Monday, May 20, 2024

LABUAN - DAY 02 - KAMPUNG PATAU-PATAU 2

Assalamualaikum.
Selepas melawat Muzium Labuan, saya menuju ke Kampung Patau-Patau 2 pula dengan menaiki Grab car. Di WP Labuan ini lebih popular adalah Maxim, tapi since I already have Grab apps in my phone, jadi saya guna Grab sajalah.

Tak jauh, cuma 2 km saja dari Muzium Labuan.

Nampaknya ada upacara Lion Dance di depan syarikat Harrisons Sabah Sdn Bhd ini.



Kelihatan terminal feri di hujung sana.

WP Labuan landmark at Bulatan Jalan Merdeka.

Di Jalan Patau-Patau.

Tiba di Kampung Patau-Patau 2. 

Saya pun masuk ke dalam Kampung Patau-Patau 2 ini melalui gerbang ini yang mengadap Jalan Patau-Patau. 

Ini adalah foto-foto diorama Kampung Patau-Patau 2 yang dipamerkan di Muzium Labuan yang saya lawati earlier. 




Jom kita jalan-jalan di kampung air ini.

First impression, kampung ini bersih dan terjaga rapi. Laluan konkrit begini membuatkan jalan-jalan saya di kampung air ini lebih selesa dan selamat. Tapi saya pastikan saya berjalan di tengah-tengah laluan. Rasa cemas juga berada di tepi kerana tiada pagar 😅. 

Kampung Air Patau-Patau 2 merupakan salah satu perkampungan air yang terakhir di Malaysia. Kampung ini terdiri daripada rumah-rumah berwarna-warni yang dibina di atas tiang kayu yang disambungkan dahulunya oleh laluan kayu. Kini laluan-laluan itu sudah di telah dinaik taraf kepada konkrit lengkap dengan lampu-lampu jalan.

Kampung Patau-Patau terbahagi kepada dua iaitu Kampung Patau-Patau 1 dan Kampung Patau-Patau 2. Kampung Patau-Patau 2 ini adalah salah satu daripada 4 "kampung air" di WP Labuan. Kampung-kampung air yang lain adalah Kampung Patau-Patau 1, Kampung Bebuloh Laut dan Kampung Rancha-Rancha Laut.

Dipercayai asal usul nama "Patau" adalah  dari pelampung pukat atau jala yang dipanggil patau yang merupakan salah satu peralatan menangkap ikan. Bila dilihat dari jauh, rumah-rumah di perkampungan air ini kelihatannya seperti "patau" yang terapung di atas air di teluk ini. 

Kampung ini terletak kira-kira 3 km dari Bandar Labuan (dahulunya Victoria), dan boleh dikunjungi melalui jalan darat atau teksi air biasa atau bot panjang yang disediakan setiap hari dari jam 6 pagi hingga 6 petang di jeti Pasar Besar WP Labuan. Ia juga boleh dikunjungi dalam jarak 30 minit berjalan kaki dari bandar.

Ditubuhkan pada tahun 1930-an, seluruh kampung ini telah musnah semasa Perang Dunia II dan dibina semula oleh penduduk kampung selepas tamat perang.

Namun ada juga yang mengatakan kampung ini telah wujud sejak abad ke-19 iaitu 1836 semasa WP Labuan mendapat nama "Labuhan" sewaktu pemerintahan Sultan Ali Saifuddin II, Sultan Brunei. Dipercayai juga kampung-kampung air ni merupakan penempatan terawal di WP Labuan.

Menurut statistic perumahan WP Labuan 2020, 82% kawasan perumahan di WP Labuan adalah kawasan perumahan tidak terancang. Kampung Air Patau-Patau 2 ini telah dikategorikan oleh Kerajaan WP Labuan sebagai termasuk dalam kawasan ‘Rumah Tidak Terancang’. Begitu juga dengan Kampung Patau-Patau 1 dan Kampung Bebuloh Laut.

Keseluruhan unit perumahan tidak terancang pada tahun 2020 adalah sebanyak 7,458 unit rumah (Kajian Rancangan Pemajuan Labuan 2040) yang melibatkan 29 buah kampung. Perumahan kampung melibatkan kampung tradisi (6,998 unit rumah) dan kampung atas air (460 unit rumah).

Kampung Patau-Patau 2 mempunyai 85 unit rumah dengan purata keseluruhan kepadatan unit rumah sebanyak 8.14 rumah per hektar.

Kampung Patau-Patau 2 ini dikategorikan sebagai penempatan di WP Labuan yang telah disediakan dengan 'Kemudahan Awam', 'Kemudahan Sukan dan Rekreasi' dan 'Kemudahan Keagamaan'. 

Terdapat 75 produk pelancongan yang bervariasi di WP Labuan berdasarkan kepada tarikan yang telah dipopularkan dan dipromosikan oleh pihak kerajaan dan swasta dan Kampung Patau-Patau 2 disenaraikan di dalam kategori 'Seni & Budaya'.

Seni bina dan konsep perkampungan air banyak dipengaruhi oleh budaya Brunei-Melayu. Semasa pembinaan semula, hanya kayu keras 'belian' gred tertinggi digunakan untuk asas, menjadikan rumah-rumah di sini stabil.

Rumah-rumah ini sangat stabil dan kukuh dan terdapat rumah-rumah di sini yang dibina lebih dari 60 tahun yang lalu. Rahsianya ialah kayu belian yang boleh tahan selama berabad-abad.

Perkembangan serta perubahan struktur dan reka bentuk rumah dipengaruhi oleh peredaran masa. Contohnya, dahulu atap rumah-rumah di sini dibuat dari daun nipah dan yang uniknya adalah perhubungan dari rumah ke rumah menggunakan sampan, tidak seperti sekarang dihubungkan dengan jambatan kayu dan kini dengan jambatan konkrit.

Saya perhatikan kebanyakkan rumah-rumah di sini adalah besar dan cantik dengan hiasan di dalam rumah mewah dan menarik. Rumah-rumah atas air ini dibina secara berdekatan dengan rumah yang lain. Kebanyakan rumah mempunyai beranda yang lapang dan menyejukkan yang dihiasi dengan tanaman pasu dan bunga.

Saya juga perhatikan banyak rumah-rumah di sini yang mempunyai air-conditioner. Ada saya berbual dengan seorang penduduk di sini, pendingin hawa diperlukan kerana keadaan di tepi laut (kawasan teluk) ini boleh menjadi panas dan berbahang terutamanya pada waktu tengahari. 

Kerana cuaca panas di tengahari juga saya perhatikan kebanyakkan rumah-rumah di sini tingkap-tingkapnya dibuka luas. Kata seorang penduduk di sini, suasana siang di perkampungan ini memang begitu kerana disebabkan kedudukan rumah yang berada di atas laut, hawa di dalam rumah memang panas. Hawa panas ini walau bagaimanapun akan bertukar menjadi sejuk di sebelah malam.

Sehingga hari ini, penduduk kampung ini masih menerapkan budaya dan adat Kadayan Brunei ke dalam kehidupan seharian mereka di samping penambahan kemodenan kemudiannya. 

Mereka meneruskan gaya hidup tradisional mereka yang tinggal di rumah panggung di atas laut, bercakap dialek Brunei-Melayu yang tersendiri dan mengamalkan adat-adat (tradisi) Brunei dalam kehidupan seharian mereka.

Penduduk kampung ini adalah dari keturunan pedagang, kelasi dan nelayan dari negara jiran Brunei yang menetap di sini sejak beberapa generasi dahulu. Oleh itu antara sebab penduduk di sini membina rumah-rumah mereka di atas air adalah kerana untuk memudahkan mereka untuk bergiat dalam bidang perikanan.

Komuniti nelayan di perkampungan Patau-Patau dan Bebuloh Laut terlibat dalam penghasilan produk berasaskan hasil perikanan seperti ikan bilis dan ikan masin. Perkampungan perikanan lain di WP Labuan adalah Kampung Pohon Batu, Kampung Muslim, Kampung Lubuk Temiang 1 dan Kampung Lubuk Temiang 2.

Kini penduduk kampung ini bukan sahaja terdiri daripada nelayan. Kini ramai yang telah berjaya menceburi diri dalam dunia perniagaan dan bekerja dalam sektor-sektor lain sehingga ke tahap profesional. 

Terdapat 22 buah pangkalan nelayan di WP Labuan. Pangkalan ini berfungsi sebagai pusat pengumpulan hasil laut untuk dieksport dan dijual kepada pembekal mahupun penduduk sekitar kawasan tersebut. Salah satu pangkalan nelayan ini adalah Pangkalan Patau-Patau 2.

Selain memancing dan aktiviti pelancongan umum, kampung ini juga ada menjalankan program homestay.

Kampung Air Patau-Patau 2 juga merupakan pangkalan yang sempurna untuk menerokai seluruh pulau, di darat atau di atas air.

Pengunjung ke kampung ini dapat menikmati keindahan sebuah kampung air dan persekitaran marin yang unik.

Dikelilingi air, pengangkutan utama penduduk di sini adalah dengan menggunakan bot dan kebanyakan rumah di sini memilikinya. Tentu saja mereka juga memiliki motosikal dan kereta. Kereta adalah diparkir di tempat parkir khas di daratan.

Kampung ini juga boleh dikatakan kampung air moden. Kampung Air Patau-Patau 2 dilengkapi dengan bekalan air dan kuasa elektrik, talian telefon dan kumbahan, lampu jalan, surau, jeti teksi air, kedai runcit dan kraftangan, klinik, sekolah dan kemudahan lain yang boleh anda harapkan dari kampung yang teratur. Saluran air disambungkan dan diletakan di bawah dan tepi jambatan. Kampung ini juga mempunyai pili air untuk memadam kebakaran.


Terfikir juga saya, bagaimana pula cara pengurusan kumbahan dan sampah. Saya baca telah disediakan saluran najis supaya tidak berlaku pembuangan najis terus ke laut. Sampah dari setiap rumah pula akan dipungut oleh pekerja setiap pagi dan dibuang ke tempat pembuangan sampah kampung. 


Dari pengalaman saya berbual dengan beberapa orang penduduk di sini, mereka adalah begitu mesra dan peramah sekali. Sehingga semasa saya bersembang dengan seorang kakak di kampung ini, beliau menawarkan saya untuk ke rumah adik ipar dia yang besar dan mewah untuk beri saya peluang melihat sendiri bagaimana suasana di dalam salah satu rumah di kampung air ini. Kesimpulannya pada saya penduduk kampung ini turut menerima kehadiran pelancong seperti saya ini dengan baik. 

Ok, next are the rest of the photos that I had captured while jalan-jalan here at this wonderful kampung air.

Kelihatan di hujung sana Labuan Financial Park Complex yang saya passed by semasa berjalan kaki ke Muzium Labuan dari Muzium Marin Labuan earlier.

Kebanyakkan penduduk di sini memiliki kenderaan motosikal, kereta (parkir di tempat parkir khas di darat) dan juga bot. 



Sebuah pelabuhan tidak jauh dari Kampung Patau-Patau 2.



Bagus juga rasanya kalau diadakan boat cruise di sini untuk pelancong supaya dapatlah pelancong melihat kampung air ini dari arah laut. Bolehlah juga extend the cruise sampai Kampung Patau-Patau 1 hingga ke muara teluk ini. I, for one, would love to go on the boat cruise, bagi mempelbagaikan lagi program jalan-jalan saya di Labuan 😃.

Selain bot cruise, rasanya elok juga di adakan satu rumah contoh yang menampilkan ciri-ciri khas reka bentuk rumah kampung air yang dilengkapi perabot untuk dilawati oleh pelancong supaya dapat memberi gambaran gaya hidup penduduk di sini.

Dari jeti di hujung kampung air ini kita juga boleh nampak Masjid Jamek An-Nur (atau juga dikenali sebagai Masjid Negeri Wilayah Persekutuan Labuan).

Saya juga ada melawat Masjid Jamek An-Nur dalam program jalan-jalan WP Labuan saya ini.

Ok, jom kita jalan keluar dari kampung air ini untuk ke destinasi seterusnya.

Laluan-laluan konkrit ini juga adalah selamat untuk dilalui dengan motosikal. Cemas juga saya terpaksa ke tepi laluan konkrit ini untuk beri laluan kepada penunggang motosikal ini😅.





Di kampung ini juga ada sebuah surau - Surau Darussalam, yang juga merupakan sebuah Surau Solat Jumaat.


Seterusnya saya hendak ke Masjid Jamek An-Nur (Masjid Negeri Wilayah Persekutuan Labuan) pula. Saya pun book Grab car dan tunggu di depan surau ini.

Jalan-jalan di Kampung Air Patau-Patau ini mengingatkan saya pada kampung air lain yang pernah juga saya lawat, iaitu Kampung Air Bukit Malut, Kampung Air Buli Sim Sim, Kampung Air Chew Jetty, Kampung Air Kuala Gum Gum dan Kampung Air Wireless.

Kampung Air Bukit Malut, Langkawi.

Kampung Air Buli Sim Sim, Sandakan, Sabah.

Kampung Air Chew Jetty, Pulau Pinang.

Kampung Air Kuala Gum Gum, Kuala Gum-gum, Jalan Kuala Gum-Gum, Sandakan, Sabah.

Kampung Air Wireless, Miri, Sarawak.

Kampung Ayer, Bandar Seri Begawan, Brunei.

Till the next coming entry, inshaAllah. Meanwhile do take care.

No photograph or videos may be reproduced, downloaded, copied, stored, manipulated, or used whole or in part of a derivative work, without written permission from Syed Amran. All rights reserved.

No comments:

Post a Comment