Friday, May 17, 2024

LABUAN - DAY 02 - MUZIUM LABUAN

Assalamualaikum.
Selepas melawat Muzium Marin Labuan, saya menuju ke Muzium Labuan pula.

Lokasi Muzium Labuan dari Muzium Marin Labuan tidak jauh, cuma lebih kurang 1 km atau 14 minit jalan kaki.

Berjalan kaki melalui Jalan Tanjung Purun di sebelah sebuah padang besar.


Walau pun masa itu panas terik, it was quite a lovely walk sebab laluannya teduh redup di bawah naungan pokok-pokok rendang. Ada disediakan public benches.

Kelihatan di hujung sana Labuan Financial Park.

Juga ada walkway berbumbung dibina untuk keselesaan penduduk Labuan.

Untuk ke Muzium Labuan saya passed by Labuan Financial Park.

Ini Labuan Financial Park Complex yang juga dikenali sebagai Kompleks Ujana Kewangan.
🔹Kompleks ini telah dilancarkan secara rasmi pada tahun 1996 bagi memudahkan pembangunan Wilayah Persekutuan Labuan sebagai Pusat Kewangan Luar Pesisir Antarabangsa (International Offshore Financial Center - IOFC).
🔹Sejak itu, ia telah menjadi pusat perniagaan dan hab gaya hidup dalam pusat bandar dinamik Labuan. Seluas 12 ekar, kompleks ini merupakan mercu tanda komersial bersepadu terbesar di pulau itu.
🔹Kompleks ini terdiri daripada gabungan kedai runcit, pusat beli-belah, menara pejabat korporat, pangsapuri perkhidmatan, restoran dan pejabat pos.
🔹Ia juga menempatkan dan menguruskan pangsapuri servis dan kondominium kelas atas.



Dari Jalan Tanjung Purun saya belok ke kiri dan masuk ke Jalan OKK Abdullah. 
Siapakah OKK Abdullah? Saya curious sebab kalau salah satu jalan besar yang penting di Labuan ini dinamakan sempena nama beliau, pastinya beliau adalah salah seorang tokoh penting Labuan. Lepas research, ternyata sangkaan saya benar. 
🔹Kee Abdullah ialah salah seorang pemimpin orang-orang Melayu tempatan ketika era penjajahan British di Tawau, Sabah. 
🔹Beliau bersama-sama Habib Sheikh, Imam Mustapa dan Serang Saman adalah pemimpin-pemimpin Melayu yang dilantik oleh Kerajaan British untuk bertugas di pejabat Residen Inggeris di Tawau semasa pemerintahan Syarikat Borneo Utara. Mereka adalah wakil orang-orang Melayu yang menduduki kerusi dalam Mahkamah Anak Negeri ( native court ) pada tahun 1922.
🔹Nama asal beliau sebenarnya ialah Kee Kim Swee. Setelah memeluk agama Islam, beliau memilih Abdullah sebagai nama Islam beliau dan seterusnya dikenali sebagai Kee Abdullah ataupun OKK Kee Abdullah. Berketurunan Sino Dusun dan dilahirkan pada tahun 1863.
Jika ada masa silalah baca lebih lanjut lagi tentang beliau di internet.

Ini bangunan Perbadanan Labuan.

Perbadanan Labuan merupakan pihak berkuasa tempatan yang mentadbir Wilayah Persekutuan Labuan, Malaysia. Ia merupakan suatu agensi pentadbiran yang bertindak dibawah perundangan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar. Ia bertanggungjawab secara kolektif dalam pelbagai aspek yang berkaitan dengan kesejahteraan dan kemandirian Wilayah Persekutuan Labuan.

Dari Jalan OKK Abdullah, saya masuk menyusuri Jalan Dewan atau di Labuan Walk ini. Cantik design bangunan Perbadanan Labuan ini.

🔹Tamu Labuan (bazar hujung minggu) dan Pasar Tani Labuan (pasar tani) berlangsung setiap Sabtu dan Ahad di Labuan Walk ini, yang lokaisnya betul-betul di belakang Muzium Labuan. 
🔹Pelbagai jenis produk pertanian, barangan keperluan harian dan kraftangan yang dihasilkan sepenuhnya oleh petani dan penduduk kampung tempatan boleh didapati di pasar-pasar ini. 
🔹Hasil segar yang dijual di Tamu Labuan/Pasar Tani Labuan termasuk sayur-sayuran, buah-buahan, ayam, daging lembu, kambing, puyuh dan makanan laut.



Dan saya pun tiba di Muzium Labuan.

🔹Muzium Labuan merupakan sebuah bangunan berkonsepkan kolonial yang dibina ketika era pentadbiran British di Labuan sekitar tahun 1950an sebagai Pejabat Pentadbiran British. 
🔹Pada tahun 1963, bangunan ini dijadikan Pejabat Daerah Labuan dan seterusnya sebagai Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Labuan pada era tahun 1980an.

🔹Bangunan ini kemudiannya telah dikosongkan oleh Majlis Perbandaran Labuan. 
🔹Pada tahun 1999, Jabatan Muzium dan Antikuiti (kini dikenali sebagai Jabatan Muzium Malaysia) berhasrat untuk membuka sebuah muzium mengenai sejarah Pulau Labuan. Lalu, bangunan ini telah dicadangkan dan dianggap sesuai untuk dibangunkan sebagai sebuah muzium oleh Majlis Perbandaran Labuan. 

🔹Jabatan Muzium Malaysia seterusnya mengambil alih bangunan ini dan memulakan kerja-kerja konservasi dan pengubahsuaian sebagai galeri pameran muzium yang mengambil masa kira-kira 32 minggu dan siap pada tahun 2001. 
🔹Kemudian, kerja-kerja penyelidikan dan pengisian teks, artifak dan grafik galeri pameran telah dilaksanakan bermula pada bulan Ogos 2001 sehingga selesai pada bulan September 2004. 

🔹Muzium Labuan dibuka secara rasmi pada 8 Oktober 2004 oleh YB Datuk Seri Dr. Rais Bin Yatim, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan ketika itu. 
🔹Galeri pameran Muzium Labuan mengkhusus kepada tema sejarah dan kebudayaan masyarakat di Wilayah Persekutuan Labuan.

Ok, jom kita lihat pameran yang ada dalam muzium ini.

Kita mulakan dengan pameran di Segmen Pengenalan di Aras Bawah ini.

Ada dipamerkan maklumat Kronologi Sejarah Labuan.

Sejarah Wilayah Persekutuan Labuan.
🔹Wilayah Persekutuan Labuan dengan keluasan 92 km², meliputi Pulau Labuan dan semua wilayah dalam lingkungan 4.8 km (3 batu nautika) darinya, termasuk Pulau Burong, Daat, Kuraman, Papan, Rusukan Besar dan Rusukan Kecil. 
🔹la terletak di Barat Laut pantai Sabah dengan kedudukan yang strategik di tengah-tengah wilayah Asia Pasifik. 
🔹Labuan yang mendapat namanya daripada perkataan "labohan" (pelabuhan) telah merakamkan pelbagai peristiwa bersejarah sejak berabad lamanya. 

🔹Penemuan artifak di Pulau Burong dan Pulau Enoe membuktikan Labuan pernah diduduki dan disinggahi oleh manusia sejak ribuan tahun yang lampau. 
🔹Orang Arab dipercayai telah mengetahui tentang pulau ini sekitar 1300 yang dikatakan sebuah wilayah yang kaya dengan emas, batu permata dan rempah. 
🔹Tradisi Brunei dan Sulu pula menyatakan Labuan pernah dijajah oleh Kublai Khan. la juga pernah menjadi sebahagian daripada Empayar Majapahit sebelum dikuasai oleh Kesultanan Brunei. Kuasa Portugis pula dikatakan pernah mendirikan kubu di Labuan pada abad ke-16, manakala orang-orang Inggeris menjadikannya tempat perlindungan dan stesyen perdagangan sementara pada tahun 1775.

🔹Pada 24 Disember 1846, Labuan diserahkan kepada kerajaan British oleh Sultan Brunei, Sultan Omar Ali Saifuddin II. 
🔹Labuan diisytiharkan pelabuhan bebas cukai pada tahun 1848, dan Inggeris mula membangunkannya dari segi ekonomi khususnya perlombongan arang batu dan perdagangan. 
🔹Pada 1 Januari 1890 atas permintaan Kerajaan British, pentadbiran Labuan diambil alih oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara British. Pejabat Tanah Jajahan British mengambil alih pentadbiran Labuan pada Januari 1906 dan pada tahun 1907 ia diserapkan ke dalam Negeri-Negeri Selat sebagai tanah jajahan British yang juga merangkumi Singapura, Pulau Pinang dan Melaka. 

🔹Pada Januari 1942, semasa Perang Dunia Kedua tentera Jepun menduduki Labuan dan menjadikannya pelantar melancarkan serangan ke seluruh Borneo. Bagaimanapun pada Jun 1945, Tentera Bersekutu diketuai oleh Tentera Divisyen ke-9 Australia telah membebaskan Labuan dan menjadikannya pangkalan bagi melancarkan gerakan ketenteraan untuk membebaskan seluruh Borneo. 
🔹Labuan kemudian diletakkan di bawah pentadbiran tentera British (BMA) sehingga 15 Julai 1946, apabila ia menjadi sebahagian Tanah Jajahan Mahkota Inggeris. 

🔹Pada 16 September 1963, bersama-sama dengan Sabah, Labuan menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia. Labuan diisytiharkan secara rasmi sebagai Wilayah Persekutuan pada 16 April 1984, dan seterusnya sebagai Pusat Kewangan Luar Pesisir Antarabangsa (IOFC) pada bulan Oktober 1990. 
🔹Pada bulan Julai 2001, Perbadanan Labuan telah dibentuk sebagai usaha memperkukuhkan potensi dan kedudukan WP Labuan sebagai pusat kewangan, perdagangan, perindustrian, persidangan, pelancongan dan rekreasi.

Labuan di bawah naungan pelbagai bendera.
🔹Di bawah kibaran Bendera Union Jack (1846-1889) 
🔹Di bawah kibaran Bendera Negeri-Negeri Selat (1826-1946)
🔹Di bawah kibaran Bendera Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (1881-1946)
🔹Di bawah kibaran Bendera Koloni Labuan (1912-1946) 

🔹Di bawah kibaran Bendera British (1946-1963)
🔹Di bawah kibaran Bendera Sabah (1963-1981)
🔹Di bawah kibaran Bendera Negeri Sabah (1981-1982)
🔹Di bawah Bendera Wilayah Persekutuan Labuan (1992-Kini) 

Ok, jom kita saksikan other exhibitions in this wonderful museum.
Sompoton, Parang, Suling, Tudung Duang, Gantang Tembaga, Cupak Tembaga, Bahai, Pida, Man Kalasam dan Teko berglazier hijau Dinasti Qing abad ke-19 




Era Pra Sejarah.


An amazing diorama.


Bahagian pameran Penemuan Arkeologi.
















Era Pemerintahan Kesultanan Brunei.




Peta yang menunjukkan Empayar Brunei dalam zaman pemerintahan keemasan Sultan Bolkiah (1485 - 1524 T.M).

Kesultanan Brunei sebagai Pusat Empayar dan Pusat Penyebaran Islam.
🔹Brunei merupakan sebuah daripada negara tertua di Alam Melayu yang mempunyai warisan sejarah yang bersaing dengan Palembang Tua (Srivijaya) di Sumatera, Sailendra di Jawa dan negara-negara tua lain seperti Perlak, Pasai, Demak, Melaka dan Acheh. 
🔹Kedudukannya yang baik dan kemakmuran negara menjadikan Brunei terkenal di kalangan ahli pelayaran dan pedagang yang menjadikannya tempat persinggahan berulang-alik di antara Semenanjung Arab, India, China dengan negara-negara di rantau ini sejak kurun ke-5 Masihi lagi. 
🔹Ketika zaman kegemilangan Empayar Brunei iaitu semasa pemerintahan Sultan Bolkiah (1485-1524 Τ.Μ.), Kerajaan Brunei menguasai bukan sahaja keseluruhan Kepulauan Borneo bahkan Kepulauan Filipina. 
🔹Semasa pemerintahan Sultan Muhammad Hassan, daerah takluk Empayar Brunei memanjang sehingga ke Tanjung Datu di Sarawak dan sebahagian besar timur sehingga Sibuku, Tanjung Kinungan dan segala pulau-pulau kecil serta perairannya. 
🔹Para pemimpin daerah-daerah ini telah menghantar ufti atau hadiah setiap tahun kepada Sultan Brunei. Kesultanan Islam dikatakan wujud di Brunei sejak akhir abad ke-15, iaitu apabila pedagang-pedagang membawa agama Islam dari Melaka. 
🔹Manakala dalam Tarsilah Brunei, agama Islam dikatakan menjadi agama rasmi Brunei dalam abad ke-14 dengan pengislaman Awang Alak Betatar (Sultan Muhammad Shah) sekitar 1368 T.M. Bagaimanapun menerusi catatan China dan batu-batu nisan tempatan, kedatangan Islam ke Brunei mungkin lebih awal. 
🔹Dalam zaman pemerintahan Sultan Muhammad Hassan, Hukum Kanun Brunei yang berlandaskan ajaran Islam telah dijadikan pegangan dan sumber hukum dalam perundangan.



Labuan di bawah Pemerintahan Kesultanan Brunei.
🔹Dalam Tarsilah Brunei, dinyatakan pada zaman pemerintah Sultan Muhammad Hassan, Pulau Labuan adalah sebahagian daripada negara Brunei. Orang-orang Brunei telah menetap di pulau inimenjadi nelayan atau bercucuk tanam turun temurun.
🔹Semasa pertelingkahan takhta Kerajaan Brunei, Pulau Labuan dikatakan pernah menjadi tempat mengasingkan diri Pengiran Muda Besar Abdullah ibnu Sultan Abdul Jalilul Akbar dan keluarga baginda.
🔹Malah semasa zaman pemerintahan Sultan Muhyiddin, kira-kira dalam 1685 T.M, utusan Sepanyol dari Manila yang hendak mengadap baginda ditempatkan selama enam bulan di Pulau Labuan sementara menanti persiapan penerimaan mengadap itu. 
🔹Kakitangan Syarikat Hindia Timur Inggeris yang lari dari Balambangan pada tahun 1775 T.M, hanya dapat berlindung di Labuan selepas mendapat perkenan Sultan Brunei iaitu Sultan Omar Ali Saifuddin I. 
🔹Bagaimanapun kekuasaan Brunei ke atas Labuan terlerai pada 18 Disember 1846 apabila Sultan Omar Ali Saifuddin II menandatangani perjanjian dengan Kapten G. Rodney Mundy yang menyaksikan Labuan diserahkan kepada British.


Era Pentadbiran Kerajaan British.





Upacara mengibarkan bendera British di Pulau Labuan pada 24 Disember 1846.


Pameran 'Pemandangan Sebuah Koloni Baru', 'Pendudukan Pulau Labuan oleh Kerajaan British' dan 'Labuan sebagai tanah jajahan British 1846-1890'.

Batu-batu pusara peringatan.



Pemandangan Sebuah Koloni Baru.
🔹Ilustrasi menunjukkan pemandangan tanah Jajahan baru British pada bulan Ogos 1848 di kawasan Ramsay Point, iaitu kawasan penempatan terawal di Labuan. 
🔹Kawasan tiang bendera di tepi pantai berkenaan adalah tapak majlis penyerahan Labuan kepada British. Berhampiran tiang bendera adalah sebuah rumah pengawal yang dibuat daripada kayu, iaitu bangunan kolonial pertama didirikan di Labuan selepas peristiwa penyerahan pada tahun 1846. 
🔹Di samping itu banglo-banglo kerajaan, rumah mandi, pejabat dan perigi turut didirikan di kawasan berkenaan untuk kegunaan Gabenor, pegawai-pegawal British dan tentera laut. 
🔹Sehingga Ogos 1848, tiada bangunan lain didirikan di Labuan kerana Pejabat Tanah Jajahan telah mengarahkan supaya kubu dan petempatan tidak dibina selain tidak membenarkan kemasukan peneroka. Ini untuk mengelakkan masalah yang pernah berlaku di Hong Kong apabila peneroka ghairah membina petempatan sehingga akhirnya menghalang pandangan dan laluan ke pelabuhan. 
🔹Kapal wap yang dilihat berlabuh di perairan tersebut adalah HEICS Phlegethon salah sebuah kapal perang British yang terkenal di Borneo.

Pendudukan Pulau Labuan oleh Kerajaan British.
🔹Tujuan utama British menduduki Labuan adalah untuk menjadikannya sebagai sebuah depot arang batu kepada kapal-kapal wap British, pangkalan menumpaskan lanun dan pusat entreport perdagangan di pantai barat laut Borneo. British sendiri sememangnya memerlukan sebuah pangkalan di antara Singapura dan China untuk melindungi laluan perdagangannya. 
🔹Selain peranan besar yang dimainkan oleh James Brooke, keputusan British menduduki Labuan turut dipengaruhi oleh desakan keras pedagang dan dewan perniagaan British, kebimbangan campur tangan kuasa asing lain khususnya Belanda dan Amerika Syarikat serta pembunuhan Raja Muda Hashim yang dianggap sahabat British pada Disember 1845. 
🔹Pada bulan Jun 1846, perubahan politik berlaku di Britain apabila kerajaan baru yang menyokong penubuhan tanah jajahan telah dibentuk, dan ia memberi kesan serta-merta ke atas pendudukan British di Labuan.
🔹Pada 24 Julai 1846, Lord Palmerston iaitu Setiausaha Negara bagi Hal-Ehwal Luar Negeri telah mengeluarkan perintah kepada Jabatan Angkatan Laut untuk mengasaskan tanah jajahan di Labuan. Kapten G. Rodney Mundy, pemerintah H.M.S Iris seterusnya telah diarahkan ke Brunei pada 25 November 1846 bagi mendapatkan surat penyerahan hak yang rasmi daripada Sultan Brunei sebelum Labuan diduduki. 
🔹Pada 18 Disember 1846, Sultan Omar Ali Saifuddin II dan Kapten Mundy menandatangani perjanjian penyerahan Labuan di istana Sultan. la diikuti majlis rasmi penyerahan Labuan kepada British di Labuan pada 24 Disember 1846, sekaligus menjadikan Labuan sebagai tanah jajahan British. 
🔹Untuk mengukuhkan kekuasaan dan mendapatkan pengawalan penuh ke atas perdagangan di Borneo dan Labuan, British telah menandatangani Perjanjian Persahabatan dan Perdagangan dengan Sultan Brunei pada 27 Mei 1847. Perjanjian yang mengandungi 12 Fasal tersebut telah mengesahkan pemilikan British ke atas Labuan, memberikan hak monopoli perdagangan kepada British dan jaminan daripada Sultan Brunei bahawa baginda tidak akan menyerahkan mana-mana wilayah kepada kuasa lain tanpa izin Kerajaan British. 
🔹Pendudukan Labuan telah memulakan dasar imperialisme British di Borneo dan melenyapkan terus hak kedaulatan Kesultanan Brunei ke atas Labuan.


Labuan sebagai tanah jajahan British 
🔹Selepas diserahkan kepada British, Labuan telah ditadbir oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris sehinggalah Kerajaan British mengambil alih sepenuhnya pentadbiran pada 22 Januari 1848 apabila James Brooke dilantik sebagai Gabenor pertama Labuan. 
🔹Pentadbiran awam pertama Labuan diwujudkan melalui pembentukan Majlis Perundangan bagi mengawal pentadbiran yang diketuai oleh Gabenor, dengan peruntukan perbelanjaan tahunan sebanyak £6,327. 
🔹Dasar kerajaan British yang menetapkan Labuan hendaklah ditadbir dengan peruntukan sekecil-kecilnya menyaksikan pegawai-pegawai kolonial termasuklah Gabenor dikehendaki memegang lebih daripada satu jawatan. 
🔹James Brooke tiba di Labuan pada 29 September 1847 bersama-sama Leftenan Gabenor William Napier, Hugh Low (Setiausaha Kerajaan), Spencer St. John (Setiausaha Sulit), John Scott (Jurutera dan Jurukur) serta Kapten Hopkins sebagai kumpulan pentadbir British pertama di Labuan. 
🔹James Brooke telah mengisytiharkan Labuan sebagai sebuah pelabuhan bebas dan dibuka kepada peneroka pada 1 Ogos 1848. la telah membawa kemasukan imigran Cina yang membuka perniagaan serta kawasan pertanian khususnya tembakau, lada hitam dan sagu. 
🔹Bandar Victoria mula dibangunkan bagi menggantikan kawasan petempatan awal di Ramsay Point dan Plain Road yang didapati tidak sesuai untuk kesihatan. Menjelang 1852, deretan kedai-kedai, kuarters dan Rumah Kerajaan siap dibina. 
🔹Perlombongan arang batu yang dimulakan di Coal Point pada tahun 1847 telah memberikan impak kepada ekonomi dan pertambahan penduduk Labuan dengan kemasukan syarikat-syarikat perlombongan British dan pekerja-pekerja lombong dari Borneo, Negeri-Negeri Selat dan Hong Kong. 
🔹Labuan turut berkembang sebagai pusat perdagangan dengan mengeksport arang batu, mutiara, madu lebah, lada hitam, sagu, gambir dan ikan ke Kepulauan Borneo, Singapura, Sulu dan Manila. 
🔹Sekitar 1867, pelabuhan Victoria telah menjadi pusat persinggahan kapal-kapal dari Hong Kong, Manila, Brunei, Betawi, Sulu dan Singapura. Pembangunan insfrastruktur berkembang pesat di antara tahun 1867 hingga 1875 semasa pentadbiran Gabenor Pope Hennessy dan H.E. Bulwer.
🔹Bagaimanapun menjelang tahun-tahun 1880-an Labuan mula menunjukkan kegagalan sebagai sebuah koloni yang diharap mampu menandingi Singapura. la gagal menjadi pangkalan arang batu berikutan kegagalan satu persatu syarikat perlombongan manakala hasil pendapatannya tidak mampu menampung perbelanjaan pentadbiran. 
🔹Perdagangannya mula merosot apabila kapal-kapal semakin jarang singgah di pelabuhan Victoria, selain menghadapi saingan daripada Sarawak. 
🔹Kekurangan kakitangan pentadbiran Eropah meruncing sehinggakan pada tahun 1888 hanya dua orang pegawai British yang mentadbir Labuan. 
🔹Di London, telah timbul cadangan agar petempatan di Labuan ditarik balik kerana membazirkan wang. Keadaan-keadaan tersebut menyebabkan pentadbiran Labuan akhirnya diserahkan kepada Syarikat Berpiagam Borneo Utara pada tahun 1890.


Rumah Kerajaan.

Sir James Brooke.

Sir John Pope Hennessy.

Sir Hugh Low.


Labuan di bawah pentadbiran Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (1890-1906) dan Negeri-negeri Selat (1907-1941)
🔹Pada 1 Januari 1890. Kerajaan British menyerahkan pentadbiran Labuan kepada Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (Chartered Company) berikutan situasi pentadbiran dan ekonomi Labuan yang bertambah buruk. Labuan ditadbir sama seperti Borneo Utara di bawah seorang Residen yang beribu pejabat di Sandakan, tetapi masih kekal sebagai sebuah tanah Jajahan British. 
🔹Chartered Company mula membangunkan kembali Labuan pada tahun 1894 dengan membina stesen kabel komunikasi bawah laut yang menghubungkan Labuan dengan Singapura dan Hong Kong. la diikuti pembinaan talian telegraf dari Labuan ke Sandakan pada tahun 1897. 
🔹Aktiviti pengeluaran dan eksport arang batu telah dimajukan dan disambung semula manakala landasan keretapi menghubungkan Victoria ke Tanjung Kubong siap dibina pada tahun 1893. Beberapa syarikat perlombongan telah meneruskan semula operasi perlombongan arang batu dengan syarikat seperti Central Borneo Company telah mendapat keuntungan memberangsangkan. 
🔹Bagaimanapun beberapa masalah dalaman telah timbul. Pada tahun 1896 para pegawal British dan penduduk di Labuan yang tidak berpuas hati terhadap pentadbiran Chartered Company kerana merasakan Labuan terabai telah menghantar petisyen kepada Menteri Tanah Jajahan di London meminta keadaan Labuan diperbaiki. 
🔹Pertelingkahan pula sering berlaku antara pegawal Chartered Company dengan pengurusan Eropah syarikat perlombongan arang batu. Malah Pejabat Tanah Jajahan telah memansuhkan Majlis Perundangan yang tidak berfungsi dan kekurangan ahli. 
🔹Chartered Company turut merasakan pentadbiran mereka ke atas Labuan tidak berbaloi kerana perlu merujuk segala keputusan dan undang-undang yang dibuat untuk Labuan kepada Kerajaan British di London untuk diluluskan. Kerajaan British akhirnya pada tahun 1904 telah memutuskan untuk mengambil alih Labuan semula.
🔹Pada 1 Januari 1906, Pejabat Tanah Jajahan mengambil alih semula Labuan dan ia diserapkan ke dalam Negeri-Negeri Selat menjelang 1907 sebagai sebahagian wilayah jajahan British. Taraf Labuan sebagai sebahagian daripada Negeri-Negeri Selat telah disahkan pada 1 Disember 1912 dengan M.S.H. McArthur menjadi Residennya yang pertama. 
🔹Labuan membangun dengan kadar perlahan dan masih kekal sebagai sebuah pelabuhan bebas. Sebahagian besar perbelanjaan tahunan Labuan telah dibantu oleh Singapura yang merupakan Ibu Pejabat Negeri-Negeri Selat. 
🔹Pada tahun 1941, Jumlah penduduk Labuan meningkal kepada 8,963 orang berbanding kira-kira 4,000 orang kelika pembentukan awal sebagai Negeri-Negeri Selat.

Sejarah perlombongan arang batu di Labuan 1847-1911.
🔹Penemuan arang batu di Labuan mula dilaporkan oleh Kapten Sir Edward Belcher pada Oktober 1844 dan kemudiannya telah mempengaruhi minat Kerajaan British untuk menduduki Labuan. 
🔹Perlombongan arang batu telah dimulakan oleh William Henry Miles yang mendapat kontrak membekalkan arang batu kepada Tentera Laut Diraja di Timur Jauh dari April 1847 hingga Julai 1849 dengan harga £1 bagi satu tan. 
🔹Perlombongan diteruskan sehingga 1912 oleh beberapa syarikat perlombongan British dengan pengeluaran terbaiknya pernah mencapal 5,000 tan seminggu. 
🔹Untuk selama tempoh hampir 65 tahun, sebanyak hampir setengah juta tan arang batu telah dilombong di Labuan, sebahagian besarnya di Tanjung Kubong selain kawasan Batu Arang, Merinding dan Sagumau.
🔹Dalam usaha mendapatkan kuantiti arang batu yang lebih banyak, kaedah perlombongan bawah tanah yang melibatkan pembinaan terowong dan syaf dimulakan pada tahun 1872 oleh Labuan Coal Company. 
🔹Pengeluaran arang batu Labuan telah mengalami peningkatan ketara selepas landasan keretapi yang menghubungkan Tanjung Kubong dan Bandar Victoria siap dibina pada tahun 1893. la memberi keuntungan kepada syarikat seperti Central Borneo Company yang dianggap paling berjaya dalam sejarah perlombongan Labuan. 
🔹Sebahagian besar arang batu yang dilombong adalah untuk dieksport khususnya ke Singapura selain untuk kegunaan kapal-kapal tentera laut. 
🔹Pekerja-pekerja lombong sebahagian besarnya adalah imigran Cina yang dibawa dari Singapura dan Hong Kong, kaum pribumi dari Brunei, Sarawak dan Tanah Melayu serta banduan-banduan yang dihantar dari India dan Hong Kong. 
🔹Bagaimanapun masalah kekurangan pekerja khususnya yang bersedia dan cekap bekerja di bawah tanah sering dihadapi syarikat perlombongan walaupun memiliki peralatan kerja mencukupi. 
🔹Syarikat-syarikat yang tidak cekap, membazir dan boros dengan ramainya pekerja Eropah yang bergaji tinggi, wabak malaria, kekurangan kemudahan asas, kegagalan mengatasi masalah air yang sering menyebabkan lombong dibanjiri air dan runtuh serta beberapa malapetaka yang menyebabkan kematian ramai pelombong bawah tanah telah menyebabkan aktiviti perlombongan arang batu telah dihentikan pada tahun 1912. 
🔹Pada tahun 1918, Labuan Exploration Company telah mendapat pajakan yang memberikan hak melombong arang batu Labuan, tetapi ia tidak menyambung perlombongan walaupun telah melakukan kajian geologi pada tahun 1919 dan 1920.

Dipamerkan pedang istiadat, cota, pisau cukur, topi pengurus lombong, bekas rokok, pemetik api, belanga dan bekas minuman keras pelombong, pelbagai saiz dan bentuk arang batu di Tanjung Kubong, batu-bata yang digunakan untuk membina chimney dan pealatan jentera perlombongan.

Turut dipamerkan:
🔹Wang kertas yang digunakan semasa pentadbiran Negeri-Negeri Selat (1906-1941).
🔹Wang kertas yang digunakan semasa pentadbiran British North Borneo (1946-1963).
🔹Duit syiling yang pernah digunakan semasa pentadbiran Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (1890-1906).
🔹Duit syiling yang digunakan semasa pentadbiran British North Borneo (1946-1963).
🔹Duit syiling yang pemah digunakan semasa pentadbiran Negeri-Negeri Selat (1906-1941).
🔹Setem terawal Labuan yang dikeluarkan pada tahun 1879.
🔹Setem-setem Bomeo Utara yang digunakan di Labuan bermula 1894. 
🔹Setem-setem Neged-Negeri Selat yang digunakan di Labuan sejak 1906.
🔹Tujuh denominasi setem Labuan yang berhiaskan kepala Ratu Victoria.
🔹Keluaran terakhir setemLabuan pada tahun 1902 dengan rekabentuk baru menggunakan lambang mahkota dan tulisan Labuan Colony.

Pameran Pembangunan fizikal Labuan di bawah pentadbiran British.

Seterusnya bahagian Era Perang Dunia Kedua.



Perluasan kuasa Jepun di Asia Tenggara
🔹Selepas muncul sebagai negara yang moden pada zaman (1840- 1912), Jepun menjadi kuasa tentera terkuat di Asia apabila golongan tentera menguasai politik Jepun pada lahun 1931. 
🔹Bagi mengukuhkan proses pemodenan ekonomi, Jepun berhasrat menakluki negara-negara Asla Tenggara bagi mengatasi masalah kekurangan bahan mentah. Untuk itu Jepun telah menyebarkan dua konsep propaganda: 'Asia Untuk orang Asia' dan 'Lingkungan Persemakmuran Besar Asia Timur' iaitu janji Jepun untuk memajukan ekonomi dan membebaskan negara-negara Asia Timur termasuk Asia Tenggara daripada penjajahan Barat. 
🔹Jepun juga telah melakukan pengintipan di seluruh Asla Tenggara untuk mengumpul maklumat keadaan muka bumi dan ciri-ciri strategik yang lain bagi memudahkan operasi ketenteraan dilancarkan. Pada tahun 1940 contohnya. Konsul Jepun di Sandakan, Taniguchi Takahashi telah melawat keseluruhan Borneo Utara, Brunei dan Sarawak untuk memilih tempat yang sesuai untuk angkatan tentera menyerang.
🔹Kemusnahan pertahanan udara dan laut Amerika di Pearl Harbour dan Manila telah membolehkan Jepun mara ke Asia Tenggara tanpa halangan. 
🔹Serangan ke atas Tanah Melayu bermula di Kota Bharu pada Disember 1941. Menjelang 15 Februari 1942 seluruh Tanah Melayu dan Singapura telah jatuh ke tangan Jepun apabila Jeneral A.E. Percival, Komander Tentera British di Singapura menyerah kalah kepada Jeneral Tomoyuki Yamashita, Komander Tentera Jepun.
🔹Jepun telah mara ke Borneo melalui pangkalannya di Cam Ranh, Vietnam. Miri ditawan pada 16 Disember 1941, diikuti Labuan dan Beaufort pada 1 Januari 1942. 
🔹British gagal mempertahankan Borneo Utara kerana kelemahan pasukan pertahanannya yang dianggotai oleh North Borneo Armed Constabulary dan juga Angkatan Sukarelawan Bersenjata (yang disertal oleh penduduk Bumiputera, India, Cina dan Eropah). 
Tambahan pula Borneo tidak mendapat perlindungan udara dan laut daripada Tentero Bersekutu yang sibuk menghadapi serangan Jepun di Tanah Melayu, Singapura dan tempat-tempat lain.

Pendudukan Jepun di Labuan.
🔹Pada 1 Januari 1942, Tentera Ke-37 Jepun diketuai oleh Leftenan Jeneral Masao Baba telah mendarat di Labuan yang menandakan bermulanya serangan ke atas Borneo Utara. 
🔹Residen Labuan, A.H.P. Humphrey telah menyerah tanpa tentangan dan Labuan jatuh ke tangan Jepun pada 3 Januari 1942. 
🔹Serangan Jepun ke atas Labuan sebagai sasaran pertama menggambarkan kedudukan Labuan yang strategik dari segi ketenteraan dan keselamatan, lantas ia dijadikan Jepun sebagai pelantar serangan ke seluruh Borneo. 
🔹Tentera Jepun dengan pantas membina sebuah landasan kapal terbang diperbuat daripada batu karang sepanjang 2,093 meter dan lebarnya 27 meter. la adalah landasan terbang yang pertama dibina di Borneo Utara dan digunakan sebagai pangkalan operasi Jepun di Borneo Utara. 
🔹Labuan turut dijadikan pusat sumber bahan api kepada tentera laut Jepun. Labuan telah ditukarkan namanya kepada Maedashima (Pulau Maida), sempena nama Panglima Tertinggi Tentera Jepun di Borneo, Jeneral Putera Maida. 
🔹Pihak berkuasa Jepun mengadakan undang-undang dan peraturan di mana panglima perang Jepun akan menjalankan pentadbiran serta pemerintahan. 
🔹Di bawah arahan tentera Jepun, semua urusan jual beli, pekerjaan, persekolahan dan lain-lain urusan harian mesti berjalan seperti biasa tetapi di bawah pengawalan yang ketat. 
🔹Semasa pendudukan Jepun (1942), penduduk Labuan dianggarkan seramai 4,000 orang dan setiap penduduk lelaki dikenakan cukai kepala berjumlah 6 dollar. Bagaimanapun, di sebalik cukai ini, perkhidmatan kerajaan seperti sekolah dan kesihatan merosot kerana kekurangan bekalan. Kekurangan makanan dan lain-lain barang keperluan amat teruk kerana import telah disekat. 
🔹Kehidupan ekonomi di Labuan terjejas teruk sepertimana dialami bandar-bandar lain di Borneo Utara.


Perkuburan Perang Dunia Kedua Labuan.



Foto-foto lama kemusnahan Labuan dalam Perang Dunia Kedua.







Seterusnya bahagian Era Pasca Perang.



Penyerahan kalah Jepun 10 Setember 1945.


Maklumat tentang Taman Damai - Peace Park. Taman ini sempat saya lawat ketika di Labuan ini.



Seterusnya ke bahagian 'Pameran Perkembangan Labuan Sebagai Sebuah Wilayah Persekutuan'.

Tokoh Agama, Syarif Kedah.


Dipamerkan juga 'Acara-acara Sempena Sambutan Penubuhan Wilayah Persekutuan Labuan', 'Personaliti Unggul Labuan', 'Tokoh-tokoh Masyarakat', 'Personaliti Sukan' dan Tokoh-tokoh Politik'. 


Pengisytiharan Labuan Sebagai Sebuah Wilayah Persekutuan.
🔹Cadangan meletakkan Pulau Labuan di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan pada mulanya diumumkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Harris Mohd. Salleh selepas mesyuarat Barisan Nasional di Kuala Lumpur pada 1 Ogos 1983. 
🔹Dewan Undangan Negeri Sabah telah bersidang pada 8 Mac 1984 untuk meluluskan Enakmen Wilayah Persekutuan Labuan, 1984. 
🔹Pada 16 April 1984, Wilayah Persekutuan Labuan ditubuhkan secara rasminya mengikut Akta Perlembagaan (Pindaan) 1984. 
🔹Persempadanan negeri Sabah telah diubah dengan mengeluarkan Wilayah Persekutuan Labuan, sebagaimana yang termaktub melalui peruntukan Perkara 3 dan Perkara 4 Perlembagaan (Pindaan) No. 2, 1984. 
🔹Labuan sebagai Wilayah Persekutuan akan terdiri daripada Pulau Labuan dan semua wilayah dalam lingkungan 4.8 km (3 batu nautika) dari pulau berkenaan, termasuk pulau-pulau Rusukan Besar, Rusukan Kecil, Kuraman, Burong, Papan dan Daat. 
🔹la akan ditadbir di bawah Kerajaan Persekutuan dan diletakkan di bawah kawalan Menteri serta Kementerian Wilayah Persekutuan (hari ini dikawal oleh seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri). 
🔹Sementara itu di Labuan tarikh 16 April 1984 menjadi tarikh bersejarah dan penuh bermakna kepada penduduknya. Di Padang Bandaran, ribuan penduduk Labuan menyaksikan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Dr. Mahathir b. Mohamad dan Ketua Menteri Sabah, YB Datuk Harris b. Mohd. Salleh menandatangani dokumen Perjanjian Labuan yang menukarkan status Labuan kepada sebuah Wilayah Persekutuan. Pelbagai acara dan majlis seperti Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional, perasmian Taman Damai di Layang-Layangan, pertandingan gasing serta perarakan tanglung.

Meja dan kerusi rasmi yang digunakan semasa menandatangani Perjanjian Labuan sebagai Wilayah Persekutuan Labuan pada 16 April 1984.

Pameran tentang tempat-tempat menarik, keharmonian, pembangunan dan pusat-pusat perniagaan Labuan.

Ok, jom kita naik ke Aras Satu pula.

Pameran Perkahwinan Tradisi Meayu Brunei.

Tempat-tempat menarik dan mercu-mercu tanda Labuan.

Pengenalan Kaum Melayu Brunei.



Replika rumah kaum Kadayan.





Diorama Kampung Air.

Ini adalah diorama Kampung Patau-Patau 2 yang juga sempat saya lawat ketika di Labuan.
















Selesai sudah lawatan saya di Muzium Labuan. Pada saya muzium ini walau pun tidak sebesar muzium-muzium negeri lain tapi ia sangat menarik dengan pelbagai pameran serta maklumat sejarah Labuan. 

Di depan muzium ini juga ada beberapa lagi pameran bersejarah.

Labuan dalam sejarah. 




Ada plak memorial di sini.
"This memorial commemorates General Maida Commander in Chief of the wartime Japanese forces in British Borneo who was killed in an aircrash at Bintulu on 5th September 1942 when en route to Labuan to open the airfield here. 
On 9th december 1942, Labuan was named Maida Island by the Japanese government. the memorial was made by order of General Tojo who passed through Labuan in July 1945".

Ada satu plak memorial di sini.












Till the next coming entry, inshaAllah. Meanwhile do take care.

No photograph or videos may be reproduced, downloaded, copied, stored, manipulated, or used whole or in part of a derivative work, without written permission from Syed Amran. All rights reserved.

No comments:

Post a Comment