Assalamualaikum.
Selesai melawat Pasar Besar Seremban, Masjid Jamek Bandar Seremban dan Masjid Sri Sendayan, saya minta Mr. K, Grab driver/tour guide saya, bawa saya ke Lorong Seni Seremban pula. I love street arts, the murals 😃.
Lokasi Lorong Seni Seremban terdiri dari tiga lorong belakang rumah kedai yang berada di antara empat jalan raya di Bandar Seremban iaitu Jalan Dato' Sheikh Ahmad, Jalan Dato' Lee Fong Yee, Jalan Tunku Hassan dan Jalan Dato' Abd. Rahman.
Usaha ini bermatlamat untuk:
🔸Menghapuskan stigma negatif terhadap seni graffiti dan lorong belakang.
🔸Membantu dalam perlaksanaan konsep bandar selamat dan mesra pelancong mewujudkan lorong di laluan belakang yang selamat serta selesa untuk dilalui terutamanya pejalan kaki.
Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie bin Sheikh Mustapha merupakan angkasawan pertama negara dan angkasawan pertama Muslim dunia yang telah ke angkasa pada 10 Oktober 2007. Kejayaan beliau ke angkasan merupakan inspirasi kepada golongan belia di seluruh Malaysia untuk berani dalam mencapai cita-cita.
Pada Jun 1983, Majlis Bandaraya Seremban (MBS) telah membuka pasar malam atau “Street Market” pertama di Negeri Sembilan yang terletak di tengah-tengah bandar Seremban iaitu di Jalan Tunku Hassan. Kini, ia dikenali sebagai Benteng Walk yang beroperasi di Jalan Dato’ Abdul Rahman setiap hari bermula dari 5 petang sehingga larut malam. Pelbagai pilihan makanan tempatan ada dijual di sini.
Tarian piring atau tari piring merupakan sebuah seni tari kebudayaan masyarakat Minangkabau. Meskipun berasal dari Sumatera Barat, Indonesia namun ia sangat popular dalam kalangan masyarakat di Negeri Sembilan. Tarian ini memerlukan penari memegang piring yang mempunyai lilin di atas kedua-dua tapak tangan. Penari perlu menari di dalam gelap mengikut lagu atau irama yang dimainkan oleh talempong dan saluang.
Aci Labu memegang tembikar menunjukkan penggunaan tembikar amat sinonim di dalam masyarakat India. Tembikar ini digunakan di dalam beberapa perkara utama di dalam masyarakat India seperti memasak Nasi Manis semasa Pesta Ponggol, digunakan juga semasa ritual kematian dan juga sebagai tempat menyimpan air.
Sumber: www.mkn.gov.my - Laman Web Rasmi Majlis Keselamatan Negara
🔸Terdapat 12 suku di Negeri Sembilan, iaitu:
Biduanda, Tanah Datar, Batu Hampar, Seri Lemak (Solomak Minang), Anak Melaka, Mungkal, Payakumbuh, Seri Melenggang, Tigo Batu, Tigo Nenek, Anak Aceh dan Batu Belang.
🔸Suku Biduanda dikatakan yang yang terawal mendiami Negeri Sembilan. Orang-orang Sumatera dari Tanah Minangkabau datang ke Negeri Sembilan yang kemudiannya berkahwin dengan suku kaum Sakai, Semang dan Jakun.
🔸Suku Biduanda ini adalah pewaris asal Negeri Sembilan dan apabila hendak memilih pemimpin maka hanya mereka dari suku Biduanda inilah yang akan dipilih.
🔸Kemudian, datanglah orang-orang dari luar dan membentuk suku-suku mereka di Negeri Sembilan.
TARIAN SINGA DAN NAGA
Kedua-dua tarian ini menggambarkan warisan seni dan budaya masyarakat kaum Cina di Malaysia yang masih diamalkan sehingga hari ini. Tarian ini merupakan simbolik kepada keamanan dan kekayaan. Ia sering dipersembahkan pada musim perayaan seperti Tahun Baru Cina dan Pesta Tanglung. Biasanya, tarian singa dan naga diiringi dengan bunyi gong, dram dan dentuman mercun yang dikatakan akan membawa tuah.
PERLOMBONGAN SUNGEI UJONG
Dahulunya, Seremban dikenali sebagai Sungei Ujong. Ia terkenal sebagai salah satu kawasan perlombongan bijih timah utama di Asia Tenggara. Aktiviti ini telah menyaksikan kedatangan imigran Arab, Melayu dan Cina untuk bekerja sebagai pelombong bijih timah. Aktiviti pelombongan juga telah membawa kepada campur tangan kolonial British terhadap pemerintahan dan pengutipan cukai di Sungei Ujong.
“Pesta Tanglung” adalah suatu pesta Cina disambut pada hari kelima belas dalam tahun bulan dalam kalendar Cina. Sewaktu Pesta Tanglung, kanak-kanak keluar ke pekong membawa tanglung kertas dan menyelesaikan teka-teki di tanglung. Ia secara rasmi menandakan perayaan Tahun Baru Cina telah tamat.
Masjid Jamek merupakan masjid tertua di Bandar Seremban. Reka bentuk masjid ini memaparkan ciri-ciri seni bina Nusantara. Masjid ini mampu memuatkan antara 1,000 hingga 1,500 jemaah pada satu satu masa. Ia telah mendapat pengiktirafan sebagai bangunan Warisan Kebangsaan daripada Jabatan Warisan Negara.
GOTONG-ROYONG MEMASAK DODOL
Dodol atau penganan merupakan makanan tradisional masyarakat Melayu dan Adat Perpatih tempatan. Biasanya, ia disajikan pada sambutan hari raya dan majlis-majlis keraian seperti perkahwinan. Proses membuat dodol sangat rumit kerana ia perlu dikacau sentiasa di dalam kawah. Penyediaan dodol akan menjadi lebih lebih mudah jika dilakukan secara gotong-royong sekali gus dapat mengeratkan silaturahim antara keluarga dan masyarakat.
“BABU ROTI”
“Pak Cik Roti” sangat sinonim di taman-taman perumahan sekitar Bandar Seremban dimana hon akan dibunyikan sebagai tanda kehadiran penjual roti bermotosikal ini bagi pembeli terutama kanak-kanak yang ingin membeli pelbagai jenis roti dan makanan ringan untuk kudapan di waktu pagi atau petang.
Till the next coming entry, inshaAllah. Meanwhile do take care.
No photograph or videos may be reproduced, downloaded, copied, stored, manipulated, or used whole or in part of a derivative work, without written permission from Syed Amran. All rights reserved.
Wowww.. menakjubkan.. suka dengan rural semua tu.. tapi lagi best kalau tiada kereta yang diparking dikawasan rural tersebut
ReplyDelete