh Allah SWT dimakamkan di mana dia wafat. Sebagaimana sabda Nabi SAW: 'Tidak dicabut nyawa seorang Nabi pun melainkan dikebumikan di mana dia wafat'. (HR. Ibnu Majah).

Sejarah menceritakan, ketika Nabi SAW tiba di Madinah, pertama sekali Nabi SAW telah membina Masjid Nabawi dengan membeli tanah berharga 10 dinar kepunyaan dua orang anak yatim Sahl dan Suhail berukuran 3x30m. Bangunan yang sederhana itu hanya berdindingkan tanah yang dikeringkan, bertiangkan pohon kurma dan beratapkan pelepah kurma. Sebelah timur bangunan Masjid Nabawi dibina rumah Nabi SAW. 

Manakala di sebelah Barat dibina ruangan untuk orang-orang miskin dari kaum Muhajirin yang pada akhirnya tempat itu dikenali dengan tempat ahli Suffah (kerana mereka tidur berbantalkan pelana kuda). 

Program jangka panjang untuk memperluas Masjid Nabawi seperti yang kita lihat sekarang ini telah diisyaratkan oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya menjelang wafat: “Selayaknya kita memperluas masjid ini”.


Berjanji jumpa isteri di pintu Gate no.25, berdekatan pintu masuk masjid bahagian wanita selepas solat Subuh.

Sarapan pagi yang sedap dan mengenyangkan. Alhamdulillah.

Sempat beli teh sementara menunggu nak pergi buat lawatan. 

Pemandangan di luar Mubarak Silver Hotel. 


Pemandangan betul-betul di luar pintu masuk ke Mubarak Silver Hotel. Ramai yang merokok di sini jadinya abu rokok juga banyak dibuang saja ke lantai dan berterbangan kena pada jemaah-jemaah lain yang keluar masuk hotel. Puntung-puntung rokok juga banyak bertaburan. Bau asap rokok mereka juga kuat dan menyesakkan pernafasan. Dah la masa tu udara ketika itu agak berdebu kerana pertukaran musim. Sampah juga banyak bertaburan. Pada saya perbuatan begini patut dihentikan terutama kerana ini di tanah haram. Kenapa sanggup tidak menghormatinya? Bukankah ini bumi suci Madinah yang Rasul kita pernah tinggal? Tidakkah kita mahu menghormati Rasulullah SAW? Jangan terperanjat bila saya cerita yang saya sendiri nampak ada juga yang merokok di dalam bangunan hotel di hallway bilik hotel di tingkat 5. 

Memulakan lawatan.

Melalui Omar bin Al-Khattab Road untuk menuju ke Masjid Quba'. 


Perkuburan Baqi’ atau yang dikenali juga dengan sebutan Jannatul Baqi’. Kami akan melawat perkuburan ini pada petang nanti.

Masa dalam perjalanan tu, ketika masih lagi di dalam kawasan Kota Madinah, kami ternampak satu kejadian kemalangan. Seorang lelaki kelihatan terbaring di tengah jalanraya yang agak sibuk ketika itu. Mungkin dia telah dilanggar. Kata Ustaz jarang berlaku kemalangan di sini.


Ini sebuah restoran fast food fried chicken paling sedap kata Ustaz. 
Ustaz cerita, pemilik restoran ini yang berasal dari Palestin pada masa dahulu enggan membuka cawangan restorannya di luar dari Makkah dan Madinah. Ini adalah kerana dia sering menyalurkan pendapatannya dari restoran ini untuk membantu umat Islam di Palestin, dan dia ingin memastikan wang yang diperolehinya bagi tujuan tersebut hanya berasal dari orang Islam semata-mata. Pemilik ini bimbang jika dia membuka restorannya di luar Tanah Haram, ada wang tersebut yang datang dari pemilikan orang kafir. Kerana itulah juga kami diberitahu, restoran ini sangat jarang dijumpai di luar Tanah Haram.

Tapi sekarang Restoran Al Baik ini dah ada banyak cawangan. Bukan sahaja restoran ini dah berkembang di Arab Saudi, malah cawangan mereka juga ada di Malaysia. Mungkin pengurusan restoran ini juga dah bertukar sekarang. 

Masjid Zu Al Nourain. 

Ini pula ialah Masjid Ghamamah, yang didirikan untuk mengenang beberapa peristiwa penting di masa kehidupan Rasulullah SAW. Ia dipanggil sebagai Masjid Ghamamah (bermaksud: Awan Mendung), kerana di sinilah Rasulullah SAW melaksanakan Solat Istiskah (solat untuk meminta hujan).

Pada masa dahulu di saat kemarau melanda Madinah, penduduk kota memohon kepada Nabi SAW untuk berdoa meminta hujan. Nabi SAW melakukan solat meminta hujan di masjid ini. Setelah solat, Nabi SAW pun berdoa meminta hujan kepada Allah SWT. Kemudian Allah SWT mengabulkan doa Nabi SAW. Sebaik Nabi SAW selesai memohon, tiba-tiba Kota Madinah diselimuti oleh awan gelap diikuti dengan hujan lebat.

Masjid ini juga disebut sebagai Masjid Id (Masjid Hari Raya) kerana lokasi tempat masjid ini berdiri merupakan tempat Nabi Muhammad SAW melaksanakan solat hari raya di empat tahun terakhir kehidupan baginda. 

Di lokasi ini juga (ketika belum dibangunkan bangunan masjid) atau di lokasi yang berdekatan dengan lokasi masjid ini, Rasulullah SAW pernah melaksanakan solat jenazah bagi Najasyi, Kaisar Aksum di Abbysinia (kini Ethiopia). Dalam riwayat disebutkan bahawa Najasyi adalah seorang raja di kerajaan Aksum di Ethiopia yang beragama Kristian, namun menyambut baik kedatangan kaum Muslimin yang berhijrah ke negerinya untuk menghindar dari kekejaman kafir Quraisy Mekah. Di hari kemudian, Najasyi turut berikrar masuk Islam.

Ketika Najasyi wafat, tak ada sesiapa pun yang bersedia mempimpin solat jenazah baginya. Maka Rasullullah SAW melakukan solat jenazah secara ghaib. Peristiwa ini merupakan satu-satunya peristiwa di mana Rasullullah SAW melakukan solat ghaib atau solat jenazah tanpa kehadiran jenazah yang disolatkan.

Bangunan macam UFO ni is actually the Water Department - Madina.

Tiba di Masjid Quba'. 

Masjid Quba' adalah masjid kedua terbesar di Madinah selepas Masjid Nabawi. Ia mempunyai nilai penting dalam sejarah Islam kerana ia adalah masjid pertama yang didirikan oleh Rasullullah SAW selepas baginda berhijrah ke Madinah.

Masjid Quba' sering dijadikan destinasi lawatan ziarah Madinah yang pertama kerana sesiapa yang berwuduk dari rumahnya dan melaksanakan solat dua rakaat di Masjid Quba' akan mendapat ganjaran pahala yang setara dengan ibadah umrah seperti yang dinyatakan di dalam sebuah hadis Nabi SAW yang bermaksud:
"Barangsiapa yang bersuci di rumahnya kemudian pergi ke Masjid Quba', lalu dia solat di dalam Masjid Quba, maka baginya pahala seperti pahala umrah." 

Allah SWT juga berfirman dalam surah al-Taubah, ayat 107-108 yang maksudnya:
“Dan ada orang yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudharatan (kepada orang-orang mukmin), untuk kekafirannya dan memecah belah antara orang-orang mukmin serta menunggu kedatangan orang-orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya sejak dahulu. Mereka (kaum munafik) sesungguhnya bersumpah; Kami tidak menghendaki selain kebaikan. Dan Allah menjadi saksi bahawa sesungguhnya mereka adalah pendusta (dalam sumpahnya). Janganlah kamu solat dalam masjid itu selama-lamanya. Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar taqwa (Masjid Quba’) sejak hari pertama adalah lebih patut kamu solat di dalamnya. Di dalamnya ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan Allah menyukai orang-orang yang bersih.”

Masjid yang dimaksudkan dalam "Janganlah kamu solat dalam masjid itu selama-lamanya" ialah Masjid Dhirar yang dibina oleh seorang Munafik bernama Abu Amir dengan bantuan dana dari Raja Rom bernama Heraclius.  Masjid Dhirar, masjid yang megah dan indah itu dibina tanpa dasar ketakwaan kepada Allah Taala adalah bertujuan untuk memecah-belah hubungan persaudaraan dan melemahkan kesatuan umat Islam. Kaum Munafik menjelaskan alasan mendirikan Masjid Dhirar kononnya sebagai alternatif kepada jemaah Muslimin yang tidak hadir di Masjid Quba’. Maka Rasulullah SAW memberi perintah tegas kepada para sahabatnya, Malik bin Dukhsyum dan Ma’an bin Adi untuk menghancurkan Masjid Dhirar. Inilah pengakhiran masjid yang didirikan atas niat yang tidak baik, niat untuk memecah-belah umat Islam walaupun namanya “masjid”.

Bersebelahan Masjid Quba' ada sebuah exhibition center atau muzium yang dinamakan 'The Refuge of Faith Exhibition'. Kami tidak masuk ke exhibition ini pada hari tu dan akan melawat pada hari lain.

Berjalan masuk ke Masjid Quba'. 

Di pintu masuk utama.

Rasulullah SAW juga diriwayatkan pergi ke masjid ini setiap hari Sabtu dengan berjalan kaki atau menunggang unta, dan kemudian mendirikan dua rakaat solat sunat.

Di ruang solat terbuka masjid.

Kami ke bahagian dalam untuk cuba mendapatkan tempat solat di bawah kubah seperti yang disarankan oleh Ustaz.

Tidak begitu ramai jemaah pada ketika itu.

Mihrab Masjid Quba'.

Di sinilah lokasi yang kami inginkan untuk melakukan solat sunat.

Ustaz ada mengatakan pada kami kalau keadaan mengizinkan cubalah bersolat di bawah kubah ini.

Dan bersolat di bawah antara 2 lubang yang ada pada kubah ini kerana dikatakan di situlah tempat Rasulullah SAW bersolat.


Suasana di bahagian solat terbuka.

Saya kongsikan juga foto-foto yang diambil oleh isteri saya di bahagian solat wanita. Ini pintu masuk untuk jemaah wanita.

Ruang solat jemaah wanita di tingkat 1.

View ruang solat lelaki terbuka dari tingkat 1.


Selesai bersolat kami pun ke tempat berkumpul. 

Ada group member kami yang beli hati unta kering kerana ingin mengubati masalah sakit asthma.

Ustaz sedang membeli buah kurma. Yang uniknya kurma ni kurma muda dan disejukkan. Kami tak pernah makan kurma ni. 

Kurma muda ni dipanggil balah. Ia di peringkat sebelum nak masak dan keluar pada musim panas. Dipetik dan disejukkan dalam fridge. Kurma yang dah masak pula dipanggil ruthob atau ada orang panggil kurma basah. Dan kurma yang dah masak kering pula dipanggil tamar. 

Dan mesti la ada group photo 😊.

Ada pulak anak-anak kucing comel ni 😊.

Dan Ustaz share pada kami semua kurma yang dibelinya tadi. Sedap sangat! Alhamdulillah dapat merasa. 

Seterusnya lawatan ke ladang kurma. Hampir setiap pakej umrah pasti ada itinerary lawat ladang kurma, beri peluang untuk jemaah membeli kurma untuk dibawa pulang.

Sangat banyak jenis kurma yang dijual di sini. Dan juga berlainan harganya. Sesungguhnya bumi Madinah ini cukup subur dan berkat. Rasulullah SAW pernah mendoakan kota Madinah agar diberi limpahan keberkahan oleh Allah SWT: “Ya Allah, jadikanlah berkat Madinah dua kali ganda daripada berkat yang Engkau jadikan untuk Makkah”. 

Di ladang kurma yang kami kunjungi ini, terdapat beberapa jenis kurma yang dijual. Kurma yang paling istimewa ialah kurma ajwa (kurma Nabi) yang mempunyai nilai istimewa tersendiri kerana disabdakan oleh Nabi SAW: "Barang siapa yang pada pagi hari makan tujuh biji kurma ajwa, maka baginya akan terhindar dari racun dan sihir pada hari itu juga".

Selain buah kurma, ada bermacam produk lain. 


Ada ramai pekerja Indonesia di sini. Jadi tak ada masalah komunikasi untuk berjual beli. 

Pelbagai jenis kurma.





Coklat pun ada.

Sementara group members sibuk membeli kurma, kami ke tempat rehat ini yang dibuat di dalam ladang kurma. 

Teduh dan nyaman.

Ustaz memberi beberapa penerangan: 
- Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya ada di antara pepohonan, satu pohon yang tidak gugur daunnya. Pohon ini seperti seorang muslim, maka sebutkanlah kepadaku apa pohon tersebut?” Kemudian mereka berkata: “Wahai Rasulullah beri tahukanlah kami pohon apa itu?” Lalu Rasulullah SAW menjawab: “ia adalah pohon kurma.”
- Pokok kurma menyerupai manusia dari sudut ketahanan, kegunaan dan faedahnya. 
- Interesting fact yang Ustaz share ialah pelepah pokok kurma kalau tak ditangkas ia tak akan gugur. 
- Sejenis kurma di Madinah iaitu kurma ajwa atau kurma Nabi, sesiapa yang berpagi-pagi dengan 7 biji tamar ajwa, tidak akan memudaratkannya pada hari itu sebarang bentuk racun atau sihir. Kurma yang dimaskudkan itu kata para pengkaji ialah hanya tamar ajwa yang tumbuh di Madinah. 
- Antara kurma yang terkenal di Madinah ini ada 9 jenis: ajwa, al jadied, al bir, rabia, barni, safawi, shalabi, ruthana dan anbara. 

Ustaz juga bercerita tanah di Madinah ini boleh digunakan untuk merawat luka. Dengan air liur (ibu jari di sapu pada langit-langit mulut) yang disentuhkan pada tanah Madinah (tanah tidak berpasir dan tanah bersih) dan selepas itu disapu pada luka tersebut insyaAllah akan berhenti berdarah. Menurut Ustaz dia sendiri pernah melakukan rawatan perubatan cara ini pada seorang jemaah dan Alhamdulillah luka jemaah tersebut berhenti berdarah. 

Ada riwayat bahawa Rasulullah SAW melakukan perubatan dengan tanah dan air liur, kemudian baginda membaca doa:
بِسْمِ اللهِ تُرْبَةُ أَرْضِنَا، بِرِيْقَةِ بَعْضِنَا، يُشْفَى سَقِيْمُنَا بِإِذْنِ رَبِّنَا    
“Dengan menyebut Nama Allah, (debu) tanah bumi ini dengan air ludah sebagian di antara kami dapat menyembuhkan penyakit di antara kami dengan izin Allah.” (HR. Bukhari)
Dengan izin Allah SWT, bumi Madinah ini ada mendatang pelbagai faedah pada kita. 

Di ladang kurma ini juga terdapat sebuah kesan sejarah yang bernama Telaga Yaseerah. Telaga Yaseerah terletak di kediaman Banu Umayyah bin Zaid dari suku Al-Aws. 

Pada mulanya, telaga ini dikenali sebagai Al-'Aseerah yang bermaksud 'Perkara Yang Sukar'. Pada suatu hari, bila Nabi Muhammad SAW telah melawat Banu Umayyah dan berwuduk menggunakan air dari telaga ini, baginda menukarkan namanya kepada "Al-Yaseerah" yang bermaksud 'Perkara Yang Mudah'. Semenjak itu, telaga ini dikenali sebagai Telaga Al-Yaseerah. 

Menurut sejarahnya, air dari telaga ini juga digunakan untuk memandikan jenazah seorang sahabat, Abu Salamah bin 'Abdul-Asad Al-Makhzumi RA yang juga meninggal dunia selepas mengalami cedera parah dalam Perang Uhud. 

Telaga sebenarnya tidak lagi wujud di sini. Hanya terdapat papan tanda yang diletakkan oleh Kerajaan Arab Saudi untuk menyatakan kewujudannya di sini.

Semasa menunggu ahli rombongan lain di dalam bas, tiba-tiba masuk seorang penjual dan melaung-laung barangan yang dijualnya. Ini perkara biasa bila ke tempat sebegini. Jadi jangan la kita bersungut tidak menyukai, biarlah sahaja kerana dia mencari rezeki. Di satu tempat lain ada penjual yang beradab sopan meminta izin dahulu sebelum naik ke bas dan Ustaz politely decline. 

Ke destinasi seterusnya, Jabal Uhud.

Kelihatan beberapa lagi ladang-ladang kurma subur yang luas.  

Jabal Uhud jaraknya 5 km sebelah utara kota Madinah. Tingginya 1,050 meter dan panjangnya 7 km. Ia tidak bersambung dengan gunung-gunung lain di Madinah yang kebanyakkannya bersambungan. Sebab itu dinamakan Jabal Uhud yang bererti bukit menyendiri. 

Jika kita ingin melihat bukit yang ada di syurga, maka ziarahlah Bukit Uhud. Nabi SAW bersabda: 'Bukit Uhud adalah salah satu dari bukit-bukit yang ada di syurga'. (H.R. Bukhari). 

Dari Anas bin Malik ra, Rasulullah SAW bersabda:
'Sesungguhnya Uhud adalah satu gunung yang mencintai kami dan kami juga mencintainya'. Riwayat Bukhari dan Muslim.

Hadis Thauban ra, bekas hamba Rasulullah SAW: Rasulullah SAW telah bersabda: 'Sesiapa yang mendirikan sembahyang jenazah, maka dia mendapatkan satu qirat (qirat adalah kinayah bagi ganjaran pahala yang sangat banyak). Jika dia menghadiri pengebumiannya maka dia mendapat dua qirat. Satu qirat adalah sama dengan bukit Uhud'.

Sebuah riwayat juga menceritakan, Rasulullah SAW pernah menaiki puncak Uhud bersama Sayyidina Abu Bakar ra, Sayyidina Umar Al-Faruq ra dan Sayyidina Usman bin Affan ra. Setelah keempatnya berada di puncak, terasa Gunung Uhud bergegar. Rasulullah SAW kemudiannya menghentakkan kakinya dan bersabda, “Tenanglah kamu Uhud. Di atasmu sekarang adalah Rasulullah dan orang yang selalu membenarkannya dan dua orang yang akan mati syahid.” Tak lama setelah itu Uhud berhenti bergetar. Demikianlah tanda kecintaan dan kegembiraan Uhud menyambut Rasulullah SAW.


Masa bas kami masuk ke kawasan lawatan Jabal Uhud ini, kelihatan ada bangunan baru. Ini adalah the newly renovated Sayyid Al-Shuhada Mosque. Merupakan masjid kedua terbesar di Madinah selepas Masjid Nabawi yang boleh memuatkan seramai 15,000 jemaah.

Turun bas Ustaz terus bawa kami ke Bukit Rumat atau juga dikenali sebagai Bukit Pemanah atau Gunung 'Ainain. 


Inilah Jabal Rumat, sebuah bukit yang kedudukannya tidak jauh dari Jabal Uhud, merupakan bukit di mana Rasulullah SAW tempatkan pasukan pemanah dalam peperangan Uhud. Rasulullah SAW bersabda kepada mereka: 'Lindungilah kami dengan anak panah, agar musuh tidak menyerang kami dari arah belakang. Tetaplah di tempatmu, walau kita di atas angin atau pun terdesak, agar kita tidak diserang dari arahmu'.

Pasukan 50 orang permanah Islam berjaya mematahkan serang kafir Quraisy sehingga pasukan Islam menang pada tahap awal pertempuran. Tetapi ia juga menjadi penyebab kekalahan pasukan Islam pada tahap kedua, kerana pasukan pemanah itu telah tergoda dengan harta rampasan perang, yang sengaja ditinggalkan pasukan kafir. 40 pemanah melanggar perintah Rasulullah SAW dan turun ke Lembah Uhud untuk turut mengumpulkan harta ghanimah (harta rampasan perang) walaupun dilarang oleh ketua mereka, Abdullah bin Jubair. Hanya 10 pemanah sahaja yang kekal tinggal di Jabal Rumat. Dan kerana itulah, pasukan Islam kemudian dikalahkan semasa serang balas pasukan pimpinan Khalid bin Walid (yang ketika itu masih belum memeluk Islam). 

Akan tetapi dalam pertempuran selanjutnya, kaum Muslimin yang dipimpin Rasulullah SAW mampu membalikkan keadaan hingga menguasai kembali pertempuran, meskipun ramai para sahabat yang gugur demi menyelamatkan baginda. Antara kehilangan besar buat umat Islam ketika itu ialah kematian Sayyidina Hamzah ra, pakcik Nabi SAW. Dalam peperangan itu juga, gigi Rasulullah SAW patah iaitu antara gigi hadapan dengan gigi taring sebelah kanan bahagian bawah. Wajah dan bibir Rasulullah SAW turut luka akibat terkena lontaran batu oleh tentera kafir.

Sejarah Uhud mengajarkan kesan melanggar arahan Nabi SAW dan bahawa tarikan dunia yang mencengkam hati boleh merosakkan umat Islam. 

Lokasi Bukit Rumat, berdekatan dengan tanah perkuburan Shuhada dan Masjid Sayyid Al-Shuhada.

Boleh jika hendak mendaki Bukit Rumat yang tidak begitu tinggi ini hingga ke puncak tetapi haruslah berhati-hati. 

Ustaz menasihatkan cukuplah kami berada di kaki Bukit Rumat sahaja kerana ada ahli rombongan yang mungkin akan kepayahan untuk mendaki.

Berkumpul bersama Ustaz untuk penerangan.

Kenapa la perlu nak buat macam ni?

Ustaz memulakan penerangan.

Ustaz menunjukkan pada kami Bukit Rumat ada 2 bahagian, iaitu di tempat kami berkumpul dan di bahagian depan, sebuah bukit yang lebih kecil.


Kedua-dua bahagian Bukit Rumat.

Ustaz menunjukkan pada kami kawasan pertempuran perang Uhud.


Di hujung sana, di ladang kurma tu, adalah tempat perkhemahan kafir Quraisy semasa peperangan Uhud.


Ustaz menunjukkan kawasan perkhemahan tentera Islam.

Lokasinya di salah satu lembah Jabal Uhud.


Pertempuran hari pertama:
Berlaku pada hari Jumaat. Bila Nabi SAW selesai solat Jumaat, Nabi SAW bertanya kepada Abbas ra ada berapa ramai tentera Islam yang akan pergi berperang. Ketika itu tentera Islam ada seramai 1,000 orang, 2 ekor kuda dan kelengkapan lain. Tentera kafir Quraisy ada 3,000 orang, 200 kuda dan 700 kelengkapan tentera. 

Ketika Nabi SAW hendak keluar diperhatikan ada satu kumpulan seramai 300 orang balik tidak mahu berperang. Mereka adalah orang-orang Abdullah bin Ubay ibny Salul ketua golongan munafik. Nabi SAW pun mengatakan tidak akan meminta bantuan pada orang kafir, sekali gus menyamakan orang munafik itu seperti golongan orang kafir. Maka dari 1,000 orang, tinggallah 700 orang tentera Islam.
Ustaz sedang menceritakan tentang belot kaum munafik.

Pada hari pertama ini antara tentera islam yang terbunuh ialah Hamzah bin Abdul Mutalib ra dilempar dengan tombak oleh Wahsyi (yang dijanjikan merdeka jika berhasil membunuh Hamzah bin Abdul Mutalib ra, sebagai pembalasan terhadap Hamzah bin Abdul Mutalib ra yang telah membunuh Thu’aimah bin ‘Adi dalam perang Badar) hingga tembus dada dan tombak itu terpacak di tanah. 
Menceritakan pembunuhan Hamzah bin Abdul Mutalib ra oleh Wahsyi dengan rejaman lembing. Yang sangat Nabi SAW sayangi Hamzah bin Abdul Mutalib terbunuh dalam peperangan ini. Hamzah ra yang juga dikenali sebagai 'Singa Allah' kerana keberaniannya adalah juga merupakan adik beradik sesusu dengan baginda Nabi SAW.

Hari kedua: Peristiwa berdarah.
Bukit 'Ainain menjadi benteng tinggi yang penting bagi tentera Islam.
Bukit 'Ainain benteng pertahanan tentera Islam semasa perang Uhud.

Kemaraan tentera kafir Quraisy dapat dipatahkan oleh pasukan pemanah yang menghujani mereka dengan tembakan anak-anak panah. Pasukan pemanah adalah sebagai strategi long range battle.
Ustaz menceritakan pengunaan strategi pasukan pemanah dalam mematahkan serangan musyrikin.

Ketika inilah berlaku kisah pasukan pemanah yang Nabi SAW tempatkan di bukit 'Ainain ini. Rasulullah SAW bersabda:
'Meskipun kamu melihat kami disambar burung, janganlah kalian meninggalkan tempat kalian ini sampai aku mengutus utusan kepada kamu. Meskipun kamu melihat kami telah berhasil mengalahkan mereka, maka janganlah kamu meninggalkan tempat ini sampai aku mengutus utusan'. [HR. al- Bukhâri). Ini satu arahan yang sangat jelas dari Nabi SAW. 
Bukit 'Ainain benteng pertahanan tentera Islam.

Malangnya bila sudah kelihatan tentera Islam menang, pasukan pemanah meninggalkan post mereka dan turun ke bawah bukit untuk mendapatkan harta rampasan perang walau pun ketua mereka Abdullah bin Jubair sudah berteriak melarang mereka membuat demikian. 
Ustaz menceritakan bagaimana tentera pemanah Islam yang engkar mematuhi tegahan keras ketua mereka Abdullah bin Jubair dan tetap turun untuk memungut rampasan perang.

Pada saat itulah Khalid Al Walid yang ketika itu belum memeluk Islam, mendapat satu strategi. Memandangkan pasukan pemanah tentera Islam telah turun ke bawah, maka tentera Islam sudah tidak ada advantage. Lalu dia dan sepasukan tentera kafir Quraisy membuat satu pusingan Bukit Uhud, naik ke bukit 'Ainain dari belakang dan membunuh semua pemanah yang masih ada di situ. Bila ini berlaku maka tentera kafir Quraisy pun menyerang semula. 
Khalid Al Walid dan tentera membuat pusingan Jabal Uhud untuk menyerang tentera pemanah Islam dari arah belakang Bukit 'Ainain.

Pada saat itu Nabi SAW datang turun ke medan perang berjuang hingga luka muka dan patah gigi baginda. Nabi SAW juga pengsan dan bangun beberapa kali hingga baginda jatuh ke dalam lubang. Pada ketika inilah terdengar teriakan mengatakan Nabi SAW telah wafat. Ada yang mengatakan itu adalah teriakan syaitan. Dan pada masa itu juga beberapa orang-orang Ansar datang seorang demi seorang melindungi Nabi SAW dengan menjadikan badan mereka sebagai perisai. 11 orang dari mereka mati melindungi Nabi SAW.  
Ustaz menceritakan bagaimana Nabi SAW sendiri telah mengalami cedera teruk ketika peperangan Uhud.

Ketika itu juga Nabi SAW nampak Saad bin Abi Waqqas r.a. pemanah ulung tentera islam yang hebat panahannya jika memanah akan menembusi badan musuh. Beliau menarik anak panah hingga patah dan menghayun anak panah itu menyerang musuh. 

Nabi SAW juga nampak seorang wanita bernama Usaibah binti Kaab di medan pertempuran Uhud. Dalam peperangan ini, kaum wanita juga turut serta seperti puteri Nabi SAW Fatima ra bersama Aisyah ra yang berkhemah di  Masjid Nabi merawat tentera-tentera Islam yang cedera. Usia Nabi SAW ketika itu adalah 56 tahun. Nabi SAW dibawa ke tempat rawatan dan dirawat oleh Fatima ra dan Sayyidina Ali ra. Air ditakung di dalam perisai Sayyidina Ali, kain dibakar dan abunya disapu pada muka baginda. 
Menceritakan tentang Saad bin Abi Waqqas r.a, Usaibah binti Kaab, Fatima ra dan Aisyah ra. 

Lalu Nabi SAW perintah supaya berundur seketika. 
Ustaz menunjukkan kawasan di mana tentera Islam retreated.

Hari ke tiga pertempuran Uhud:
Akhirnya tentera Islam berjaya mengusir keluar tentera Quraisy dari bumi Madinah. Ada yang mengatakan kemenangan bagi pihak tentera Islam, ada yang kata seri. 

Dalam pertempuran Uhud 70 orang kaum Muslimin, di antaranya adalah bapa saudara Nabi, Hamzah bin Abdul Mutalib ra, Mush'ab bin Umair dan Abdullah bin Jahsyin ra., telah gugur sebagai syuhada. Mereka dikuburkan di tempat ini merupakan pemakaman Makam Syuhada Uhud. Lokasinya adalah di antara Gunung Uhud dan Bukit Rumat. 

Setelah perang tamat dan kaum Musyrikin mengundurkan diri kembali ke Makkah, Nabi Muhammad SAW memerintahkan agar mereka yang gugur dimakamkan di tempat mereka terbunuh.

Berjalan di antara celah-celah gerai niaga menuju ke Makam Syuhada Uhud.


Sentiasa ada panduan sebegini yang dipaparkan oleh kerajaan Arab Saudi untuk mencegah perbuatan bid'ah.


Rasulullah SAW said: “Their (shuhada’s) souls are in the crops of green birds, which have lamps hanging from the Throne, and they roam freely wherever they want in Paradise, then they return to those lamps. Their Lord looked down upon them and said: ‘Do you desire anything?’ They said: ‘What could we desire, when we can roam freely wherever we want in Paradise?’ He (subhanahu wa ta’ala) did that with them three times, and when they saw that they would not be left without being asked, they said: ‘O Lord, we want You to restore our souls to our bodies so that we may be killed in Your cause again.’ When He saw that they had no need, they were left alone.” [The Book of Leadership: Sahih Muslim]

This was the reply given by Rasulullah SAW when Abdullah Ibn Masud ra asked him about this ayat: “And do not regard those who have been killed in the cause of Allah as dead, rather, they are alive with their Lord, being provided for.” [Al-Quran 3:169]
Source: http://dailyhadith.adaptivesolutionsinc.com/hadith/Souls-in-Green-Birds.htm

Ketika manusia yang meninggal dunia berada di dalam kubur, para syuhada pergi terus ke syurga untuk mula menikmati rahmatNya. Mereka begitu gembira di sana dan tidak ada lagi yang mereka kehendaki. Apabila Allah SWT terus bertanya apa lagi yang mereka mahu, mereka mengatakan bahawa mereka ingin mati syahid sekali lagi.

Ada 2 makam yang ditandakan dengan batu iaitu makam milik Hamzah bin Abdul Mutalib dan Abdullah bin Jahsyin. 

Makam ini merupakan antara tempat kunjungan bagi mereka yang ke Madinah.


Antara barangan yang dijual di gerai-gerai berdekatan.

Ini Masjid Qiblatain. Permintaan Rasulullah SAW telah diperkenankan oleh Allah SWT pada bulan Syaaban dengan turunnya ayat 144 dari surah Al-Baqarah yang mengandungi perintah untuk berpindah kiblat daripada menghadap Masjidil al-Aqsa di Baitulmuqadis (Bait al-Maqdis) ke arah Masjidil Haram (Baitullah Kaabah) di Makkah al-Mukaramah.
Firman Allah SWT
قَدْ نَرَىٰ تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِى ٱلسَّمَآءِ ۖ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةًۭ تَرْضَىٰهَا ۚ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا۟ وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُۥ ۗ وَإِنَّ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَٰبَ لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ ٱلْحَقُّ مِن رَّبِّهِمْ ۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَٰفِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ

“Sering Kami melihat kamu (wahai Muhammad) berulang kali menadah ke langit, maka Kami benarkan kamu berpaling mengadap kiblat yang kamu sukai, oleh itu halakan mukamu ke arah Masjidil Haram (tempat letaknya Kaabah); Dan di mana saja kamu berada, maka hadaplah mukamu ke arahnya. Sesungghunya orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Al-Kitab (Taurat dan Injil), mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar daripada Tuhan mereka dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan.”

Seterusnya kami melalui kawasan Perang Khandak. Khandaq bererti 'parit'. Dalam sejarah Islam, Khandaq adalah peristiwa penggalian parit pertahanan sehubungan dengan peristiwa pengepungan kota Madinah oleh kafir Quraisy bersama dengan sekutu-sekutunya yang terdiri dari Yahudi Bani Nadir, Bani Ghathfan dan lain-lainnya. 
Jalan ini dibina di atas bekas Parit Perang Khandaq

Bila mendapat tahu kafir Quraisy dan sekutu-sekutunya merancang untuk menyerang kota Madinah, Rasulullah SAW bermusyawarah dengan para sahabat dan salah seorang sahabat Nabi SAW bernama Salman Al Farisi mencadangkan agar parit dibuat untuk menyekat serangan tersebut. Nabi SAW bersetuju dan parit digali di bawah pimpinan Rasulullah SAW sendiri. Peristiwa pengepungan kota Madinah terjadi pada bulan Syawal tahun kelima Hijrah. 

Pada hari yang ditetapkan, Allah SWT mengirimkan tentera Malaikat yang tidak terlihat dan mengirimkan angin kencang yang memporak-perandakan orang kafir sehingga mereka lari lintang-pukang. Perkara ini diceritakan di dalam Al Quran (Surah Al-Ahzab Ayat 9): "Wahai orang-orang yang beriman, kenangkanlah nikmat Allah SWT yang dilimpahkanNya kepada kamu. Semasa kamu didatangi tentera (Al-Ahzab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan (ingatlah) Allah SWT sentiasa melihat apa yang kamu lakukan". 
Masjid Sab'ah.

Ini Masjid Fath adalah salah satu daripada kumpulan masjid yang dikenali sebagai Masjid Sab'ah (The Seven Masjid), yang lain ialah Masjid Salman Al Farsi, Masjid Ali ibn Abi Talib, Masjid Umar ibn al-Khattāb, Masjid Sa'ad bin Muaz (sekarang dikenali sebagai Masjid Fatima Az-Zahra), Masjid Abu Bakr As-Siddiq dan yang ketujuh adalah Masjid Qiblatain. 

Dari ketujuh masjid ini, Masjid Fatah (Masjid Kemenangan) memiliki peranan yang sangat mulia. Di masjid inilah Rasulullah SAW memimpin kaum Muslimin dalam menghadapi pasukan Quraisy. Di lokasi ini juga Rasulullah SAW berdoa selama tiga hari berturut-turut sehingga Allah SWT mengabulkan doa Rasulullah SAW melalui kedatangan Malaikat Jibril pada hari Rabu. Jibril datang membawa berita kemenangan (Al-Fath) kaum Muslimin ke atas tentera sekutu. Pada ketika itu tidak ada masjid ini, dibina pada zaman pemerintahan Umar bin Abdul Aziz ra.
Peninggalan perang Khandaq yang ada kini hanyalah berupa lima buah pos yang dulunya berjumlah tujuh buah semuanya. Menurut sebahagian riwayat, tempat tersebut adalah bekas pos penjagaan. Rasulullah SAW pernah singgah dan bermalam di pos-pos ini. Pos-pos ini kemudian berkembang menjadi masjid-masjid kecil yang berjumlah tujuh bangunan. 

Seterusnya singgah di pasar kurma. Ada banyak kedai di sini dan banyak jenis kurma and other products. Kami beli sedikit kurma untuk keluarga.





Selesai lawatan pagi, kami balik semula ke hotel, berehat sekejap dan bersiap untuk ke masjid bersolat Zohor. Masa di lobi lift tingkat 5 bertembung pula dengan Ustaz Muhammad Mursyid, Pengarah Urusan Mursyid Alharamain Travel & Tours Sdn Bhd. Muda lagi orang, lagi muda dari Ustaz Husni. Orangnya sangat peramah dan ceria. Sempat juga kami berbual sekejap. 

Di perkarangan Masjid Nabawi. 




Merakam suasana di dalam Masjid Nabawi yang lengang masa tu. 







Ruang solat berpayung besar yang high-tech.


Dari sudut ini kelihatan kubah hijau.

Di sekitar ruang solat di belakang makam Rasulullah SAW. 

Kalau tak silap saya ini adalah tempat Rasulullah SAW bersolat tahajjud berjemaah bersama ahli suffah. Tempat ini berada di belakang kediaman Fatima ra.

Suasana di ruang solat wanita.


Ramai juga jemaah yang bersolat di dataran.

Rak tempat letak kasut di pintu masuk ke masjid bahagian wanita.


'We are glad that you came, and your comfort is our aim', a message from the "Custodian of the Two Holy Mosques.

Our meeting place each time after solat, at Gate no. 25. Lepas tu balik sama-sama ke hotel. 

Banyak berjalan hari ni so kami lapar 😊. Alhamdulillah, hidangan makan tengahari kami cukup menyelerakan. Ada ikan masak kicap dan sup ayam. Dan sambal! 😋

Pergi ke masjid menunaikan solat Asar.


Selesai solat Asar kami berkumpul di depan pintu masuk utama Masjid Nabawi bersama Ustaz untuk melakukan ziarah. Firstly, tiba-tiba ada ambulan masuk. Ada kecemasan agaknya. Secondly, 2 orang group members kami kehilangan sandal/selipar, jadi terpaksalah pergi beli ganti.

Bila semua dah tiba, Ustaz pun memberi penerangan yang dibuat berdekatan di pintu no. 21. Ini adalah kerana berdekatan dengan pintu itu, di sebelah dalam ada satu kesan peninggalan sejarah iaitu sebuah telaga yang dinamakan Telaga Ha.

Tanda lokasi telaga Ha ada di bawah karpet merah paling belakang sekali iaitu berdekatan pintu 21. 

Keseluruhan lantai di Masjid Nabawi bercorak begini.

Tetapi telaga Ha ditandakan dengan 3 corak bulat seperti ini. Kebetulan pada masa itu tiada sesiapa yang sedang duduk di karpet ini, jadi saya dan 2 orang group members selak sekejap karpet tu to take a few snaps. 

Kebetulan pada masa itu datang seorang jemaah yang tak pasti saya dari negara mana yang memberitahu kami memang benar inilah lokasi telaga Ha. Setelah ambil gambar, cepat-cepat kami tutup balik karpet itu. Ini semua berlaku pada malam hari, bukan semasa lepas Asar. 

Selepas taklimat tadi kami pun bersama Ustaz membuat ziarah. Ahli rombongan wanita berjalan berkumpulan di bahagian wanita dan akan berjumpa kami di Pintu Baqi'. 

Ada jemaah sedang menyediakan juadah buka puasa.

Kami masuk melalui Abi Bakr Al-Siddique Gate. Ustaz menceritakan pada kami: Nabi SAW pernah bersabda, 'Semua pintu rumah-rumah yang terbuka langsung ke dalam Masjid harus ditutup kecuali pintu Abu Bakar'. Ini ibarat satu indikasi yang Abu Bakar ra bakal menjadi khaliah pertama. 




Ustaz memberi penerangan.

Peta Masjid Nabawi dan kedudukan tiang-tiang utama di Raudhah.
Source: https://www.slideshare.net/momina166/visiting-madinah-al-munawarah


The Minbar of the Prophet SAW.

Di dalam tu ialah kawasan Ar-Rawdah. 
Diriwayatkan dari Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda: “Ruang antara rumahku dan mimbarku adalah satu taman daripada taman-taman syurga. Dan mimbarku terletak di atas kolamku”. Diriwayatkan oleh al-Bukhaari, 1196; Muslim, 1391.

Disebelah kanan itu ialah Mihrab Uthmani. Masa berjalan di sini keadaan adalah sesak tapi crowd berjalan lancar.

Dari kiri ialah the weeping stump (tiang menangis) atau Mukhallaqah column / Perfumed Pillar, Mihrab Nabi SAW (kiri) dan pintu masuk ke Ar-Rawdah.
Tiang menangis ini pada asalnya adalah sebatang pokok kurma tempat Nabi Muhammad SAW sering bersandar sewaktu menyampaikan khutbah. Ketika menyampaikan sebuah Khutbah Jumaat, Kaum Ansar dengan hormat menawarkan kepada Nabi untuk membuat sebuah mimbar yang terdiri dari tiga anak tangga.

Ketika Nabi duduk di atas mimbar ini untuk berkhutbah, para sahabat mendengar batang pohon kurma itu menangis seperti anak kecil. Lalu Nabi mendekati pohon yang menangis itu dan kemudian memeluknya sehingga pohon itu tenang. Pohon kurma itu menangis karena dia tidak lagi digunakan untuk mengingat Allah dan semenjak itu pohon tersebut diberi sejenis pewangi yang disebut khaluq. Tiang ini kemudian dipanggil sebagai Tiang Mukhallaqah.

Makam Rasulullah SAW. 

3 tiang di bahagian dalam itu ialah (dari kanan) Pillar of the Bed (As-Sareer), Pillar of the Guards (al-Haras) and Pillar of the Delegations (al-Wufood).
Tiang As-Sareer (bermaksud: tempat tidur) kerana Rasulullah SAW menggunakan tempat ini sebagai tempat tidurnya selama iktikaf. Di tiang al-Haras, apabila berjumpa dengan masyarakat, Rasulullah SAW duduk di tempat ini dan dijaga oleh para sahabatnya. Di tiang Al-Wufood, Nabi SAW duduk untuk menerima kedatangan deligasi Arab.


Source: https://www.slideshare.net/momina166/visiting-madinah-al-munawarah


Grill emas ini adalah tempat di mana Nabi Muhammad SAW wafat dan di mana baginda dikebumikan. Ia juga menempatkan kubur dua khalifah pertama Islam, Abu Bakr ra dan Umar ra. 
The Prophet (peace and blessings of Allah be on him) said:
“Whoever visits me after my death is like he who had visited me during my life.” [Tabraani]
“Whoever performs his Hajj in Makkah, then comes to Madinah with the sole aim of visiting me in my Masjid, for him shall be written (the rewards of) two accepted Hajj.” [Daylami]
“When a person stands at my grave reciting blessings on me, I hear it; and whoever calls for blessings on me in any other place, his every need in this world and in the hereafter is fulfilled and on the day of Qiyamah I shall be his witness and intercessor.” [Bayhaqi]

Pada grill ini ada lubang-lubang (tapi tak nampak dalam foto saya ini) yang sejajar dengan wajah-wajah Nabi SAW, Abu Bakar ra dan Umar ra. Lubang terbesar di kiri terus menghadapi muka mulia Nabi Muhammad SAW. Yang di tengah-tengah adalah sejajar dengan wajah Abu Bakr ra dan juga satu di sebelah kanan adalah sejajar dengan wajah Umar ra.

Source: https://www.slideshare.net/momina166/visiting-madinah-al-munawarah


Bagi jemaah wanita, lawatan ke Raudah ada waktu tertentu seperti dalam schedule di bawah. Waktu lawatan bagi wanita pula adalah dari pukul 9-11 pagi, 20 minit selepas Solat Zohor dan 9-11 malam setiap hari. Jemaah wanita yang ingin berkunjung ke Raudhah perlu masuk menerusi Pintu 25 Masjid Nabawi.

Jemaah Wanita akan dikumpulkan mengikut kumpulan-kumpulan tertentu. Bagi Jemaah dari Nusantara, mereka akan dikumpulkan sebagai "Kumpulan Berbahasa Melayu". 

Kumpulan-kumpulan tadi akan dibawa masuk berdikit-dikit menuju ke Raudhah, berhenti 3-4 kali dan diminta duduk di sana sehingga akhirnya dibenarkan masuk ke Raudhah. Cara ini sangat sistematik, cuma masalahnya memang sentiasa ada jemaah yang kurang sabar dan tidak mengikut peraturan yang ditetapkan. 

Laluan masuk dan keluar dari Raudhah adalah sehala bagi wanita. Kerana itulah diminta supaya tidak meninggalkan apa-apa barangan peribadi seperti kasut dan beg tangan di laluan menuju ke Raudhah kerana bila dah masuk tu, tak boleh berpatah balik keluar ke pintu asal.

Selesai ziarah makam Nabi SAW, kami pun berjalan keluar dari Masjid Nabawi melalui pintu Baqi'. 

Menunggu group wanita sampai di tempat yang dijanjikan untuk berkumpul semula.


Di sekitar kawasan dataran ini dikatakan adalah lokasi rumah Uthman bin Affan ra dan rumah Abu Ayyub Ansari ra.

Berkumpul di antara Masjid Nabawi dan Perkuburan Baqi', Ustaz sedang memberi penerangan sebelum kami ke Perkuburan Baqi'. 

Pada awalnya Nabi SAW melarang orang Islam menziarahi kubur kerana terkesan lagi dengan jahiliyah yang meratap, menangis dan mengoyak baju dsb. 
Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya aku dahulu telah melarang kalian untuk berziarah kubur, maka sekarang berziarahlah! Karena dengannya, akan bisa mengingatkan kepada hari akhirat dan akan menambah kebaikan bagi kalian. Maka barangsiapa yang ingin berziarah maka lakukanlah, dan jangan kalian mengatakan ‘hujr’ (ucapan-ucapan batil).” (H.R. Muslim).

Berjalan ke Perkuburan Baqi'.

Ada papan info on 'The Marital Relations between the family of Prophet SAW and his companions'.

'The Marital Relations between the family of Prophet SAW and his companions'. Yang warna kuning adalah keluarga Nabi SAW dan yang merah adalah para sahabat Nabi SAW.


Tiba di tanah Perkuburan Baqi' yang menempatkan makam ramai keluarga dan sahabat-sahabat Nabi. Di sini, terdapat sekitar 10 ribu orang keluarga dan sahabat Nabi, sehingga pemakaman ini sangat dimuliakan. 

Menurut bahasa, Baqi’ bererti tempat di mana terdapat tunggul berbagai jenis pohon. Dari situlah dinamakan tanah perkuburan ini dinamakan Baqi’ Al-Gharqad. Al-Gharqad pula adalah pohon berduri yang sangat besar. Berbagai sumber sejarah menunjukkan bahawa orang yang pertama dikuburkan di tempat suci itu adalah sorang sahabat yang mulia, Usman bin Mazhun. Kemudian di sampingnya dimakamkan pula Ibrahim, putera Rasulullah SAW. Rasulullah SAW sendiri sering berulang alik ke Baqi’. Baginda pergi ke Baqi’ pada malam hari, lalu berdoa dan memohonkan keampunan bagi penghuninya. 

Dari Ibnu Umar, Nabi SAW bersabda: “Barang siapa yang mampu meninggal di Madinah, hendaklah dia meninggal di Madinah. Sesungguhnya aku akan memberi syafaat bagi sesiapa sahaja yang meninggal di sana.” (HR. Ahmad). 

Pada masa kini, Perkuburan Baqi' hanya terdiri dari hamparan tanah merah dan batu tanpa penanda siapa yang dikuburkan. Beberapa tokoh Islam yang dikuburkan di Jannatul Baqi adalah isteri-isteri Rasulullah SAW, yang juga dikenali sebagai Ummahatul Mu’minin (Ibu dari orang yang beriman) termasuk Aisyah, Hafsah dan Saudah. Dua isteri Nabi yang tidak dimakamkan di sini adalah Khadijah binti Khuwailid yang dimakamkan di Makkah dan Maimunah binti al-Haris yang dimakamkan di Sarif. 

Anak-anak dan cucu Rasulullah SAW juga dimakamkan di sini, iaitu Fatimah az-Zahra, Ruqayyah, Zainab, Ummi Kalsum, Ibrahim (anak lelaki Rasulullah SAW yang masih bayi dari Mariatul Qibtiyah), sehingga Hasan bin Ali (cucu Rasulullah SAW). Selain itu ibu saudara Rasulullah SAW iaitu Safiyyah dan Atikah juga dikuburkan di Baqi'. Kemudian ada juga Usman bin Affan (khalifah ketiga yang juga merupakan menantu Rasulullah SAW) dan Halimatus Saadiah (ibu susuan Nabi).






Ustaz menunjukkan pada kami peta kedudukan perkuburan di perkuburan Baqi'.

Ustaz bercerita pada kami tentang Sa'ad bin Muaz. Pada hari pengebumian Sa'ad bin Muaz, Nabi SAW memberitahu ketika itu ada 70 ribu malaikat yang mengiringi. Dikatakan berkaitan dengan 70 kesan tikaman pada badan Sa'ad bin Muaz. Setelah dikebumikan, Nabi SAW beredar dan tiba-tiba baginda bersabda: 'Jika ada di antara kamu yang boleh selamat daripada himpitan kubur, nescaya Saad bin Muadz lah yang pertama terlepas daripada himpitan kubur'.

Selesai lawatan ke tanah Perkuburan Baqi' lebih kurang pukul 6:30 petang jadi kami decided untuk terus masuk ke Masjid Nabawi untuk solat Maghrib dan sekali dengan solat Isyak.

Seperti biasa saya ke pintu masuk lelaki dan isteri ke pintu masuk wanita. Kehausan saya berhenti minum air zam zam di salah satu tong air zam zam di dalam masjid. Masa tengah minum tu, iba-tiba ada seorang lelaki Arab memberikan saya buah-buah kurma ni. MasyaAllah, memang kebetulan saya tengah rasa lapar masa itu.

Jemaah yang sedang berbuka puasa.

Semasa tunggu masuk waktu solat Isyak saya nampak beberapa orang jemaah yang berkumpul bertemu dengan pengajar-pengajar yang mengajar cara membaca Al Quran dengan betul, for example membaca Surah Al-Fatihah dengan sempurna. Ustaz menggalakkan kami jika mahu untuk berjumpa dengan salah seorang pengajar ini untuk memperbetulkan cara membaca Al Fatihah. 

Juga antara waktu solat Maghrib dan Isyak, akan selalu ada majlis ceramah agama. Ustaz juga galakkan kami untuk duduk hadir di majlis sebegini walau pun ianya disampaikan dalam bahasa Arab yang kami tak faham. 

Selesai solat Isyak, sebelum balik ke hotel, kami singgah dulu ke farmasi untuk beli ubat demam dan selsema.

Suasana dalam farmasi Nahdi. Lokasi tak jauh dari hotel Mubarak Silver.

Ubat-ubatan yang kami beli. Total semua lebih SAR120. Mahal harganya. Jadi elok kalau siap bawa ubat sebegini dari Malaysia.

Makan malam yang sedap. Ada ulam dan sambal 😋.

Bersambung...

Saya list di bawah semua entries Umrah 2017 for easy reference:
DAY 01 - PREPARATION & DEPARTURE

DAY 02 - ARRIVAL & UMRAH PERTAMA

DAY 03 - MASJID SITI AISYAH, TANAIM

DAY 04 - JABAL ABU KUBAIS, JABAL THUR, MASJID AL RAJHI, UMM AL-QURA UNIVERSITY, ARAFAH, MASJID NIMRA, JABAL RAHMAH, AIN ZUBAIDAH, WADI MUHASSIR, MASJID MASYA'IR HARAM, MUZDALIFAH, MINA, JABAL QURBAN, KOMPLEKS JAMRAH, MASJID BAIAH AQABAH, JABAL NUR, JAARANAH & UMRAH KE 2

DAY 05 - TAIF, MASJID ANDULLAH BIN ABBAS, MASJID KU', EMPANGAN IKRIMAH, PASAR BUAH-BUAHAN, MASJID MIQAT QARNUL MANAZIL & UMRAH KE 3

DAY 06 -  LADANG UNTA, EXHIBITION OF THE TWO HOLY MOSQUES ARCHITECTURE & YAYASAN JAMIYYAH KHAIRIYYAH

DAY 07 - BERANGKAT KE MADINAH, MASJID JIN, TANAH PERKUBURAN MAA'LA, KAWASAN ABU LAHAB, MASJID SITI AISHAH & WADI QUDAID

DAY 08 - MASJID GHAMAMAH, MASJID QUBA', LADANG KURMA, TELAGA YASEERAH, JABAL UHUD, MASJID SAYYID AL-SHUHADA, JABAL RUMAT, PERKUBURAN SHUHADA, MASJID QIBLATAIN, KAWASAN KHANDAK, MASJID SAB'AH, MASJID FATH, MASJID KHANDAK, PASAR KURMA, ZIARAH MASJID NABAWI, TELAGA HA DAN PERKUBURAN BAQI'

DAY 09 - PART 01 - MASJID BANI MUAWWIYAH, MASJID IMAM BUKHARI, SANDSTORM AREA, HIJAZ RAILWAY MUSEUM, MADAIN SALEH

DAY 09 - PART 02 - AL-HIJR (MADAIN SALEH)

DAY 10 - MASJID BILAL BIN RABAH, MASJID JUMMAH, BUKIT TSANIYATUL WADA', MASJID QUBA, TELAGA ARIS, KUBU KAAB BIN ASYRAF, BUKIT KHURAIDAH, KUBU URWAH BIN ZUBAIR, HIJAZ RAILWAY STATION MADINAH, MASJDI AMBARIAH

DAY 11 - PART 01 - MASJID QUBA, THE REFUGE OF FAITH EXHIBITION, UNIVERSITI ISLAM MADINAH, WADI AQIQ, MASJID QIBLATAIN

DAY 11 - PART 02 - SOKAIFAT BANI SAEDAH & MUHAMMAD MESSENGER OF ALLAH EXHIBITION


DAY 12 - GOING HOME

No photograph or videos may be reproduced, downloaded, copied, stored, manipulated, or used whole or in part of a derivative work, without written permission from Syed Amran. All rights reserved.

6 comments:

  1. masyaAllah
    banyaknya ilmu saya dapat di sini

    ReplyDelete
  2. salam tuan,
    terima kasih di atas maklumat yang dikongsikan
    saya mohon kongsi informasi ini, jika tuan tak keberatan

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam k.
      Sama2. Syukur Alhamdulillah.
      InsyaAllah, silakanlah...

      Delete
  3. Salam, tuan. Cantik gambar2nya. Info bermanfaat. Nak baca lagi dan lagi. Semasa disana saya tak dapat mendengar mutawwif bercerita. Alhamdulillah jumpa blog ni. Keep it coming. Terima kasih.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam. Alhamdulillah. Sama-sama.
      Terima kasih for the kind comments. I really appreciate it.
      Saya pun mula-mula susah nak dengar apa yg disampaikan oleh mutawwif especially masa dalam bas. Jadi saya pegang voice recorder dekat-dekat pada speaker di siling bas.. hehe.

      Delete