Wednesday, December 18, 2019

MELAKA - HANG TUAH CENTER - PART 05 - PAMERAN DARURAT 1948 - 1960

Selesai round dalam Hang Tuah Center saya pun exit. Kebetulan di ruang legar ni ada Pameran Darurat 1948 - 1960. 

Jom kita tengok apa yang dipamerkan. 

Pameran ini bukanlah seperti pameran-pameran di dalam Hang Tuah Center tapi lebih kepada pameran ringkas seperti info boards with old photos and lots of texts. 

DARURAT DIISYTIHARKAN.
Pada hari ini dalam tahun 1948, Kerajaan Persekutuan, Tanah Melayu mengisytiharkan Darurat di Perak dan Johor. Perisytiharaan darurat ini adalah ekoran dari beberapa gerakan keganasan dan pemogokan yang telah dilancarkan oleh Parti Komunis Malaya (MCP) dalam usahanya untuk berkuasa di negara ini.

Pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada 1.2.1948 telah mengembalikan kedaulatan Raja-Raja Melayu, pemansuhan Malayan Union serta penyatuan sembilan buah Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu dan Negeri-negeri Selat ke dalam satu Persekutuan iaitu Persekutuan Tanah Melayu. Bagaimanapun, Persekutuan ini tidaklah memuaskan hati beberapa pihak penduduk di negara ini termasuklah beberapa buah pertubuhan politik seperti AMCJA (All-Malaya Council of Joint Action: Malayan Democratic Union, Malayan New Democratic Youth League dan Malayan People's Anti-Japanese Ex-Service Comrades Association), PUTERA dan Parti Komunis Malaya (MCP).

Dalam bulan Februari 1948, Persidangan Pemuda Asia Tenggara (Southeast Asian Youth Conference) dan Kongres Parti Komunis India (Congress of the Indian Communist Party) telah diadakan di Calcutta. Dalam persidangan dan kongres ini pengikut-pengikut komunis di kawasan-kawasan yang dijajah digesa supaya memperhebatkan perjuangan anti-imperilis. Ekoran daripada ini, hanya dalam beberapa bulan sahaja, pemberontakan komunis telah berlaku di Burma, Hyderabad, Filipina dan Tanah Melayu yang seolah-olah menunjukkan satu gerakan yang diselaraskan di Asia.

Dalam bulan Mac 1948, pucuk pimpinan baru (Jawatankuasa Pusat) Parti Komunis Malaya (MCP) yang diketuai oleh Chin Peng mengambil keputusan untuk melancarkan pemberontakan secara terbuka di Tanah Melayu mengikut taktik-taktik yang digunakan oleh Parti Komunis China yang sedang dalam proses mencapai kemenangan di China melalui tindakan ketenteraan. Pemberontakan ini adalah bertujuan untuk menubuhkan kerajaan Republik Komunis Tanah Melayu. Untuk mencapai matlamat ini, mereka telah melancarkan gerakan-gerakan keganasan dan beberapa pemogokan di seluruh negara bagi melumpuhkan ekonomi negara dengan merosakkan ladang-ladang getah dan lombong-lombong. Mereka membunuh pengurus-pengurus ladang dan lombong-lombong bijih, dan konraktor-kontraktor buruh, formen-formen dan pekerja-pekerja untuk mengganggu pengeluaran barang-barang dan merosakkan landasan-landasan keretapi serta alat-alat perhubungan dan pengangkutan yang lain.

Tindakan-tindakan mereka ini telah menimbulkan rasa takut di kalangan rakyat dan ancaman ekonomi kepada kerajaan. Untuk menjamin ketenteraman negara dan rakyat keseluruhannya, Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu, Sir Edward Gent telah mengisytiharkan darurat di seluruh negara. Bagi memudahkan pasukan keselamatan menjalankan gerakan-gerakan membenteras keganasan Parti Komunis Malaya itu, beberapa langkah telah diambil yang antara lainnya termasuklah pembesaran Pasukan Askar Melayu, penubuhan Jawatankuasa Kerja Perang, penubuhan perkampungan baru di bawah Rancangan Brigg's, perkhidmatan tentera yang dimestikan dan sebagainya yang semuanya bertujuan untuk membendung dan seterusnya menghapuskan kegiatan kegiatan Parti Komunis Malaya (MCP).

PENGHARAMAN EMPAT BUAH PERTUBUHAN POLITIK
Pada hari ini dalam tahun 1948, Kerajaan Persekutuan dan Singapura telah mengharamkan empat pertubuhan politik yang bergiat di negara ini. Pengisytiharan ini diumumkan melalui 'Siaran Khas' oleh Radio Malaya ke seluruh negara pada jam 6 petang.

Pertubuhan-pertubuhan tersebut terdiri dari Parti Komunis Malaya, Persatuan Bekas Ahli Bintang Tiga (MPAJA), 'New Democratic Youth League' dan Ikatan Pembela Tanahair (PETA) II.

Pengharaman keempat-empat pertubuhan ini dibuat setelah mendapati mereka bekerjasama dalam memberi bantuan kepada pengganas komunis. Bantuan ini termasuklah menyediakan kemudahan ketenteraan seperti tenaga manusia dan senjata. Keganasan semakin hebat apabila Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan pada 1.2.1948. Pembunuhan berlaku dengan berleluasa ke atas orang-orang Eropah, pasukan tentera, polis dan orang awam. Keadaan ini mencemaskan penduduk tempatan terutama yang tinggal di pinggir-pinggir hutan.

Pada 16 Jun 1948, tiga pegawai Eropah di Sungai Siput, Perak dan beberapa orang Cina di Johor telah dibunuh. Akibat dari ini Sir Edward Gent, Pesuruhjaya Tinggi mengisytiharkan Undang-undang Darurat di Daerah Ipoh, Sungai Siput, Perak dan bahagian tengah barat Johor pada 18 Jun 1948. Dari tarikh ini pihak komunis telah menjalankan keganasan yang lebih serius lagi. Mereka juga berharap dapat menjatuhkan kuasa kerajaan dan memerintah rakyat di sini.

Dari keterangan yang sah di atas, kerjasama yang erat antara pertubuhan-pertubuhan itu dalam merancang dan menjalankan gerakan-gerakan ganas yang menghuru-harakan negara, maka pada hari ini dalam tahun 1948, Kerajaan bertindak mengharamkan pertubuhan-pertubuhan politik kini. Pengharaman ini adalah satu langkah positif kerajaan membendung dan mengawal kegiatan-kegiatan ganas komunis dan kegiatan-kegiatan pertubuhan politik haluan kiri. Berikutan dengan pengharaman ini juga darurat telah diisytiharkan ke seluruh negara.

PMCJA DITUBUHKAN
Pada hari ini dalam tahun 1946, Pan Malayan Council of Joint Action (PMCJA) telah ditubuhkan untuk menentang perlembagaan dan pembentukan Persekutuan Tanah Melayu. Dalam bulan Ogos 1947, PMCJA telah menukarkan namanya kepada All-Malaya Council of Joint Action (AMCJA). Pertubuhan-pertubuhan yang bergabung dalam AMCJA kebanyakannya adalah berhaluan kiri seperti Pan-Malaya Federation of Trade Union, New Democratic Youth League, Malayan Democratic Union, Ex-MPAJA Comrades Association, Women Federation dan Malayan Indian Congress. Sepanjang riwayatnya yang singkat AMCJA telah dipimpin oleh Tan Cheng Lock sebagai Pengerusi dan John Eber sebagai Setiausaha.

AMCJA ditubuhkan selepas perlembagaan dan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu dibincang dan dirangka oleh pihak Inggeris, UMNO dan DYMM Raja-raja Melayu dalam satu sidang Pleno. Pada 12 Disember 1946, Kerajaan Inggeris mengumumkan bahawa perlembagaan tersebut telah selesai digubal dan akan disiarkan untuk mendapatkan pandangan dari orang-orang bukan Melayu. Maka pada hari ini dalam tahun 1946 pertubuhan-pertubuhan bukan Melayu telah menubuhkan AMCJA untuk menentang perlembagaan baru itu. AMCJA ingin menyatukan Singapura dan Tanah Melayu, mahukan sebuah negara berkerajaan sendiri dan juga kewarganegaraan yang sama. Kesemua ini adalah bertentangan dengan rangka perlembagaan yang diputuskan oleh Sidang Pleno Inggeris-Melayu.

Dalam bulan Januari 1947, AMCJA telah mendekati Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) untuk sama-sama menentang perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Hasrat AMCJA untuk bekerjasama dengan orang-orang Melayu akhirnya menjadi kenyataan bila PKMM bergabung dengan API, AWAS, GERAM dan Hizbul Muslimin untuk menubuhkan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) pada 22 Februari 1947. PUTERA kemudian bergabung dengan AMCJA.

Hasil daripada gabungan AMCJA-PUTERA ini perbahasan-perbahasan terbuka dan kempen-kempen telah berjaya diadakan di seluruh Tanah Melayu. Dalam bulan Oktober 1947 AMCJA-PUTERA telah mengeluarkan 'Perlembagaan Rakyat' (The People's Constitution) sebagai pengganti kepada Perlembagaan Persekutuan. Pada 20 Oktober 1947 mereka telah menganjurkan harta (mogok) yang hampir melumpuhkan keseluruhan jentera ekonomi dan pentadbiran Inggeris.

Sungguhpun begitu usaha AMCJA dan kemudian usaha AMCJA-PUTERA untuk menghapuskan perlembagaan yang digubal oleh Sidang Pleno Inggeris-Melayu itu menemui kegagalan. Perlembagaan yang digubal oleh Sidang Pleno mula berkuatkuasa pada 1 Februari 1948, bila Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan dengan rasminya. Dengan itu juga lenyaplah sejarah AMCJA.

PENGUASAAN PARTI KOMUNIS MALAYA KE ATAS TANAH MELAYU
PARTI Komunis Malaya (PKM) telah menguasai Tanah Melayu selama 13 hari. Selepas Jepun meninggalkan Tanah Melayu, pihak PKM telah menguasai balai balai polis dan pejabat-pejabat kerajaan. Semasa penguasaan ini, PKM telah menunjukkan kuasanya. Tangkapan-tangkapan ke atas orang-orang yang di katakan bersubahat dengan Jepun telah dilakukan. Serangan ke atas kampung-kampung di waktu malam seperti di Sungai Manik, Perak dan Pahang juga telah dilakukan. Pembunuhan penghulu dan pegawai daerah juga telah berlaku di Batu Pahat.

Keadaan ini menyebabkan orang melayu membalas tindakan itu sehingga berlaku pertumpahan darah. Kejadian yang paling teruk ialah di Batu Pahat di bawah pimpinan Kiai Salleh. Konflik antara PKM dan orang melayu ini berterusan sehingga kedatangan British Military Administration(BMA) pada awal September 1945.

GERAKAN KOMUNIS DAN PKM, 1920 - 1945
Pada tahun 1919, persidangan Antarabangsa Republik Soviet yang ke 3 telah membuat keputusan untuk menyebarkan fahaman komunisme di seluruh dunia. Satu pertubuhan bernama Comintern ditubuhkan di Moscow. Pada tahun 1930 Comintern mahu mempergiatkan kegiatan komunis di Tanah Melayu dan menubuhkan Parti Komunis Malaya.

Sejak penubuhannya PKM telah melancarkan beberapa kegiatan anti British seperti pergerakan bawah tanah, mogok, kebakaran harta benda, kegiatan ganas terhadap rakyat dan melumpuhkan ekonomi.

Semasa pendudukan Jepun, pengaruh PKM semakin meluas. Mereka mempelopori gerakan menentang Jepun dengan menubuhkan Tentera Anti Jepun Penduduk Tanah Melayu (MPAJA) atau popular dengan panggilan Bintang Tiga. MPAJA juga mencapai kata sepakat dengan British untuk bekerjasama melalui pasukan 136. Pihak British juga berjanji untuk membekalkan senjata, peralatan, wang dan tenaga pakar untuk melatih gerila. Keahlian MPAJA dianggarkan 10 ribu orang.

PENGENALAN
DARURAT mempunyai kaitan rapat dengan gerakan Parti Komunis Malaya (PKM). Ianya bermula pada tahun 1922 apabila ditubuhkan sebuah persatuan yang mempunyai elemen komunis di Singapura diberi nama "Tang Mei Hui". Pada tahun 1930 cawangan Parti Komunis ditubuhkan di Singapura dan kemudian dinamakan Parti Komunis Malaya (PKM). Sepanjang tahun 1942-1945, PKM telah bekerjasama dengan British untuk menentang Jepun. Pihak British telah membekalkan senjata dan memberi latihan gerila kepada anggota РКМ. Dengan itu, PKM menjadi lebih kuat apabila berjaya menambah bilangan regiman di beberapa buah negeri di Semenanjung Tanah Melayu. Pertubuhan MPAJA atau Bintang Tiga ditubuhkan dengan keanggotaan oleh orang Cina, Melayu dan India. Kedatangan semula British pada tahun 1946 telah mengiktiraf PKM sebagai parti yang sah. PKM diberi anugerah di London.

Pengenalan Malayan Union (MU) oleh British telah disokong oleh PKM, kerana dasar-dasar MU yang menguntungkannya. Bagaimanapun, tentangan orang Melayu telah menyebabkan British menarik semula MU dan memperkenalkan Persekutuan Tanah Melayu 1948. Ini mengecewakan PKM yang kemudian mengangkat senjata menentang British, UMNO dan Raja-raja Melayu.

Darurat telah diisytiharkan oleh British untuk mengawal gerakan militan PKM pada 18 Jun 1948, akibat pembunuhan 3 orang pengurus ladang getah berbangsa Inggeris di Sungai Siput, Perak. Pelbagai langkah telah diadakan terutama dalam rancangan Briggs untuk mengatasi pengaruh komunis. Pembukaan kerakyatan negeri dan persekutuan 1951 dan pengenalan pilihanraya 1951, 1954 dan 1955 telah memberi kedudukan politik yang tetap kepada penyokong-penyokong PKM.

Pembentukan Kampung Baru bagi setinggan ini juga berjaya mengawal kegiatan PKM. Anggota PKM berundur ke sempadan Thailand dan tidak lagi mengancam keselamatan. Pertemuan Baling 1955 yang dibuat oleh Ketua Menteri, Tunku Abdul Rahman juga dilihat sebagai satu kemenangan moral kabinet parti Perikatan dan British.

Melaka merupakan kawasan putih pertama diisytiharkan pada 3 September 1953. Darurat telah ditamatkan pada 31 Julai 1960 kecuali di sempadan Thailand.

OBJEKTIF
1. Memberi maklumat kepada umum berhubung salah satu peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Negara.
2. Menonjolkan beberapa individu yang mengalami sendiri suasana darurat.
3. Memberi kesedaran kepada golongan muda betapa pentingnya memelihara keamanan negara.






PARTI KOMUNIS MALAYA MEMBERONTAK (STRATEGI PKM)
KEGAGALAN AMCJA-PUTERA dalam menentang Persekutuan Tanah Melayu adalah satu tamparan bagi PKM. Peluang PKM untuk matlamat politik membentuk kerajaan juga gagal. Oleh itu PKM ada 2 pilihan iaitu melihat sahaja organisasinya dihancurkan begitu sahaja atau memilih untuk melawan secara pemberontakan. Pada bulan Mel 1948, PKM mengarahkan ahli-ahlinya bersifat lebih militan. Ahli-ahli PKM mula melakukan sabotaj ekonomi dan sebagainya.

Parti Komunis Malaya menetapkan perjuangan mencapai kemerdekaan mesti dengan cara peperangan. Revolusi rakyat mesti digerakkan tanpa tolak ansur walaupun melanggar undang undang. PKM menetapkan tiga peringkat perjuangan laitu menyerang kawasan sumber ekonomi penting Tanah Melayu, pondok-pondok polis dan kampung-kampung terpencil dan menyerang kawasan-kawasan yang lebih strategik seperti pekan-pekan serta memusnahkan sistem perhubungan.

Langkah-langkah ini akan terus diperjuangkan sehingga British dikalahkan dan republik komunis ditegakkan. Lau Yew, pengerusi Jawatankuasa tentera PKM membentuk pasukan tentera pada bulan Februari 1948 dan dikenali sebagai Tentera Anti-British Rakyat Tanah Melayu (MPABA). Jumlah kekuatan MPABA dianggarkan seramai 3,000 orang. MPABA kemudiannya ditukar kepada Tentera Pembebasan Berbagai Bangsa Tanah Melayu (MRCA) pada 1hb Februari 1949. Langkah ini diambil bagi menunjukkan perjuangan PKM melibatkan pelbagai kaum.





SABOTAJ KERETAPI OLEH PENGGANAS KOMUNIS
PADA hari ini 12.4.1956, pengganas-pengganas komunis telah meletupkan landasan keretapi di Tapah, Perak. Ini menyebabkan kegelinciran keretapi yang dahsyat dalam sejarah Darurat.

Letupan itu telah menyebabkan kepala keretapi dan 8 buah gerabak barang-barang tergelincir dari landasannya. Pihak komunis telah menggunakan dinamit untuk meletupkan 150 kaki landasan keretapi itu.

Walaubagaimanapun, tidak ada nyawa yang terkorban, hanya 3 orang mendapat kecederaan. Kerugian kepada pihak Kerajaan telah dianggarkan lebih dari RM 100,000.

Pengganas komunis telah melakukan pelbagai kerosakan, keganasan dan kacau bilau sepanjang tempoh darurat 1948-1960. Walaupun begitu perjuangan mereka tidak mendapat tempat di hati rakyat negara ini.

PENUBUHAN MAJLIS GERAKAN DARURAT
PADA hari ini dalam tahun 1956, Majlis Gerakan Darurat telah ditubuhkan dengan Tunku Abdul Rahman iaitu Ketua Menteri merangkap Menteri Pertahanan dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri menjadi pengerusinya. Ahli-ahli yang lain ialah Leftenan Jeneral Sir Geoffery Bourne, Col. H. S. Lee, Dato Abdul Razak, Encik V. T. Sambanthan, Mejar Jeneral E. S. Lindsay dan Encik A. H. P. Humphrey.

Majlis itu dibantu oleh satu jawatankuasa yang mengandungi penasihat-penasihat istimewa (termasuk Pengarah Pejabat Penerangan yang dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Turus.

Majlis itu telah melancarkan tindakan yang efektif dalam menentang pengganas komunis secara habis-habisan. Usaha utama Majlis itu ialah untuk menjelaskan kepada rakyat tentang usaha-usahanya kerana pada masa tu terdapat golongan yang kurang pasti terhadap usaha-usaha dan keupayaan kerajaan menentang komunis.
Majlis Gerakan Darurat telah berjaya dalam usahanya apabila segenap rakyat memberi kerjasama dan menerima hakikat bahawa komunis adalah musuh negara dan musuh mereka sendiri.

LANGKAH-LANGKAH MENGATASI DARURAT 1948-1960
ANCAMAN Parti Komunis Malaya (PKM) telah menyebabkan Darurat dilsytiharkan pada Julai 1948. Antara langkah-langkah untuk mengatasi ancaman PKM, British telah:
a) Pada tahap awal mengisytiharkan darurat, kerajaan British bertindak mengumpulkan penduduk-penduduk di kawasan setinggan yang disyaki membantu PKM. Seramai 25,000 daripada mereka ini telah dihantar pulang ke negara China.
b) Pada 1950, Rancangan Briggs diketuai oleh Sir Harrold Briggs telah dilancarkan. Tujuan rancangan ini ialah membenteras kegiatan pengganas komunis melalui dua strategi iaitu: "Menempatkan golongan setinggan di pinggir hutan ke kampung.-kampung baru yang terkawal. *Melancarkan Gerakan kelaparan kepada anggota-anggota Parti Komunis Malaya.
c) Memperluaskan angkatan pertahanan tempatan seperti Special Constables (SC), Home Guards (Pengawal-pengawal kampong) dan Pasukan-pasukan Sukarelawan.
d) Mengeluarkan surat kad pengenalan diri penduduk-penduduk kampong.
e) Mengadakan catuan makanan dan mengawal pergerakan penduduk.
f) Mengisytiharkan kawasan Hitam bagi kawasan yang masih mempunyai ancaman PKM dan Kawasan Putih bagi daerah atau kampong-kampong yang telah bebas daripada pengaruh PKM.

Tindakan-tindakan ini dapat melemahkan pengaruh PKM di kalangan penduduk. Di samping itu, British juga memperkenalkan pilihanraya kerajaan tempatan (bandaran) sebagai langkah melatih penduduk tempatan dengan konsep demokrasi dan pemerintahan sendiri secara beransur-ansur sebelum kemerdekaan diberikan. 

MELAKA DIISYTIHARKAN SEBAGAI KAWASAN PUTIH
PADA hari ini dalam tahun 1953 Jeneral Sir Gerald Templer, Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu telah mengisytiharkan Kawasan Putih yang pertama di Tanah Melayu. Kawasan ini terletak di Melaka yang meliputi kawasan seluas 221 batu persegi dan mempunyai penduduk seramai lebih kurang 160,000 orang termasuk dalam kawasan ini ialah Bandar Melaka, Merlimau, Melaka Tengah dan kawasankawasan di pantai Negeri Melaka.

Kawasan Putih merupakan kawasan yang telah bersih dari ancaman dan keganasan pengganas-pengganas komunis. Di dalam kawasan ini Undang-undang Darurat seperti sekatan-sekatan ke atas bahan-badan makanan, bekalan-bekalan penting dan perintah berkurung telah dilonggarkan dan dihapuskan. Sebaliknya Kawasan Hitam pula merupakan kawasan yang masih terdapat kegiatan-kegiatan komunis. Undang-undang Darurat dikenakan, dan bekalan-bekalan penting disekat dan dicatukan.

Tujuan utama Jeneral Gerald Templer memperkenalkan pembahagian kawasan ini ialah untuk memikat hati rakyat supaya memberi kerjasama dan bantuan dengan memberikan maklumat-maklumat kepada pasukan keselamatan. Dengan cara ini, penduduk-penduduk akan berusaha menjadikan kawasan masing-masing bersih dari pengaruh komunis seterusnya bebas dari sekatan-sekatan Undang-undang Darurat.

Kerjasama seperti ini pertama kalinya telah ditunjukkan oleh kira-kira 160,000 orang penduduk-penduduk di Negeri Melaka dan pada hari ini dalam tahun 1953 Sir Gerald Templer telah berkenan mengisytiharkan kawasan yang diduduki oleh mereka itu sebagai Kawasan Putih. Ini merupakan kawasan Putih yang pertama diisytiharkan sejak Undang-undang Darurat 1948 dikenakan. Dengan perisytiharan ini penoreh-penoreh getah dan petani-petani telah dibenarkan membawa makanan ke sawah-sawah tanpa menggunakan surat kebenaran, dan pemeriksaan oleh pegawal-pegawai keselamatan.

Berikutan dari perisytiharan ini, penduduk-penduduk di Tanah Melayu telah memberikan kerjasama dan bantuan sepenuhnya kepada pegawai-pegawai keselamatan. Keganasan semakin berkurangan dan Kawasan Hitam semakin banyak bertukar menjadi Kawasan Putih. Keadaan bertambah baik dan menjelang tahun 1954, komunis tidak lagi merupakan satu ancaman besar.

BRIGGS MENJADI PENGARAH GERAKAN MENENTANG PENGGANAS KOMUNIS
PADA hari ini dalam tahun 1950, Leftenan General Sir Harold Briggs dilantik sebagal Pengarah Gerakan menentang pengganas komunis. Beliau ditugaskan untuk merancang, menyelaras dan mengarah gerakan-gerakan anti pengganas yang sedang dijalankan oleh pasukan polis dan angkatan bersenjata.

Briggs yang berpengalaman luas dalam peperangan di Eropah dan Perang Jepun II mengemukakan rancangannya setelah dua minggu tiba di Kuala Lumpur dan setelah melawat dan bertukar pendapat dengan rakyat di kawasan-kawasan yang terlibat. Rancangan beliau ialah untuk mengasingkan musuh dari mendapat bekalan makanan dan maklumat risikan, memancing mereka ke kawasan pertempuran yang ditentukan oleh pasukan keselamatan, dan memberikan perlindungan kepada orang ramai yang terdedah kepada ancaman dan sebagai sumber maklumat dan bekalan makanan. Beliau menetapkan dengan jelas dan terperinci peranan pihak polis dan tentera dan menggunakan kedua-duanya untuk merancang dan menyelaras gerakan menentang komunis.

Briggs juga menubuhkan 'Kabinet Perang' di semua peringkat. Di peringkat atas ialah Majlis Perang Persekutuan (Federal War Council) yang terdiri daripada beliau sendiri, Ketua Setiausaha Kerajaan, Pesuruhjaya Polis, Pemerintah-pemerintah Angkatan Bersenjata dan Tentera Udara di Tanah Melayu. Di peringkat negeri pula terdapat Jawatankuasa Kerja Perang Negeri (State War Executive Committee-SWEC) yang terdiri daripada Menteri Besar/Ketua Menteri sebagai Pengerusi, Ketua Pegawal Polis dan Pemerintah tentera tempatan (negeri). Di setiap negeri juga ditubuhkan Jawatankuasa-Jawatankuasa Kerja Perang Daerah (District War Executive Committee - DWEC) yang dipengerusikan oleh Pegawal Daerah (British/Melayu) dengan ahli-ahlinya terdiri daripada Pegawai Kanan Polis dan Pemerintah tentera daerah 2.

Ketiga-tiga bahagian iaitu perkhidmatan awam, polis dan tentera disatukan untuk mengumpulkan maklumat risikan, merancang dan melaksanakan gerakan menentang musuh yang sama. Briggs hanya berada lapan belas bulan di Tanah Melayu dan terpaksa meninggalkan rancangannya kerana sakit dan kecewa dengan sikap kerajaan yang tidak memberikan kepadanya kuasa-kuasa eksekutif sepertimana yang dijanjikan sebelum beliau bersetuju menerima tugas dan Jawatan Pengarah Gerakan itu. Walau bagaimanapun, rancangan peninggalan beliau itu, Rancangan Briggs telah diteruskan oleh pengganti-penggantinya sehingga menghasilkan kejayaan 10 tahun kemudian apabila Darurat diisytiharkan tamat pada 31hb lulai 1960. Akibat yang nyata daripada Rancangan Briggs ini ialah wujudnya Kampung-kampung Baru Cina sebagai satu ciri penempatan yang kekal hingga kini.

KESAN-KESAN DARURAT
BANYAK kesan yang diakibatkan oleh pemberontakan komunis di Tanah Melayu. Dari segi ketenteraan didapati angkatan tentera Tanah Melayu berkembang pesat dari segi pembentukan batalion baru dan jumlah keanggotaan serta persenjataan. Bagaimanapun, darurat telah menyebabkan pembiayaan untuk operasi tentera meningkat menjadi 800 juta (US Dollar).

Kegiatan komunis juga menyebabkan banyak kemusnahan ladang-ladang, lombong, jalan raya dan lain-lain kemudahan awam. Darurat juga menyebabkan ramai yang terkorban, baik orang awam, gerila PKM dan anggota keselamatan.

90% ahli PKM terdiri daripada orang Cina. Manakala anggota keselamatan yang berjuang dipihak kerajaan kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu. Ini menimbulkan ketegangan kaum. Pihak British pula menggalakkan pemimpin Cina menubuhkan parti politik anti komunis dan akhirnya lahirlah MCA pada tahun 1949.

Rakyat juga pada amnya menghadapi banyak kesulitan akibat darurat. Mereka menghadapi tekanan daripada pihak PKM dan kerajaan. Sebelum kerajaan dapat mengatasi ancaman komunis, kehidupan rakyat di luar bandar amat perit. Catuan makanan, sekatan jalan raya dan lain-lain peraturan menyukarkan pergerakan. Sesetengahnya pula ditangkap kerana disyaki tanpa perbicaraan. PKM juga melakukan penculikan dan sesetengah mangsanya dibunuh.

KEGAGALAN RUNDINGAN BALING
PADA hari ini 29.12.1955. Rundingan Damai Baling berakhir tanpa mencapai apa-apa kejayaan. Rundingan damai di antara kerajaan dengan pihak komunis itu bertujuan untuk menamatkan darurat berikatan dengan tawaran pengampunan beramai-ramai kepada anggota-anggota Parti Komunis Malaya yang telah dibuat pada 9 September sebelumnya. Rundingan damai tersebut diadakan di Baling Kedah dan berlangsung di dalam empat sesi. Pihak kerajaan diwakili oleh Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra, Ketua Menteri Singapura, En. David Marshall serta Tan Cheng Lock. Manakala komunis diwakili oleh Ching Peng, Chen Tian dan Abdul Rashid Mydin.

Dalam rundingan itu Tunku Abdul Rahman telah menerangkan syarat-syarat berkaitan dengan pengampunan beramai-ramai dan tentang pergolakan politik negara ini. Beliau meyakinkan pihak komunis bahawa Tanah Melayu sedang di dalam perjalanannya ke arah mencapai kemerdekaan dan dengan demikian mereka mestilah menghentikan keganasan. Mengenai pengampunan beramai-ramai, mereka yang berbuat demikian tidak akan didakwa di atas apa-apa kesalahan bersabit dengan darurat yang dilakukan sebelum pengisytiharan pengampunan. Walau bagaimanapun kerajaan akan membuat penyiasatan ke atas mereka yang menyerah diri.

Mereka yang menunjukkan taat setia kepada kerajaan dan berhenti daripada sebarang aktiviti berkaitan dengan haluan komunis akan dibantu bagi mendapatkan kembali taraf dan kedudukan asal mereka di dalam masyarakat serta untuk berdamping semula dengan keluarga mereka. Bagi yang lain pula kebebasan terhad akan dikenakan. Akan tetapi jika ada di antara mereka yang ingin pergi ke negeri China, permohonan mereka akan diberi pertimbangan yang wajar.

Setelah dua hari berunding, wakil-wakil kerajaan menyedari bahawa komunis hanya berniat untuk mendapatkan kebebasan berpolitik tanpa apa-apa sekatan untuk mencapai cita-cita mereka. Maka dengan itu pada hari ini dalam tahun 1955, rundingan perdamaian di Baling itu ditamatkan tanpa mendapat sebarang persetujuan dari pihak komunis.

PERTEMUAN BALING
CHIN PENG (Setiausaha Agung PKM) telah menghantar surat kepada pemimpin-pemimpin parti politik sejak kempen pilihanraya 1955 supaya diadakan perundingan antara PKM dengan kerajaan. Tawaran ditolak dengan alasan cadangan tersebut hanya taktik PKM sahaja. Apabila Tunku Abdul Rahman dilantik sebagai ketua Menteri Tanah Melayu, beliau bersedia berunding untuk membincangkan syarat-syarat pengampunan. Rundingan-rundingan awal telah diadakan antara Chien Tien wakil PKM dengan I.S Waylle (Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Polis) di Klian Intan sebanyak tiga kali.

Rundingan awal ini membawa kepada perjumpaan di Baling pada 28 Disember 1955, bertempat di Sekolah Jenis Kebangsaan (Inggeris) Tunku Putera. Wakil-wakil daripada kerajaan ialah Tunku Abdul Rahman Putera, Tan Cheng Lock (MCA) dan David Marshall (Ketua Menteri Singapura). Wakil-wakil daripada PKM ialah Chin Peng, Chen Tien (Ketua Bahagian Propaganda) dan Rasyid Mydin. Perbincangan di adakan dalam 4 sesi selama 2 hari iaitu pada 28 dan 29hb disember 1955. Dalam perjumpaan itu Tunku Abdul Rahman menekankan tentang kesediaannya berjumpa dengan PKM bukan untuk berunding tetapi hendak menjelaskan syarat-syarat pengampunan. Chin Peng menolak kerana menganggap syarat-syarat tersebut tidak berbeza dari yang sebelumya. Chin Peng mahu PKM diberi status yang sama dengan parti-parti lain dan dibenarkan aktif mengikut perlembagaan. Dalam pengertian lain PKM mahu diiktiraf dan dianggap sah dari segi undang-undang. Tunku Abdul Rahman meminta PKM meletakkan senjata terlebih dahulu dan keluar dari hutan. Tunku Abdul Rahman juga mahu PKM menyatakan taat setia kepada Tanah Melayu terlebih dahulu dan bukan kepada negara lain. Beliau juga mahu PKM dibubarkan.

Pertemuan ini gagal mencapai matlamat untuk penyelesaian. Tunku berpendapat sememangnya PKM tidak boleh bekerjasama dan kerajaan mengambil keputusan untuk berperang habis-habisan. Syarat-syarat pengampunan juga ditarik balik pada 8 Februari 1956.

MESYUARAT TERTUTUP AHLI MAJLIS GERAKAN DARURAT
PADA 3 April 1956 telah berlangsung Mesyuarat Tertutup Ahli-Ahli Majlis Gerakan Darurat bagi membincangkan perkara-perkara yang bersangkut paut dengan keselamatan khususnya yang berhubung dengan ancamam komunis.

Seramai tujuh orang Ahli Majlis tersebut yang diketuai oleh Ketua Menteri Tunku Abdul Rahman telah bersetuju sebulat suara menyokong penolakan Ketua Menteri terhadap tawaran baru pihak komunis supaya membuat semula rundingan dengan mereka selepas kegagalan Rundingan Baling dahulu. Ahli-ahli Majlis juga merestui sikap tegas yang diambil oleh Ketua Menteri Tunku Abdul Rahman terhadap komunis.

Mesyuarat tersebut juga telah membincangkan perkara-perkara bagi mengatur cara-cara melancarkan gerakan yang lebih keras ke atas Ketua Komunis, Chin Peng dan kira-kira 2,800 anggota komunis yang cuba menimbulkan kekacauan di dalam negeri.

Dalam mesyuarat tersebut juga Ketua Menteri telah memberitahu Ahli-ahli Majlis bahawa masa untuk berunding dengan komunis tiada lagi, kerana itu Ahli-ahli Majlis hendaklah sama-sama berikhtiar mengemukakan cadangan-cadangan bagi menamatkan darurat dengan memaksa setiap anggota komunis menyerah diri ataupun dibunuh.

Dengan berlangsungnya mesyuarat tertutup tersebut pada hari ini dalam tahun 1956, beberapa perkara penting telah dapat dirumuskan dan telah menjadi senjata penting bagi menumpaskan komunis serta mengembalikan keamanan dalam negeri sehingga negara telah mencapai kemerdekaan dalam tahun 1957.

PERISTIWA BUKIT KEPONG
SERAMAI 25 orang anggota polis dan orang awam telah terkorban dalam pertempuran akibat serangan pengganas komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong di Muar, Johor. Di samping itu, 3 bangunan telah musnah iaitu Balai Penghulu, Balai Polis dan Berek Polis. Perwira-perwira yang terlibat telah mempertahankan balal itu sehingga ketitisan darah yang terakhir. Pengorbanan dilakukan oleh anggota-anggota polis dengan bantuan orang-orang kampung itu adalah pengorbanan yang tidak ternilai harganya. Orang-orang kampung dan anggota polis ketika itu boleh menyelamatkan diri mereka dengan menyerah diri kepada pihak komunis. Tetapi mereka telah berjuang terus untuk mendapatkan hak yang jauh lebih mulia dari nyawa mereka, iaitu mengekalkan kebebasan dan menyelamatkan negara.






























TAMATNYA DARURAT
PADA 31 Julai 1960 darurat dlisytiharkan tamat. Ini disebabkan berjayanya strategi kerajaan di dalam membendung pengaruh komunis terhadap penduduk Tanah Melayu. Walaupun kegiatan gerila berterusan namun ia tidak sehebat tahun 40 an dan 50 an. Pusat gerakan PKM berpindah ke Selatan Thai akibat tekanan hebat pasukan keselamatan Tanah Melayu. Kerajaan persekutuan juga telah memberi pengampunan sempena kemerdekaan yang dikenali sebagai "Pengampunan Kemerdekaan". Ramai gerila PKM mengambil kesempatan menyerah diri. Antara yang menyerah diri termasuklah Chow Fong yang kemudiannya menjadi orang perantaraan antara polis cawangan khas dengan ahli PKM yang berhasrat kembali ke pangkuan masyarakat.

Hasil usaha kerajaan Persekutuan memerangi komunis seluruh Johor dan Negeri Sembilan diisytiharkan kawasan putih pada bulan Januari 1959. Darurat diisytiharkan tamat pada 31 Julal 1960, kecuali di sempadan Thailand.






I know, banyaknya nak dibaca.. hehe.

Lepas baca I can't help but felt sangat bersyukur. Juga marilah kita sedekahkan Al-Fatihah kepada mereka yang terkorban.

Bersambung...

No photograph or videos may be reproduced, downloaded, copied, stored, manipulated, or used whole or in part of a derivative work, without written permission from Syed Amran. All rights reserved.

1 comment:

  1. Ayo Cobain Sensasi Bermain Promo Freechip Tanpa Deposit... Join Disini Sekarang Kumpulan Berbagai Macam Permainan Taruhan Online Terbaik, Kunjungi Website Kami Di Klik Disini dan Dapatkan Bonus Terbaru 8X 9X 10X win klik disini untuk mendapatkan akun Sabung Ayam anda dan Bonus Berlimpah.

    ReplyDelete