Wednesday, March 27, 2024

UMRAH 2024 - DAY 06 - MASJID HUDAIBIYAH

Assalamualaikum.
Selepas selesai lawat 
Muzium Abubekr Alamoudi, kami dibawa ke Masjid Hudaibiyah pula.
Candy from a couple in our group. Sedapnya candy ini sampai saya pergi cari di kedai kurma yang sememangnya ada jual pelbagai jenis gula-gula dan coklat ๐Ÿ˜„.

Merakam suasana pemandangan gurun ketika dalam perjalanan ke Hudaibiyah.





Dah pun sampai. Tak jauh jarak antara Alamoudi Museum dan Masjid Hudaibiyah, cuma 12 km atau 20 minit perjalanan dengan bas.


Destinasi kami di Hudaibiyah adalah Masjid Hudaibiyah yang juga merupakan sebuah Miqat bagi penduduk Makkah yang ingin menunaikan Umrah. 

Kelihatan di hujung sana kesan peninggalan bangunan asal Masjid Hudaibiyah.


Untuk ke Masjid Hudaibiyah, kami dibawa melalui kawasan kedai-kedai.

Ada macam-macam barang dijual di sini. Yang membeli pun ramai. 





Dan kami pun sampai ke kawasan terdapatnya kesan peninggalan bangunan Masjid Hudaibiyah yang asal dengan beberapa bahagian dindingnya yang masih kukuh berdiri sehingga kini. Sebenarnya kawasan ini kelihatannya telah dipagar oleh Kerajaan Arab Saudi mungkin untuk mengelakkan perkara-perkara khurafat. Tapi ada beberapa jalan masuk dan kelihatannya ramai pengunjung yang melawat tapak bersejarah ini. 

Sumber maklumat tentang Hudaibiyah/Masjid Hudaibiyah berikut adalah dari buku hasil karangan Abu Fatih Al-Mubaraki Ustaz Ahmad Husni Abd. Rahman yang bertajuk "Bayu Kerinduan di bumi Haramain : sebuah travelog tanah suci". Beliau adalah Mutawwif yang membawa kami mengerjakan Umrah pada tahun 2017. 

Sejarah Masjid Hudaibiyah
Juga dikenali sebagai Masjid Baiah al-Ridhwan, Masjid Hudaibiyah terletak lebih kurang 22 km dari Makkah dan 2 km dari sempadan Tanah Haram melalui jalan lama Makkah-Jeddah. Manakala nama 'Hudaibiyah' itu sendiri diambil dari nama sebuah telaga yang bernama Hudaibiyah. Ia juga dikenali dengan nama al-Syumaisi, juga sempena nama sebuah telaga iaitu Bi'r al-Syumaisi.

Dalam catatan sejarah dataran Hudaibiyah adalah lokasi di mana para sahabat melakukan janji setia (baiah) dengan Rasulullah SAW untuk memerangi orang kafir Quraisy. Baiah yng juga dikenali sebagai Baiah al-Ridwan ini telah dimeterai pada tahun ke-6 Hijrah. Masjid ini didirikan sebagai mercu tanda kawasan tersebut.

Kisah Baiah al-Ridwan
Pada bulan Zulkaedah tahun ke-6 Hijrah, Rasulullah SAW bermimpi memasuki kota Makkah bersama-sama kaum Muslimin. Rasulullah SAW juga melihat dirinya dan para sahabat memasuki Masjidilharam, mengambil kunci Kaabah, tawaf di Baitullah, dan melakukan umrah dan bertahalul. Baginda lantas mengkhabarkan kepada para sahabat akan mimpi itu.

Mendengarkan itu, para sahabat berasa gembira dan menyangka akan dapat menawan kota Makkah pada tahun tersebut. Lalu Rasulullah SAW bersama para sahabat membuat persediaan untuk pergi ke Makkah dan berhasrat untuk menunaikan umrah di samping melawat kampung halaman dan kaum keluarga, setelah lebih lima tahun berhijrah.

Namun, pihak Quraisy dapat menghidu kedatangan umat Islam. Lantas menyekat mereka daripada memasuki kota Makkah ketika rombongan sampai di Hudaibiyah. Pada peringkat awal, Rasulullah SAW bercadang untuk mengutus Umar bin al-Khattab sebagai perunding dengan pihak Quraisy. Namun setelah berfikir, Umar al-Khattab r.a. menolak atas sebab beliau tidak akan diterima baik oleh pihak Quraisy. Beliau mencadangkan agar Uthman bin Affan r.a. dilantik sebagai perunding disebabkan Uthman mempunyai beberapa kelebihan dan potensi yang ada pada status belian ketika itu.

Akhirnya, Uthman bin Affan r.a. diutus dengan pesan Baginda SAW supaya mengkhabarkan tujuan sebenar kedatangan umat Islam bukan untuk berperang tetapi semata-mata ingin menunaikan umrah. Baginda juga berpesan agar berjumpa dengan kaum Muslimin dan memberi khabar berita awal tentang pembukaan kota Makkah sekali gus menzahirkan syiar agama-Nya di bumi Makkah.

Apabila Uthman bin Affan r.a. tiba di sebuah kawasan yang bernama Baldah, beliau bertembung dengan sekumpulan orang Quraisy. Ternyata beliau tidak diapa-apakan. Setelah menjelaskan tujuan kedatangannya ke Makkah, seorang pimpinan Quraisy yang bernama Aban bin Said bin al-A'as bangun dan mengalu- alukan kedatangannya serta menjemputnya sendiri naik ke atas kudanya dan membawanya masuk ke kota Makkah.

Selepas semuanya memahami tujuan kedatangan rombongan kaum Muslimin, Uthman bin Affan r.a. telah dipelawa untuk terlebih dahulu tawaf di Baitullah. Namun, atas dasar kasih dan hormat kepada Rasulullah SAW, beliau menolak tawaran tersebut dengan mengatakan beliau tidak akan bertawaf selagi Rasulullah SAW tidak memulakannya terlebih dahulu.
Khabar Angin Kematian Uthman r.a.

Ketika Uthman bin Affan berunding dengan pihak Quraisy, banyak perkara berbangkit yang ditimbulkan hingga menyebabkan tempoh perundingan menjadi agak panjang. Malah dirasakan begitu lama. Terutama umat Islam yang menunggunya. Apabila Uthman tidak juga kunjung tiba di tempat perkhemahan kaum Muslimin, timbul pula khabar angin iaitu Uthman bin Affan r.a. telah mati dibunuh.

Rentetan daripada itu, timbul kemarahan para sahabat sehingga menjadikan mereka berbaiah dengan Rasulullah SAW untuk memerangi kaum Quraisy hingga ke titisan darah yang terakhir. Antara yang terawal berbaiah ialah Abu Sinan al-Asadi r.a., kemudiannya diikuti oleh Salamah bin al-Akwa' sebanyak tiga kali dan yang lain-lainnya.

Mendengarkan kisah baiah ini, pihak kafir Quraisy berasa gentar. Lalu menghantar Suhail bin Amru untuk berunding dengan Nabi SAW. Oleh itu, akhirnya termeterailah Perjanjian Hudaibiyah antara Nabi Muhammad SAW (pihak Islam) dengan Suhail bin Amru (pihak Quraisy).

Peristiwa baiah ini berlaku di bawah sebatang pokok yang mana pada ketika itu Umar bin al-Khattab r.a. memegang tangan Rasulullah SAW dan Ma'qil bin Yasar memegang dahan pokok daripada terkena Rasulullah SAW. Kisah Baiah al-Ridhwan yang penuh ‘ibrah ini telah dirakamkan oleh Allah SWT di dalam surah al-Fathi ayat 10:
ุฅِู†َّ ุงู„َّุฐِูŠู†َ ูŠُุจَุงูŠِุนُูˆู†َูƒَ ุฅِู†َّู…َุง ูŠُุจَุงูŠِุนُูˆู†َ ุงู„ู„َّู‡َ 
Maksudnya: Sesungguhnya orang yang berbaiah (berjanji setia) dengan kamu (Rasulullah) sesungguhnya mereka telah berbaiah dengan Allah.

Kisah ini disebutkan di dalam al-Quran yang menyatakan keredhaan Allah Taala terhadap kaum Muslimin. Firman Allah Taala:
ู„َู‚َุฏْ ุฑَุถِูŠَ ุงู„ู„َّู‡ُ ุนَู†ِ ุงู„ْู…ُุคْู…ِู†ِูŠู†َ ุฅِุฐْ ูŠُุจَุงูŠِุนُูˆู†َูƒَ ุชَุญْุชَ ุงู„ุดَّุฌَุฑَุฉِ 
Maksudnya: Sesungguhnya Allah Taala telah meredhai orang yang beriman yang telah berbaiah dengan kamu di bawah pokok (di Hudaibiyah).
(Surah al-Fathi 48: 18)

Namun begitu, pokok ini telah ditebang pada zaman pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab r.a., apabila beliau melihat ramai orang yang datang mengusap dan menyapunya untuk mengambil berkat.

Sulh (Perjanjian Damai)
Mengetahui keazaman kaum Muslimin dalam mempertahankan iman mereka sehingga ke titisan darah terakhir, pihak Quraisy sedar taktik mereka untuk menyekat dan menghalang tidak mampu meruntuhkan keutuhan benteng keberanian umat Islam. Setelah beberapa utusan datang dan pergi dalam rundingan, kaum Quraisy akhirnya bersetuju untuk melakukan rundingan damai dengan pihak Muslimin.

Utusan terakhir yang datang ialah daripada Suhail bin Amr. Dalam bahasa Arab, suhail bererti yang mudah. Justeru, apabila Rasulullah SAW melihat kelibat Suhail tiba, Baginda tersenyum seraya bersabda maksudnya: "Insya-Allah hari ini urusan kita akan dipermudahkan." Perjanjian ini kemudiannya dikenali dengan nama Sulh al-Hudaibiyah (Perjanjian Hudaibiyah) yang termeterai pada bulan Zulkaedah tahun ke-6 Hijrah.

Antara Kandungan dan Butiran Perjanjian Hudaibiyah
01) Kaum Muslimin tidak boleh memasuki Makkah pada tahun tersebut. Mereka boleh kembali semula pada tahun berikutnya tetapi tidak boleh berada di Makkah lebih dari tiga hari. Mereka juga tidak dibenarkan membawa sebarang senjata kecuali pedang bersarung yang disimpan di dalam beg.
02) Gencatan senjata berlangsung selama sepuluh tahun. Jaminan diberikan kepada kedua-dua belah pihak untuk hidup dengan aman dan tidak menyerang antara satu sama lain.
03) Sesiapa sahaja yang ingin bersama-sama dengan Rasulullah SAW dan melakukan perjanjian dengan Baginda, boleh melakukannya. Begitu juga bagi mereka yang ingin membuat janji dengan pihak Quraisy, bebas melakukannya.
04) Jika sesiapa dalam kalangan Quraisy pergi kepada Nabi Muhammad SAW sebagai pelarian (tanpa izin penjaganya) akan dihantar pulang kepada Quraisy. Jika sesiapa yang terdiri dalam kalangan pengikut Muhammad SAW yang pergi kepada Quraisy dia kekal di sana dan tidak dihantar pulang.

Mukjizat Nabi SAW di Bumi Hudaibiyah
Keluar Air dari Jari-jemari Rasulullah SAW
Jabir r.a. meriwayatkan ketika berada di Hudaibiyah. Ramai yang kehausan. Sambil tercungap-cungap mereka berkumpul di hadapan Nabi SAW lalu Baginda bertanya, "Kenapa dengan kamu semua?"
Mereka menjawab, "Kami tiada air untuk minum mahupun untuk berwuduk kecuali air yang ada di dalam bekas tuan."
Lalu Rasulullah SAW meletakkan tangannya dalam kendi tersebut dan air mengalir keluar dari celah jari Baginda yang mulia seperti mata air. Kami lantas berwuduk dan minum dengannya."

Jabir r.a. telah ditanya oleh seorang perawi akan jumlah orang pada hari itu. Kata Jabir, "Andai kata ada 100,000 orang pun nescaya mencukupi sedang kami hanya berjumlah 115 orang." (Riwayat al-Bukhari no. 3576)

Al-Barra' r.a. berkata, "Bilangan kami pada hari Hudaibiyah seramai 114 orang. Ada sebuah telaga di Hudaibiyah. Kami menggunakan air telaga itu sehingga menjadi kering-kontang. Rasulullah SAW kemudiannya duduk di pinggir telaga. Baginda meminta air dan berkumur-kumur kemudian meludahkannya ke dalam telaga. Tidak lama kemudian, kami mampu mengambil semula air dari telaga tersebut sehinggalah puas kami menggunakannya." (Riwayat al-Bukhari, no. 3577)

Sumber: "Bayu Kerinduan di bumi Haramain : sebuah travelog tanah suci" oleh Abu Fatih Al-Mubaraki Ustaz Ahmad Husni Abd. Rahman.
Saya highly recommend kawan-kawan beli buku karangan Ustaz Ahmad Husni ini. Penulisan bagus dan padat dengan ilmu. A page-turner for sure. Defnitely a good book to add to your collections/library yang sangat bagus kalau diulang baca setiap tahun. 



Masjid Hudaibiyah yang dikenali dari segi sejarah berdiri sebagai bukti detik penting dalam sejarah Islam. Masjid itu menandakan lokasi di mana perjanjian damai, Perjanjian Hudaibiyah, ditandatangani antara Nabi Muhammad SAW dan suku Quraisy Makkah. Kepentingan perjanjian itu melangkaui konteks sejarahnya, melambangkan kepercayaan bahawa peperangan tidak selalunya merupakan jalan penyelesaian, prinsip yang membantu mengukuhkan masyarakat Islam pada zaman awalnya dan menegakkan Islam di Semenanjung Arab.














Jom kita tengok Masjid Hudaibiyah yang ada sekarang. Struktur baharu Masjid Al-Hudaibiyah ini dibina betul-betul bersebelahan dengan runtuhan masjid lama.

Kini, Masjid Hudaibiyah menjadi pusat tumpuan jemaah haji dan umrah. Struktur yang baru dibina, bersama-sama dengan tinggalan masjid lama, berfungsi sebagai salah satu barisan Miqat, lokasi penting bagi mereka yang menunaikan haji dan umrah.


Masjid baharu ini dikenali sebagai Masjid Shumaysi dan mempunyai kemudahan moden bagi membolehkan jemaah haji masuk ke dalam keadaan Ihram untuk menunaikan umrah.



Bermiqat dan bertukar ke pakaian ihram.







Kembali ke Makkah.

Sempadan Tanah Haram.













Selamat tiba di Makkah.


Bersolat di Masjidil Haram.


Ruang solat wanita di sebalik pagar ini.

If we walk further ini, selalunya masih ada banyak lagi tempat kosong.


Tapi elok tetap datang awal ke masjid kerana cepat penuhnya.






Selesai solat, berjalan ke hotel untuk makan tenghari.






Makan tengahari kami. Sebenarnya idea bagus untuk ambil fullboard semasa di Makkah ini adalah idea isteri saya. Alhamdulillah, sungguh convenient. Tidak perlulah kami pergi mencari restoran, fikir apa nak makan dan beratur/menunggu untuk dapatkan/bayar orders. Then nak beli minuman lagi. Kalau tak fullboard terpaksalah do all that for each and every lunches and dinners while we were in Makkah.




Berjalan lagi ke Masjidil Haram untuk solat Asar.












Selesai bersolat Asar, berjalan balik ke hotel.





Meeting point kami selepas setiap kali bersolat di Masjidil Haram adalah di kedai Al Arabi Optical di tingkat bawah Safwah Tower ini.


Untuk solat-solat berikutnya kami hanya mampu bersolat di Masjid hotel sahaja kerana keadaan sakit batuk kami makin teruk. Ke masjid ini siap bawa lozenges, inhaler, sapu tangan, tisu, pakai face mask dan memakai jaket serta stokin. Syukur Alhamdulillah ada masjid hotel ini, dapatlah kami berjemaah walau pun dalam keadaan tidak sihat begini. 




Pemandangan dari masjid hotel.





Bumbung Masjidil Haram. Merasa juga kami bersolat di bumbung pada masa solat Subuh tempoh hari.

Sunset over Masjidil Haram.






Makan malam. Again masa tak sihat begini, bersyukur kami ambil fullboard sebab memang kami tak larat nak ke food court bersesak untuk beli dinner.



Till the next coming entry, inshaAllah. Meanwhile do take care.

No photograph or videos may be reproduced, downloaded, copied, stored, manipulated, or used whole or in part of a derivative work, without written permission from Syed Amran. All rights reserved.

No comments:

Post a Comment