Wednesday, November 28, 2018

EGYPT - DAY 06 - PART 04 - MASJID SAYYIDAH NAFISAH

Ok, on with the next lawatan. Seterusnya kami ke Masjid Sayyidina Nafisah. 

Ini beberapa foto yang sempat dirakam semasa dalam perjalanan. Ini sebuah kedai menjual roti. Bagus la tutup dengan plastik sebab banyak habuk, debu dan asap. Ada juga ternampak kedai-kedai lain yang biar terdedah je. 

Sebuah masjid.

Dari jauh di highway ni boleh nampak jelas masjid Muhammad Ali Pasha yang berlokasi di dalam Kubu Sultan Salahuddin al-Ayyubi.

Masjid ini dah kami lawat pada hari ke 2 kami di Mesir ini.

Ini aqueduct yang digunakan masa zaman dulu mengalirkan air dari sungai Nil ke Dataran Sayyida Aisha berdekatan Kubu Sultan Salahuddin al-Ayyubi. More of this amazing aqueduct in coming entry, insyaAllah.

Melalui kawasan perkuburan City of the Dead. 


Tiba di Masjid Sayyida Nafisah (Masjid Al Sayyida Nafeesah) di Al Sayeda Nafisa Square. Masjid ini terletak di jalan Ahl al-Bayt, di mana di sepanjang jalan ini terdapat banyak makam-makam memperingati tokoh-tokoh Islam lain yang terkenal.

Masjid Al-Sayeda Nafeesah atau Mashhad Al-Sayeda Nafeesah adalah masjid di daerah Al-Sayeda Nafeesah (atau Sebaa Valley) di Kaherah, Mesir. Ia dibina untuk memperingati Sayyida Nafisa, cicit kepada Rasulullah saw, seorang ulama Islam dan wali Allah swt yang terkenal. Di dalam masjid ini ada makam Sayyida Nafisa. 
Side note: as you can see nama Sayyida Nafisah dieja dengan pelbagai ejaan untuk nama masjid, jalanraya, dataran dan daerah.

Sayyidah Nafisah dilahirkan pada tahun 145 Hijrah. Beliau merupakan anak kepada Sayyidina Hassan bin Ali bin Abi Talib, iaitu cicit kepada Nabi s.a.w. Sayyidah Nafisah dinikahkan dengan Mu'tamin bin Ja'far As Siddiq yang juga merupakan keturunan Rasulullah s.a.w. Setelah berkahwin dengan suaminya, beliau telah mengikuti suaminya ke Mesir.

Sayyidah Nafisah adalah seorang yang sangat kuat beribadah kepada Allah swt. Siang hari dia berpuasa sunat sedangkan pada malamnya dia bertahajjud menghidupkan malam dengan berzikir dan membaca Al Quran. Dia sungguh zuhud dengan kehidupannya. Hatinya langsung tidak terpaut dengan kehidupan dunia yang menipu daya. Jiwanya sentiasa rindu dengan syurga Allah swt. Disamping itu Sayyidah Nafisah sangat taatkan suaminya. Beliau sangat mematuhi perintah suami dan melayan suaminya dengan sebaik-baiknya.

Ketika kami sedang berjalan ke arah masjid, sampai sebuah van jenazah. Dengan tiba-tiba, entah dari mana muncul beberapa orang lelaki tempatan berkejar berlari ke arah van ini untuk menolong mengusung jenazah ke dalam masjid. Begitulah kata Ustaz, mereka di sini kalau dalam bab mencari pahala akan berkejaran. SubhanAllah.

Seperti masjid-masjid lain yang kami sudah lawati di Mesir ini, rekaan senibina dan hiasan dalaman Masjid Sayyida Nafisah ini juga adalah lebih kurang sama. Tapi tetap menarik dan mesmerizing. Pada saya lampu chandelier macam ni pun dah tersangatlah menarik.


Terdapat pintu masuk berasingan untuk lelaki dan wanita. Ini pintu masuk utama masjid ini yang merupakan pintu masuk lelaki.

Ini pula pintu masuk wanita yang terletak di bahagian kiri pintu masuk utama masjid.

Untuk masuk ke dalam masjid kaum wanita perlu melalui lorong ini di mana di sepanjang lorong ini ada penjaja-penaja yang menjual berbagai barang jualan. Antara yang dijual adalah bunga-bunga ros hidup.

Antara barangan jualan di lorong tepi masjid.

Ok saya share laluan masjid kaum lelaki pula. 

Sebuah chandelier besar di ruang masuk depan pintu utama.

Melalui bahagian berbumbung menuju ke courtyard masjid.

Pemandangan di sekitar kawasan dataran masjid. Dataran ini kecil saiznya berbanding dengan dataran masjid-masjid lain yang sudah kami lawati sebelumnya.

Lantai marmar dataran, sebuah canopy iron wrought yang menarik dan hiasan lampu-lampu dan ukiran-ukiran hiasan dinding. 

Ini bangunan berbumbung yang kami lalui tadi dari arah pintu masuk utama masjid. Ia salah satu bangunan yang mengelilingi dataran masjid ini.

Dari dataran ini juga boleh nampak jelas menara masjid ini di mana azan dilaungkan. Hiasan dan ukirannya cukup menarik. Dalam sejarah Islam laungan pertama Azan dilaungkan ketika pembukaan kembali kota suci Makkah al-Mukarramah, di mana ketika itu laungan azan dilaungkan oleh seorang pemuda yang bernama Bilal bin Rabah. Pemuda beriman yang berkulit hitam itu berasal dari Habsyah (Ethiopia).

Dari segi penampilan, menara-menara masjid di Kaherah ni saya perhatikan adalah berbeza-beza. Ada yang rendah, ada yang tinggi, ada yang double minarets, malah saya baca yang quadrupled pun ada. Ada yang plain je designnya seperti menara masjid style Turki, seperti di masjid Muhammad Ali Pasha di Kubu Sultan Salahuddin al-Ayyubi. Dengan beberapa pengecualian, kebanyakan menara Kaherah ini dibina daripada potongan batu dari kuari di Bukit Muqattam yang pernah membekalkan pembina Pyramid 4,000 tahun yang lalu.

Ok, since dah mentioned pasal minarets, saya sidetrack kejap. Jom kita lihat kepelbagaian design menara masjid-masjid yang ada di Kaherah ni. Saya kumpulkan semua foto-foto menara-menara masjid yang sempat saya rakam ketika bercuti di Mesir ni. 

Ini minaret Mosque of Al Nasir Mohammad ibn Qalaun. Apa yang menjadikan menara ini unik adalah bahagian bulat/bola yang dilitupi dengan mozek berwarna hijau, putih dan biru.  

Reka bentuk menara-menara masjid ini dipengaruhi oleh seni bina Ilkhanid (Mongol). Pada ketika itu tidak banyak menara masjid di sekitar Kaherah yang dihiasi begitu.

Ini adalah Masjid Rifa'i. Bangunan masjid ini, termasuk kubah dan menaranya, dibina dengan pelbagai gaya yang diambil terutamanya dari zaman Pemerintahan Mamluk.
 

Yang ini pula ialah menara Masjid Sultan Hassan. Ia dikatakan contoh utama masjid dari dinasti Mamluk Islam. Kisah menara ini juga menarik. Sepatutnya 4 menara dirancang untuk dibina, tetapi hanya 3 sahaja yang siap. Salah satu menaranya telah runtuh dan 300 orang terbunuh. Kejadian ini menjadi perbualan penduduk Kaherah dan Fustat hingga ada yang mengatakan runtuhnya menara masjid ini adalah petanda kejatuhan negeri akan berlaku. Selepas 30 hari menara itu runtuh, Sultan Hasan dibunuh.

Ini menara-menara Mosque of Muhammad Ali Pasha. Kedua-dua menaranya berbentuk silinder elegan jenis Turki dengan dua balkoni dengan ketinggian 82 meter.

Ini pula menara Masjid Amru Al 'As. Masa mula dibina masjid ini tiada menara. Kemudian ditambah 4 menara oleh pemerintah seterusnya. Then tambah 1 lagi jadi 5 menara. Now all 5 dah tak ada, tinggal yang 1 ni sahaja yang dibina pada tahun 1800.

Menara Masjid Sayyida Nafisah.

Ini menara Masjid Imam Shafie. 

Menara Masjid Ibnu Tulun. Menara masjid ini memang menarik sebab ada tangga luar yang melingkari menara masjid. Ia mirip dengan menara terkenal di Samarra. 

Menara masjid yang unik ini adalah menara Masjid Al Azhar. Nama menara ini ialah Ghuri Minaret. Dinamakan demikian kerana ia dibina pada 1509 oleh Qansah al-Ghuri. Unik sebab atas cylinder base tower ada 2 menara kecil empat segi. 

Dan last sekali menara Masjid Hussein. Sekali imbas menara masjid ini sangat mirip design menara-menara Masjid Muhammad Ali Pasha. 

Ok, sambung balik cerita tentang Masjid Sayyida Nafisah. 

Seterusnya kami masuk ke dalam ruang solat utama.

Besar juga ruang solat utama masjid ini. 

Hiasan siling yang menarik.

Di bahagian saf depan ada sebuah keranda. Mungkin nanti akan diletakkan jenazah yang dibawa van jenazah tadi selepas solat jenazah.

Baik, seterusnya saya kongsi di sini kisah tentang Sayyidah Nafisah yang sumbernya saya dapatkan dari laman web Jabatan Agama Islam Perak. 

Terlalu banyak kisah mengenai kehebatan Sayyidah Nafisah, yang merupakan seorang wali wanita yang dapat menjadi contoh kepada wanita di akhir zaman ini. Diantaranya, semasa di Mesir, jirannya adalah seorang yahudi. Anak perempan mereka lumpuh. Suatu hari siibu hendak pergi ke satu tempat, sedangkan suaminya tiada di rumah. Lalu siibu mencadangkan agar anaknya itu tinggal sementara waktu di rumah Sayyidah Nafisah. Sianak bersetuju, lalu dihantar ke rumah Sayyidah Nafisah yang sememangnya sangat menghormati tetamu. Anak wanita yahudi itu diletakkan di satu sudut di rumah Sayyidah Nafisah, dan ketika itu azan pun berkumandang menandakan masuk waktu sembahyang.

Sayyidah Nafisah yang menunggu waktu solat meminta kebenaran tetamunya untuk segera bersolat. Sayyidah Nafisah lalu dihadapan anak wanita Yahudi yang lumpuh itu untuk mengambil wudhuknya. Setelah selesai, beliau lalu lagi dihadapan anak wanita yahudi tersebut dan air wudhu Sayyidah Nafisah jatuh dihadapannya. Lalu datanglah ilham kepada anak yahudi yang lumpuh itu untuk menyapu air wudhu Sayyidah Nafisah yang jatuh itu ke kakinya. Dengan izin Allah swt, kakinya yang lumpuh itu bergerak-gerak dan terasa boleh berjalan, sedangkan Sayyidah Nafisah tetap khusyuk mengerjakan solat. 

Kemudian, terdengarlah pula ibunya telah balik dan mengetuk pintu, sedangkan di waktu itu Sayyidah Nafisah masih lagi mengerjakan solat. Anak perempuan Yahudi itu memberanikan diri dengan berdiri dan ternyata dia mampu berdiri setelah menyapukan air wudhu Sayyidah Nafisah yang jatuh di hadapannya. Dia membuka pintu dan memeluk ibunya. Ibunya sangat terkejut, dan bertanya apa yang telah terjadi, anak wanita Yahudi yang lumpuh itu menceritakan segala-galanya. Air wudhuk Sayyidah Nafisah yang jatuh dihadapannya itu telah menjadi penawar untuk menyembuhkan sakit lumpuh yang telah dialaminya sekian lama. Menangislah si ibu mendengarkan hal yang sangat ajaib itu. Lalu dia mendapatkan Sayyidah Nafisah, dan memeluknya seraya berkata: "Aku mengaku bahawa engkau adalah cucu Rasulullah dan datukmu itu adalah Rasul Allah dan Allah adalah Tuhan sekalian alam." Islamlah perempuan Yahudi tersebut. Melihatkan hal tersebut Sayyidah Nafisah memberitahu itu semua adalah kehendak dan izin Allah swt semata-mata.

Wanita Yahudi dan anaknya yang telah Islam itu kembali ke rumahnya dan bertemu pula dengan suaminya yang bernama Ayub. Dan dia sangat terkejut melihatkan anaknya telah boleh berjalan. Mendengarkan penjelasan dari isteri dan anaknya, Ayub menadah tangannya lalu berkata:

"Maha suci engkau ya Allah! Engkau sesatkan orang yang engkau kehendaki dan engkau beri petunjuk kepada sesiapa yang engkau kehendaki. Demi Allah, benarlah agamamu ini." 

Sejak itu Ayub dan keluarganya Islam, maka kemudian ramailah orang-orang Yahudi yang menjadi kenalan Ayub pula Islam, setelah mendengar kisah Ayub dan keluarganya. 

Demikianlah salah satu dari kisah yang sangat menyentuh perasaan bagaimana dengan air wudhunya sahaja Sayyidah nafisah telah mengislamkan berapa ramai orang. Hal yang demikian adalah dengan kehendak Allah swt jua. Sayyidah Nafisah adalah seorang yang terkenal zuhud dan mengasihi manusia yang lain. Pernah satu ketika, beliau menerima wang sebanyak 1000 dirham dari raja untuk keperluan dirinya. Beliau telah membahagikan wang tersebut kepada fakir miskin sebelum sempat memasuki rumahnya. Wang hadiah dari raja itu sedikit pun tidak diambilnya untuk kepentingan dirinya. Semuanya disedekahkan kepada fakir dan miskin. Demikianlah dermawannya sayyidah Nafisah terhadap fakir miskin.

Sayyidah Nafisah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 208 hijrah sewaktu sedang membaca Al Quran dan sedang berpuasa. Beliau telah dikuburkan di dalam kubur yang telah dibinanya sendiri di dalam rumahnya. Kubur yang dibinanya itu adalah untuk beliau sentiasa mengingatkan akan kematian. Sewaktu disembahyangkan sangat ramai orang yang menghadirinya. Sehingga kini maqamnya diziarahi oleh pengunjung dari seluruh pelusuk dunia. Demikian kehebatan yang Allah swt anugerahkan kepada Sayyidah Nafisah Al Hassan yang terkenal dengan kewarakan kepada Allah swt dan ketaatannya kepada suami. Semoga ianya menjadi contoh buat genarasi wanita akhir zaman ini.
Nota: Sumbernya dari laman web Jabatan Agama Islam Perak berakhir di sini.

Sayyidah Nafisah hidup pada masa yang sama dengan Imam Syafie. Keduanya saling menghormati. Diceritakan bahawa Imam Syafie meriwayatkan hadis dari Sayyidah Nafisah. Setiap kali berkunjung ke kediaman Sayyidah Nafisah, Imam Syafie dan pengikutnya sangat menjunjung tinggi adab dan sopan santun terhadap beliau. 

Setiap kali Imam Syafie tertimpa penyakit, beliau selalu mengirim utusan kepada Sayyidah Nafisah agar berkenan mendoakan kesembuhannya. Dan benar, setelah itu Imam Syafie mendapat kesembuhan. Ketika Imam Syafie tertimpa penyakit yang menyebabkan beliau wafat, Sayyidah Nafisah berkata kepada utusan Imam Syafie: "Semoga Allah memberikan kenikmatan kepada Syafie dengan melihat wajah-Nya yang mulia.” Bila perkataan Sayyidah Nafisah disampaikan kepadanya, Imam Syafie tahu yang ajalnya telah tiba. 

Ruang solat utama yang cantik.

Corak di silingnya juga cantik sekali.

Ada sebuah chandelier besar yang cantik dengan design Islamic geometric patterns pada siling.


Kombinasi corak geometrik dan motif tumbuh-tumbuhan, intertwined so beautifully and harmoniously. 

Deretan Al Quran atas rehal di bahagian di saf hadapan. 

Bukan saja corak pada silingnya cantik, tapi juga pada the beams as well.

Karpetnya juga indah dam lembut. 

Seterusnya kami dibawa Ustaz ke makam Sayyida Nafisah melalui satu koridor yang pada dindingnya ada lukisan dan puisi pujian mengenai Ahl al-Bayt.

Ahl al-Bayt adalah makna frasa, "Ahli Rumah" atau "Keluarga sebuah Rumah". Dalam tradisi Islam, istilah ini merujuk kepada keluarga Nabi Muhammad saw. Dan seperti saya nyatakan di atas, Sayyida Nafisah adalah cicit kepada Rasulullah saw.



Seterusnya kami dibawa masuk ke ruang makam. Ini pemandangan makam Sayyidah Nafisah dari sebelah ruang lelaki.


Di bahagian bumbung binaan makam ini dihias dengan barisan lampu-lampu hijau. 

Makam Sayyida Nafisah ini juga dipagar seperti dalam foto di bawah.

Pemandangan lebih dekat ke dalam Makam Sayyidah Nafisah. 

Suami Sayyidah Nafisah pernah berkeinginan untuk memindahkan makam beliau ke pemakaman Baqi’ di Madinah. Tetapi penduduk Mesir meminta suami Sayyidah Nafisah untuk tidak berbuat demikian kerana mereka ingin mendapatkan berkah darinya. Akhirnya, pada suatu malam suami Sayyidah Nafisah bermimpi bertemu Rasulullah saw. Baginda bersabda, “Wahai Abu Ishaq, janganlah kamu menentang keinginan penduduk Mesir, kerana Allah akan memberikan berkah-Nya kepada penduduk Mesir melalui Sayyidah Nafisah”.
Wallahu a’lam.

Ini pemandangan makam Sayyidah Nafisah dari bahagian wanita. Ada banyak bunga ros hidup diselitkan pada pagar makam. Kerana itulah ada orang yang menjual bunga ros di lorong masuk tadi.

Selesai dengan lawatan ke makam Sayyida Nafisah, kami pun beredar untuk ke lawatan seterusnya.

Hmm.. alahai.. apa comel sangat ni!? Terpaksa la berhenti kejap ambil gambar dia 😊.

Van jenazah yang kami nampak tadi. سيارت تكريم الانسان bermaksud 'car honoring human' atau lebih kurang 'kereta yang menghormati manusia'. Begitulah mereka menghormati orang yang meninggal. Jadi di sana tidak dipanggil van jenazah. 

Ok, saya kongsi sedikit lagi info tentang masjid ini as at today. Masjid/makam yang dianggap suci ini adalah salah satu tempat yang paling banyak dikunjungi di Mesir, menjadi tempat ibadat untuk orang ramai, terutama pada hari Ahad dan Khamis. Adalah juga satu adat for the locals untuk mengadakan upacara perkahwinan di sini. Setiap tahun pada ulang tahun kelahiran Sayyida Nafisah diadakan upacara mengingati beliau di mana ramai orang Mesir berkumpul di sekitar tapak pengebumiannya dalam perayaan oleh pelbagai kaum Sunni dan Shi'a hingga ke pagi. Memohon untuk berkah dan amalan pengantin mengelilingi tempat suci ini adalah juga adat penduduk tempatan Mesir.

Dah disebut tentang Shia, saya pun tertanya ada ramaikah orang Shia di Mesir? 90% rakyat Mesir adalah beragama Islam. Hampir keseluruhan adalah Sunni dengan minoriti Shia dan Ahmadi (tidak diiktiraf oleh Mesir). Islam telah diiktiraf sebagai agama negara Mesir sejak tahun 1980. Tidak ada bancian agama dibuat jadi sukar untuk dipastikan peratusan umat Islam di Mesir. Yang beragama Kristian pula dianggar ada antara 8% hingga 12%. 

Bersambung...

No photograph or videos may be reproduced, downloaded, copied, stored, manipulated, or used whole or in part of a derivative work, without written permission from Syed Amran. All rights reserved.

2 comments:

  1. panjang dan bestnya penerangan tentang sayeeda nefeesa
    thanks en syed!
    ni bukan copy paste kan? memang taip sendiri kan?

    yang kerusi yang berbaris tu tempat solat untuk mereka yang solat duduk ya?

    hai oren !!
    duduk sopan sikit lagi boleh tak ? nampak telor tu ! hahahhahaaaaaa

    ReplyDelete
    Replies
    1. Yang dari sumber laman web Jabatan Agama Islam Perak tu saya copy paste because it was very well written. Jadi saya rasa elok kongsi di sini as they are tanpa saya ubah dan edit.

      Betul. Or pehaps for others to rest as well.

      Hahahahaa... perasan tak he chose to lounge on the soft carpets instead of the lantai marmar... bukan main lagi.. hehehe..

      Delete