Friday, June 7, 2024

LABUAN - TANJONG KUBONG LABUAN CHIMNEY WALKING TRAIL - PART 02

Assalamualaikum.
Seterusnya catatan sambungan Tanjung Kubong Labuan Chimney Walking Trail bahagian 2.

Bahagian ke 2 ini kami berjalan menyusuri pantai pula. Jom kita turun ke bawah.

🔴Tanjung Kubong Labuan Chimney Walking Trail membawa pengunjung ke pantai di mana kita boleh melihat formasi batuan yang dianggarkan berusia 15 juta tahun yang terdiri dari litologi batu pasir formasi Belait. 
🔴Formasi Belait terdiri daripada batu pasir bersilang, batu pasir berselang, batu lodak, arang batu dan syal yang menimpa dengan syal Setap di Semenanjung Klias. 
🔴Ia adalah lanjutan dari Semenanjung Klias yang terletak di bahagian barat daya Sabah.

🔴Pada masa dahulu kawasan pantai ini adalah sebuah pelabuhan yang agak sibuk bernama Raffles Anchorage di mana arang batu diangkut masuk ke dalam kapal untuk dieksport keluar.
🔴Dikatakan arang batu yang dilombong di Labuan ketika itu adalah mempunyai kualiti tertinggi iaitu mempunyai sisa jelaga (sooty residue).
🔴New Central Borneo company, pemajak untuk lombong arang batu ketika itu, telah membina Labuan Coal Line sepanjang 11 batu untuk mengangkut arang batu dari Tanjung Kubong ke bandar, yang ketika itu dikenali sebagai Pelabuhan Victoria. 

Tanjung Kubong mendapat namanya dari haiwan mamalia kubong terbang (rupanya seperti kelawar) yang banyak mendiami kawasan Tanjung Kubong ini pada suatu masa dahulu. Kubong haiwan yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

🔴Geologi kepulauan Labuan merupakan sambungan daripada formasi-formasi yang terdapat bahagian barat negeri Sabah, negara Brunei Darussalam dan bahagian utara Sarawak.
🔴Labuan dibentuk oleh tiga unit batuan, terdiri keseluruhannya daripada batuan sedimen dan aluvium. 
🔴Unit-unit batuan tersebut dari yang tertua kepada termuda adalah Formasi Temburung, Formasi Crocker Barat dan Formasi Belait yang terlipat membentuk satu antiklin besar, tidak simetri yang menjunam ke arah timur laut.

🔴Sejarah geologi Labuan bermula dengan pemendapan lebih 12 km sedimen laut dalam di dalam lembangan barat laut Sabah pada masa Oligosen (30 juta tahun) hingga ke masa Miosen Tengah (sekitar 20 juta tahun lampau). 
🔴Jujukan sedimen yang dimendapkan membentuk unit batuan yang dikenali sebagai Formasi Crocker Barat dan Formasi Temburung.

🔴Pada masa Miosen Tengah berlaku pengangkatan akibat proses subduksi oleh kepingan kerak Laut China Selatan kuno yang menyusup ke bawah di bahagian barat laut pulau  Borneo, menyebabkan sekitaran laut dalam beransur-ansur berubah menjadi lebih cetek. 
🔴Akhirnya wujud sekitaran pesisir di sepanjang barat laut Sabah dan Brunei termasuk Labuan dengan pembentukan muka pantai dan delta yang meluas. 
🔴Berbagai subsekitaran perantaraan yang terdiri daripada paya bakau, estuari, dataran delta, dataran banjir dan alur sungai telah wujud dan mengumpul berbagai jenis sedimen.

🔴Sebahagian daripadanya mengumpul bahan sisa tumbuhan yang banyak dan bertukar menjadi batu arang.
🔴Sebahagian lagi menjadi tempat pengumpulan sedimen berkerikil dan berpasir yang menjadi batuan penakung hidrokarbon. Keseluruhan endapan laut cetek hingga daratan pesisir tersebut membentuk jujukan  Formasi Belait.  
🔴Zaman Miosen Akhir hingga Pliosen yang menyaksikan pengakhiran proses subduksi yang melipat keseluruhan jujukan batuan dan membentuk lipatan antiklin yang besar.  
🔴Perlipatan berkala mengangkat lapisan batuan ke atas berlaku secara serentak dengan pemaraan delta dan pembentukan sesar graviti.

Inilah Pantai di Tanjung Kubong yang merupakan salah satu bahagian dalam Geopark Labuan.
GEOPARK LABUAN
🔴Geopark Labuan suatu ketika dahulu pernah menjadi pusat perlombongan batu arang terawal di Asia Tenggara pada 1847. 
🔴Labuan juga istimewa kerana singkapan batuan penakung petroleum yang meluas di lepas pantai di Sabah, Brunei dan Sarawak. 
🔴Batu pasir Formasi Belait (berusia 15-5 juta tahun) dan batuan syal Formasi Temburong (33-15 juta tahun) membentuk sebahagian daripada sistem petroleum tersingkap di pesisiran pantai menghasilkan landskap berpandangan indah. 
🔴Kepelbagaian habitat pesisir pantai, perbukitan serta habitat bakau menjadi daya tarikan alam tabii. 
🔴Amalan tradisi seperti membuat perahu kayu dan menangkap hasil laut masih diamalkan oleh komuniti setempat. 
🔴Bermula dari petempatan kampung air, kini Labuan menjadi hub industri lepas pantai terkemuka negara.

Geopark Labuan termasuk kawasan-kawasan berikut:
Lidah Pasir Pulau Kuraman, Batu Pasir Belait Tanjung Kubong, Batu Penakung Minyak Ganggarak, Lapisan Silang Tanjung Layang-Layangan, Lansdkap Hakisan Pantai Tanjung Layang-Layangan, Gerbang Laut Tanjung Layang-Layangan, Enapan Laut Cetek Tanjung Batu, Tafoni Tanjung Batu, Landskap Pantai Tanjung Kubong, Batu Kapur Terumbu Pulau Burung, Pulau Rusukan Besar, Bekas Lombong Lubok Temiang, Batuan Sedimen Temburong Bebuloh Darat, Enapan Pesisir Simpang Sweetman, Fosil Surih Laut Dalam Tanjung Punei dan Permatang Jurus Labuan.
🔴Selain geopark ini kita tentu very familiar dengan Geopark Langkawi yang terdiri dari 3 geopark iaitu Machinchang Cambrian Geoforest Park, Kilim Geoforest Park dan Dayang Bunting Marble Geoforest Park.
🔴Tidak seperti Geopark Langkawi, Geopark Labuan tidak ada pengiktirafan UNESCO.

Geowarisan dan Geopelancongan di Malaysia yang ada di Malaysia adalah:
Geopark Langkawi, Geopark Jerai, Geopark Lembah Kinta, Geopark Lenggong, Geopark Labuan, Geopark Kinabalu, Geopark Delta Sarawak, Geopark Gombak - Hulu Langat, Geopark Stong, Geopark Mersing (cadangan), Geopark Perlis, Geopark Kenyir dan Tapak Geowarisan dan Geopelancongan di negeri-negeri Negeri Sembilan. Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak.

Berikut adalah beberapa fakta tentang Geowarisan, geopelancongan dan geopark:
🔴Geowarisan merujuk kepada usaha pemeliharaan warisan alam semulajadi berasaskan geologi dan geopelancongan ialah pelancongan berasaskan alam semulajadi yang berkaitan dengan geologi.
🔴Kesedaran mengenai keperluan perlunya geowarisan dan geopelancongan di Malaysia secara amnya ialah pengaruh daripada amalan negara-negara maju yang menekankan konsep pemeliharaan alam semulajadi berasaskan semula jadi.
🔴Usaha Geowarisan ini amat berkait dengan tujuan pewujudan geopark di Malaysia.
🔴Di peringkat global, wawasan geopark iaitu pembangunan lestari wilayah berasaskan pemuliharaan dan utilisasi warisan alam, khususnya warisan geologi dan landskap telah mendapat sambutan hangat.
🔴Geopark didefinisikan sebagai satu kawasan dengan keluasan bersesuaian, mempunyai sempadan jelas dan mengandungi beberapa tapak warisan geologi berkepentingan kebangsaan, ser-antau atau antarabangsa yang dibangunkan secara lestari bagi meningkatkan tahap ekonomi dan nilai budaya penduduknya, terutama melalui aktiviti pelancongan.
🔴Geopark ialah satu konsep pembangunan yang memberikan perhatian kepada keseimbangan tiga komponen utama iaitu ke-pentingan pemuliharaan sumber asli (khususnya sumber geowarisan), pembangunan infrastruktur untuk pelancongan dan aktiviti sosioekonomi yang menguntungkan masyarakat setempat. 
🔴Konsep geo-pelancongan yang diperkenalkan pada tahun 1994 semakin berkembang di mana tumpuan lebih diberi kepada penghayatan sumber warisan geologi dan landskap fizikal.

Ok jom kita explore pantai geopark yang cukup unik dan indah ini.

Ketika itu langit cukup indah sekali... permukaan pantainya pula penuh dengan batu-batu leper yang sangat unik... subhanAllah...

Honestly I would not mind coming to this amazing beach again.

Yang unik sangat pada saya ialah pantai ini bukan sahaja ada batu-batu bonggol tetapi juga formasi batu-batu leper berbentuk seperti segi empat dengan jaluran yang tersusun begini.

Endapan Lautan Cetek Kuno (Ancient Shallow Marine Deposits)
Pada 15 juta tahun lampau, kawasan ini berada di dasar lautan cetek di dalamnya berlaku endapan pasir lapisan demi lapisan. Ombak dan pasang surut menghasilkan pelbagai struktur seperti lapisan silang, kesan riak, palung dan lapisan flaser. Ketika itu terdapat pelbagai hidupan marin di dasar laut (fosil badan) yang aktif sehingga meninggalkan kesan korekan (fosil surih). Kini anda dapat melihat landskap tebing pantai berbatu yang mengawet bukti semua proses silam ini. Landskap pantai hasil ukiran aktiviti hakisan air laut membentuk fitur menarik seperti tafoni, pentas hakisan ombak, tebing curam dan tanjung.

Lokasi yang sememangnya sangat cantik untuk kita bergambar kenangan.

Kelihatan negeri Sabah di ufuk sana.

Tebing berbatu tegak yang cantik. Kami turun tadi dari atas sana.











Mestilah juga berhati-hati berjalan atas batu-batu ini kerana licin diselaputi lumut. 


Kelihatan ada banyak teritip di batu-batu di sini.

Kata Cik Ayu (rakan kerja isteri saya yang bertugas di Labuan ini, yang bawa kami jalan-jalan di Labuan) pantai ini tidak boleh diakses ketika air pasang. Mujurlah kami tiba di sini ketika air surut.

Kelihatan ada orang sedang memancing. 

Seorang ayah bersama dua orang anaknya.

Fun activity by the beach.


Rasanya sekarang orang dah tak ambik dah foto macam ni... hahaha 😄.

🔴Berjalan di pantai ini kita dapat menikmati keindahan semulajadi landskap Pantai Tanjung Kubong. 
🔴Geotapak ini mempamerkan garis pantai berbatu sangat indah dan unik dengan kehadiran kepelbagaian landskap garis pantai yang tinggi dibentuk oleh pantai berpasir berselang seli dengan pantai berbatu. 
🔴Di beberapa lokaliti boleh diperhatikan pembentukan gua laut dan gerbang laut.

🔴Pada tahun 2019, seekor buaya sepanjang hampir 3 meter (sembilan kaki) yang dikatakan mungkin sedang berjemur atau mencari makan, berjaya ditangkap oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan (Balai Bomba Layang-Layangan) dan Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Labuan di Pantai Tanjung Kubong ini, berhampiran dengan ‘Gedung Ubat’ yang kami lawati earlier. 
🔴Buaya itu telah diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Labuan.
🔴Pihak Perhilitan percaya, buaya itu tersasar dari habitatnya di Taman Paya Bakau Kina Benuwa. 
🔴Papan tanda amaran telah dipasang di kawasan pantai ini bagi mengingatkan pengunjung mengenai kemunculan dan kawasan yang menjadi habitat baharu buaya di sini. Tapi saya tidak pula nampak papan amaran itu di pantai ini semasa kami di situ.
🔴Penemuan buaya itu merupakan penemuan buaya buat kali ketiga tahun itu (2019) dengan kali pertamanya pada Januari di Pantai Mawila.

Ini adalah papan amaran ada buaya di pantai yang dipasang di Pantai Teluk Assam di Bako National Park, Sarawak.

🔴Pulau Labuan dan pulau kecil lain di sekelilingnya mempunyai garis pantai sepanjang 81.7 km. 
🔴Garis pantai ini terdiri daripada pantai berbatu dan pantai berpasir yang menyokong hutan pantai. 
🔴Di sepanjang rintis Chimney - Pantai Tg Aru, inventori flora yang dijalankan pada 16 Mac menghasilkan 61 spesies tumbuhan (35 spesies daripadanya ialah pokok). 

Kelihatannya ada beberapa lubang di tebing batu di sini. Interesting.

Antara formasi batu yang menarik di sini ialah gerbang laut ini yang terbentuk akibat daripada hakisan pukulan ombak laut. 

Gerbang laut mempunyai di kedua-dua hujungnya terbuka berbanding gua yang hanya mempunyai satu bukaan atau pintu masuk.

Terdapat formasi batu hitam di siling gua kecil ini yang mungkin adalah batu arang atau jelaga. 


Terdapat beberapa jenis batuan dalam pelbagai saiz terkumpul di lantai gua ini. Menarik..  

Melihat tumbuhan lumut pada batu-batu di sini dan kesan-kesan aras air pada dinding tebing ini, saya rasa ketika air pasang, air laut membanjiri pantai ini hingga ke masuk ke dalam gua kecil ini.










Bahagian merah/oren terang pada dinding tebing batu ini namanya lichen, sejenis tumbuhan kulat yang mudah dikenalpasti oleh pigmen merahnya. 
🔴Kulat/lumut ini tumbuh sangat perlahan, kurang daripada 1 mm setahun, dan boleh mengambil masa bertahun-tahun untuk tumbuh di lokasi baharu.
🔴Lichen selalunya merupakan bentuk hidupan pertama yang menjajah permukaan batu yang baru terdedah dan memulakan proses luluhawa mineral yang sangat perlahan dari batu tandus.
🔴Lichen menghasilkan beberapa sebatian, termasuk pigmen merah yang dikenali sebagai asid kiodektonik, untuk membantunya bertahan dalam keadaan pertumbuhan yang tidak baik.




Jom kita sambung jalan lagi.


Dan kami pun tiba di Tip of Tanjung Kubong. Tanjung Kubong, kira-kira 12 km dari Terminal Feri Antarabangsa Labuan, adalah tempat yang mempunyai banyak khazanah alam. Di sini terdapat bukit, hutan, belantara, sungai, hamparan pantai yang luas dan pelbagai jenis batu-batan dan unggas hidupan rimba.

🔴Sebuah tanjung merujuk kepada rupa bumi di kawasan pantai yang tertonjol keluar ke arah laut. 
🔴Rupa bumi ini terbentuk akibat daripada hakisan ombak pantai yang menyebabkan tebing-tebing di sekelilingnya runtuh. 
🔴Bahagian batuan keras yang lebih tahan terhadap hakisan akan membentuk daratan yang mengunjur ke laut membentuk tanjung.




Bergambar lagi 😄.


Terdapat lapisan-lapisan batu arang di tebing ini. 



Crab art 😃.

Menyusuri Tanjung Kubong di Pantai Tanjung Kubong.



Batu Pasir Formasi Belait / Sandstone of the Belait Formation.

🔴Ini salah satu kawasan Batu Pasir Belait di Tanjung Kubong ini iaitu di Pantai Tanjung Kubong. 
🔴Batuan-batuan yang terbentuk di geotapak ini ditafsirkan sebagai enapan sungai berburai yang telah berlaku pada 15 juta tahun dahulu dan merupakan jujukan bawah Formasi Belait. 
🔴Singkapan batuan di sini sangat segar dan sempurna serta mempamerkan lapisan-lapisan batu pasir tebal yang berkedudukan hampir mendatar.






🔴Bentuk pantai begini dipanggil 'Pentas Hakisan'. 
🔴Ia merupakan bentuk muka bumi yang terbentuk hasil daripada hakisan ombak terhadap tebing pantai berbatu. 
🔴Hakisan ombak yang berterusan menyebabkan tebing tinggi memundur dan membentuk pentas hakisan ombak di kaki tebing tinggi tersebut.



Di sini juga terdapat gua laut yang merupakan antara landskap semulajadi yang menarik.

Gua Laut terbentuk akibat daripada hakisan ombak pada lapisan batuan dan mempunyai satu bukaan serta ruang kosong (lohong).


Mujurlah muat nak lepas laluan ini 😄😅.















Kelihatan di tengah laut Labuan Lighthouse, Tanjung Kubong.








Bongkah-bongkah batuan membentuk pantai berbatu di lokasi ini. Bongkah-bongkah ini terhasil daripada runtuhan batuan di bahagian tebing atas bukit kecil di lokasi ini.
















Pada tebing ini adalah lorong ini yang menuju ke sebuah perkuburan British lama / Pusara Peringatan British (British Graveyard) di mana terdapat 5 batu nisan tahun 1866.

Pada formasi batu tebing ini pula kita boleh nampak lipit batu arang di dalam batu pasir. Ia batu arang yang wujud dalam bentuk klasta dan kekanta dalam lapisan batu pasir.
A thin layer of coal (lipit) in sandstone.

Ini proses bagaimana batu arang terbentuk.



🔴Formasi batu pada tebing ini adalah lapisan silang pada batu pasir yang menunjukkan contoh pengenapan sekitaran pesisir.
🔴The cross-bedding on the sandstone showing an example of the coastal environment deposits.



Selesai berjalan menyusuri pantai, kami masuk ke laluan kampung untuk berjalan semula ke Menara Chimney. 





Sampai di hujung hutan ini, Cik Ayu cadang kami tunggu saja di sini sementara dia teruskan berjalan ke Menara Chimney/Muzium Chimney untuk ambil kereta. 


Till the next coming entry, inshaAllah. Meanwhile do take care.

No photograph or videos may be reproduced, downloaded, copied, stored, manipulated, or used whole or in part of a derivative work, without written permission from Syed Amran. All rights reserved.

No comments:

Post a Comment