Assalamualaikum.
Lepas selesai jalan-jalan di Tanjung Kubong Labuan Chimney Walking Trail, kami masuk ke Muzium Chimney pula sebelum pergi makan tengahari.
Berikut adalah maklumat dari jmm.gov.my/ms/muzium/muzium-chimney
🔴Muzium Chimney merupakan sebuah muzium tapak yang mempamerkan mengenai sejarah Tanjung Kubong dan sejarah perlombongan arang batu di Labuan pada sekitar tahun 1847 sehingga tahun 1911.
🔴Muzium ini yang dahulunya dikenali sebagai Pusat Informasi Chimney telah siap dibina pada tahun 2000 dan dibuka secara rasmi pada 26 Oktober 2002 oleh Allahyarham YB Senator Datuk Seri Panglima Mohamed bin Omar Beledram yang mewakili Ahli Parlimen Labuan.
Objektif muzium ini:
🔴Mengumpul, menyelidik, mendokumentasi, memulihara dan memelihara warisan sejarah di Labuan terutamanya di kawasan utara Labuan yang memiliki banyak tapak dan monumen bersejarah.
🔴Menjadi salah satu institusi pendidikan tidak formal masyarakat dan pusat rujukan penyelidikan yang menyebarluas, mengangkat dan melestarikan warisan, sejarah dan budaya tempatan.
🔴Memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan memelihara warisan dan sejarah negara khususnya di Labuan.
🔴Menjadi salah satu produk pelancongan sejarah tempatan dan seterusnya di Malaysia dan luar negara.
🔴Pelbagai koleksi artifak era perlombongan arang batu di Labuan diperagakan di muzium ini yang sebahagian besarnya diperolehi daripada aktiviti ekskavasi arkeologi di tapak Menara Chimney dan eksplorasi di kawasan sekitarnya.
🔴Antara koleksi menarik di muzium ini ialah spesimen arang batu dan batuan geologi yang berusia jutaan tahun, bekas candu, pelbagai bentuk artifak seramik yang pernah digunakan oleh para pelombong, tinggalan komponen-komponen lokomotif keretapi pengangkut arang batu yang pernah beroperasi di Labuan serta jumpaan pelbagai jenis batu bata asal Menara Chimney yang sebahagian besarnya dihasilkan pada kurun ke-19 oleh kilang pengeluar jenama terkenal Inggeris di Scotland dan syarikat perlombongan arang batu di Labuan.
Bahagian Pengenalan.
Ada pameran Geoheritage of Kampung Bebuloh Deep Marine Deposit.
PENGENALAN
🔴Kompleks Sejarah Chimney merangkumi dua komponen di tapak bersejarah Chimney, iaitu bangunan Pusat Informasi Chimney dan Menara Chimney.
🔴Pusat Informasi Chimney berfungsi sebagai sebuah muzium tapak yang mempamerkan sejarah awal Tanjung Kubong, sejarah perlombongan arang batu Labuan sejak 1847 dan sejarah Chimney, sebagai gambaran pentingnya kawasan utara Labuan ini dari segi sosio- ekonomi lebih seabad yang lampau.
🔴Pembinaan Pusat Informasi Chimney bermula pada 25 Januari 2000 dan siap pada 29 Ogos 2000.
🔴Rentuk bangunan dua tingkat ini mengambil senibina sebuah bangunan sekolah zaman kolonial di WP Labuan.
🔴Chimney pula adalah bukti peninggalan aktiviti perlombongan arang batu di Tanjung Kubong yang telah lebih seabad.
🔴Menara ini telah dibaikpulih melalui kerja-kerja konservasi oleh Jabatan Muzium Dan Antikuiti bermula Oktober 1997 dan siap pada Oktober 1999, dan dianggap antara kerja konservasi paling berisiko pernah dilakukan di Malaysia.
🔴Semua aspek sejarah, fizikal dan perlaksanaan kerja-kerja konservasi Chimney akan dipamerkan di Pusat Informasi Chimney.
🔴Objektif utama penubuhan Kompleks Sejarah Chimney adalah untuk memulihara warisan sejarah di kawasan utara WP Labuan, khususnya Tanjung Kubong yang memiliki banyak tapak bersejarah.
🔴la juga akan menambahkan bilangan produk pelancongan di kawasan ini di samping tarikan-tarikan sedia ada seperti Taman Burong, Manikar Beach Resort, Pantai Pohon Batu, Terowong-Terowong Bekas Perlombongan Arang Batu, Bukit Kubong, kawasan perkampungan nelayan dan sebagainya.
Warisan geologi Pantai Tanjung Layang-Layangan.
Di bahagian ini ada maklumat tentang Sejarah Awal Perlombongan Arang Batu Labuan.
Juga ada pameran Tempat-tempat Menarik di Tanjugn Kubong.
SEJARAH AWAL TANJUNG KUBONG
🔴Menurut cerita tempatan nama Tanjung Kubong berasal daripada haiwan kubong yang dikatakan banyak menghuni kawasan tanjung berkenaan.
🔴Tanjung Kubong memainkan peranan penting dalam sejarah Labuan kerana simpanan arang batunya menjadi antara sebab mendorong Inggeris menduduki pulau ini.
🔴Bermula daripada tahun 1847, syarikat-syarikat perlombongan Inggeris silih berganti mengeksploitasi sumber arang batu di Tanjung Kubong yang lebih dikenali ketika itu sebagai Coal Point.
🔴Untuk mengangkut arang batu ke bandar Victoria, sebuah pelabuhan kecil iaitu Raffles Anchorage telah dibina diikuti pembinaan landasan keretapi pada tahun 1890-an.
🔴Sebuah bandar dinamakan Edwardes Town juga pernah didirikan di kawasan ini.
🔴Hari ini Tanjung Kubong kekal menjadi tapak bersejarah terpenting Labuan dengan kekalnya beberapa monumen seperti Chimney, terowong-terowong dan syaf perlombongan arang batu.
ARANG BATU DAN JENIS-JENIS ARANG BATU
🔴Arang batu ialah sejenis batu mendak yang terhasil daripada tumbuh-tumbuhan purba yang telah mengalami suhu dan tekanan tertentu sehingga bentuknya menjadi keras dan pejal.
🔴Kebanyakan arang batu berasal daripada lapisan tumbuhan purba zaman Karboniferus.
🔴Arang batu mengandungi tiga jenis bahan utama iaitu air, volafile dan karbon.
🔴Arang batu bermutu tinggi mengandungi karbon yang sangat tinggi, iaitu antara 90 hingga 95 peratus dan mengandungi peratusan air dan volafile yang sangat sedikit.
🔴Arang batu bermutu rendah mengandungi kandungan karbon kurang daripada 50 peratus dan lebih banyak mengandungi air dan volafile.
🔴Terdapat empat jenis arang batu berdasarkan mutunya.
🔴Arang batu anterasit adalah arang batu paling tinggi mutunya dan menghasilkan banyak haba apabila dibakar.
🔴Arang batu bitumen paling banyak dihasilkan di dunia dan menjadi sumber kuasa kenderaan seperti kapal dan keretapi.
🔴Arang batu lignit dan arang batu gambut adalah jenis arang batu bermutu rendah, menghasilkan banyak asap dan sedikit haba.
SEJARAH PERLOMBONGAN ARANG BATU DI LABUAN
🔴Kewujudan arang batu di Labuan mula dilaporkan oleh Captain Sir Edward Belcher pada tahun 1844, yang kemudiannya menarik minat kerajaan British untuk menduduki pulau ini.
🔴Perlombongan arang batu di Labuan dimulakan oleh William Henry Miles, yang mendapat kontrak membekalkan arang batu kepada Tentera Laut Diraja Timur Jauh dari April 1847 hingga Julai 1849.
🔴Perlombongan diteruskan sehingga tahun 1912 oleh beberapa buah syarikat perlombongan Inggeris, dengan pengeluaran terbaiknya pernah mencapai 5000 tan seminggu.
🔴Selama tempoh hampir 65 tahun, sebanyak hampir setengah juta tan arang batu telah dilombong di Labuan, yang sebahagian besarnya di Tanjung Kubong selain kawasan Batu Arang, Merinding dan Segumau.
🔴Arang batu di Labuan digunakan sebahagian besarnya oleh kapal-kapal wap dan turut dieksport.
🔴Kaedah perlombongan arang batu di Labuan dimulakan dengan menggali lapisan permukaan, khususnya di pinggir pantai (opencast mining) sebelum perlombongan bawah tanah (underground mining) diperkenalkan.
🔴Perlombongan bawah tanah dimulakan pada 1860-an dengan pembinaan terowong dan syaf apabila lapisan permukaan beransur-ansur habis dan kurang berkualiti kerana bercampur tanah liat dan kotoran.
🔴Pekerja-pekerja lombong sebahagian besanya adalah imigran cina yang dibawa dari Singapura dan Hong Kong, kaum pribumi dari Brunei, Sarawak dan Tanah Melayu serta banduan-banduan yang dibawa dari India dan Hong Kong. Pekerja-pekerja cina biasanya akan melakukan kerja-kerja perlombongan di bawah tanah.
🔴Walau bagaimanapun, masalah kekurangan pekerja, masalah buruh seperti rusuhan di kawasan perlombongan, penularan penyakit, ketidakcekapan pengurusan dan
saingan daripada bahan api minyak telah menyebabkan syarikat-syarikat perlombongan gagal beroperasi secara optimum dan kemerosotan pengeluaran arang batu sehingga membawa kepada terhentinya kerja-kerja perlombongan arang batu di Labuan pada tahun 1912.
🔴Tetapi, sebab utama adalah kegagalan mengatasi masalah air yang sering menyebabkan lombong dibanjiri air dan runtuh.
🔴Hari ini, hanya Menara Chimney, tinggalan terowong-terowong dan syaf serta bekas tapak bangunan dan pusara peringatan British yang masih tinggal sebagai bukti wujudnya aktiviti perlombongan di Tanjung Kubong suatu ketika dahulu.
🔴Senarai Syarikat Perlombongan Arang Batu Labuan/ List of the Coal Mining Companies in Labuan
🔺Eastern Archipelago Company (1849-1868)
🔺Labuan Coal Company (1868-1876)
🔺Oriental Coal Company (1877-1879)
🔺W.C. Cowie (British North Borneo (Chartered) Company) (1880-1882)
🔺Central Borneo Company (1889-1898)
🔺Labuan & Borneo (Chartered Company) Co. Ltd. (1898-1900)
🔺Labuan Coalfields Company Ltd (1902-1911)
🔴Sebuah syarikat iaitu The Amalgamated China Steamship and Labuan Coal juga dikatakan pernah melombong di Labuan di antara tahun 1865-1866.
🔴Manakala daripada tahun 1883 hingga 1888 perlombongan arang batu di Tanjung Kubong telah terhenti kerana ketidakcekapan pentadbiran syarikat perlombongan dalam menangani pelbagai masalah di tapak perlombongan.
Dalam muzium ini juga ada pameran diorama.
Ini adalah sebahagian daripada peralatan kerja melombong arang batu yang ditemui di tapak terowong Bukit Kubong.
Ini pula adalah tinggalan roda gerabak keretapi yang pernah beroperasi di Labuan.
Ini replika sebuah keretapi pengangkut arang batu di Tanjung Kubong.
Ini diorama suasana dalam terowong perlombongan arang batu.
Satu lagi diorama dalam terowong arang batu.
Terdapat juga beberapa poster keratan surat khabar tentang chimney dan pembinaan chimney.
Juga pameran foto-foto semasa kerja-kerja pemuliharaan chimney.
Terdapat juga maklumat tentang terowong-terowong lombong arang batu di Labuan: Terowong No. 1 hingga No. 7.
🔴Terowong nombor 1 dikenali oleh penduduk tempatan sebagai Lubang Gantang. Terowong ini yang berupa syaf dengan kedalaman yang dianggarkan ratusan kaki dipercayai adalah satu pintu masuk/laluan ke terowong-terowong yang menghala ke lombong bawah tanah di kawasan berkenaan. Ukuran garis pusat terowong ialah 3 meter. Dinding terowong/syaf sebelah dalam terdiri dari lapisan batu kapur dan tanah liat kaolin yang ditebuk atau dikorek. Oleh kerana telah lama tidak digunakan dan faktor cuaca serta persekitaran, dasarnya telah tertimbus yang kemungkinan mempunyai kedalaman melebihi 30 meter.
🔴Terowong nombor dua terletak di pantai Tanjung Kubong dengan ukuran garis pusatnya adalah 1 meter. Permukaan terowong ini telah ditutupi oleh timbunan tanah dan akar-akar kayu. Bahagian dinding sebelah dalam terowong terdiri daripada lapisan tanah liat yang digali. Terowong tersebut terletak di tanah rendah di kawasan belukar di pesisir pantai dengan kedudukan tidak menegak sebaliknya mempunyai kecerunan lebih 45 darjah ke arah pantai. Terowong ini yang berbentuk syaf diyakini sebagai sebuah lubang udara atau jalan masuk ke terowong yang menganjur ke dasar laut bagi memudahkan perolehan arang batu di bawah paras laut.
🔴Terowong nombor tiga mempunyai kelebaran 2.4 meter dan ketinggian muka terowong setinggi 2.3 meter. Pintu terowong berkedudukan di sebelah timur dan arah lubang terowong menjunam ke dasar ke arah barat. Terdapat air di dalam terowong yang mempunyai jarak 6.3 meter dari permukaannya. Bagaimanapun, kedalaman sebenar tidak diketahui kerana menghadapi kesukaran dan bahaya untuk meneruskan kerja-kerja pengukuran seterusnya. Pintu lubang terowong sebahagiannya juga tidak dapat dikesan kerana telah tertimbus oleh runtuhan tanah bukit. Terowong ini terletak di pinggir puncak bukit. Persekitaran kawasan terowong no.3 tidak mempunyai tanda-tanda runtuhan bangunan lama atau kesan-kesan arang batu.
🔴Terowong nombor empat ditemui berhampiran dengan terowong nombor tiga dengan jarak antara satu sama lain lebih kurang 23.7 meter. Pemukaan pintu terowong ini menghala ke barat dan permukaan bahagian dalam terowong ini terdiri daripada lapisan arang batu. Lubang terowong menghala ke bahagian dalam dan menuju ke arah bukit dengan jarak 27.3 meter.
🔴Terowong nombor lima terletak di tengah cerun puncak Bukit Merinding. la mempunyai kelebaran 4 meter dan panjang 5.9 meter. Kedalaman hingga ke dasar tanah ialah 10.3 meter. Pembinaan terowong adalah hasil tebukan dan korekan tanah liat dan lapisan batu arang. Permukaan atas pintu terowong terdiri daripada timbunan tanah liat manakala di lapisan bawahnya terdiri dari kepingan batu bercampur lapisan arang batu. Memandangkan kedalaman terowong ini ditebuk dengan terdapat kesan-kesan arang batu, kemungkinan terowong ini dibina untuk mencari arang batu di kawasan berkenaan. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan tujuan pembinaan terowong ini sebenarnya dan pembinaan laluan tramway sama ada untuk mengangkut keluar batu arang dari kawasan berkenaan kerana tidak terdapat kesan-kesan menunjukkan landasan atau laluan tramway.
🔴Terowong nombor enam terletak di Kampung Ganggarak kira-kira 108 meter dari Jalan OKK Daud. Muka terowong mempunyai kelebaran 3 meter dan ketinggian 1 meter ke dasar tanah. Kedalaman sebenar terowong tidak diketahui kerana pintu masuk ditimbusi oleh tanah. Pintu masuk terowong menghadap ke timur dan kedudukan terowong pada kaki Bukit Merinding dan dikelilingi oleh belukar tebal.
🔴Terowong nombor tujuh lebih menyerupai terowong nombor satu dari segi fungsi iaitu sebagai pintu masuk ke rangkaian terowong bawah tanah kerana terdapat beberapa bekas binaan di sekitar terowong ini yang dipercayai digunakan untuk menurun atau menaikkan pekerja lombong dan hasil perlombongan. Terowong ini berbentuk segiempat tepat dengan lebar 1.8 meter dan panjang 4.7 meter. la diperbuat daripada batu-bata sepenuhnya dan mempunyai kedalaman 45 meter, iaitu yang terdalam daripada semua terowong yang telah ditemui di Tanjung Kubong.
Di depan muzium ini ada pameran kecil permainan tradisional tempatan.
🔴Permainan Tradisional juga dikenali sebagai Permainan Rakyat.
🔴Ada antara permainan ini yang sekarang tidak dimainkan lagi tetapi hanya diketahui oleh ibu bapa dan datuk nenek kita sahaja.
🔴Tetapi ada juga yang masih dimainkan lagi oleh kanak-kanak sehingga hari ini. Di antara permainan itu termasuklah Congkak, Wau, Batu Seremban, Sepak Raga, Gasing, Main Getah, Ketinting dan lain-lain lagi.
🔴Menurut Kamus Dewan, Permainan Tradisional merujuk kepada permainan budaya yang sudah diamalkan oleh sesuatu masyarakat untuk satu tempoh yang tertentu.
Terompah Gergasi.
Zero Point.
Ok, jom ke naik ke tingkat satu muzium ini.
🔴Di galeri aras satu, mempamerkan sejarah serta keunikan Menara Chimney yang sehingga kini fungsi sebenar pembinaannya masih mengundang misteri.
🔴Beberapa hipotesis menyatakan antaranya menara ini berfungsi sebagai sebuah cerobong bagi pengudaraan lombong-lombong bawah tanah yang terletak di persekitarannya, cerobong pembakaran batu bata, cerobong peleburan besi, rumah api, menara loceng malahan teori yang signifikan dengan kewujudannya adalah sebagai sebuah mercu tanda ketika era kegemilangan perlombongan arang batu di Labuan.
🔴Terdapat juga hipotesis yang menyatakan bahawa Menara Chimney merupakan menara telekomunikasi yang dibina sewaktu zaman pemerintahan British.
🔴Turut dipamerkan adalah pelbagai artifak jumpaan ekskavasi arkeologi di tapak Menara Chimney dan proses-proses kerja Konservasi Menara Chimney yang dilaksanakan pada tahun 1997 hingga 1999.
Satu lagi set info Sejarah Perlombongan Arang Batu di Labuan.
Sebahagian daripada batu bata asal yang digunakan untuk membina Chimney.
Dawai, kepingan dn paku besi yang dimasukkan di antara lapisan bata untuk tujuan mengukuhkan struktur batu bata.
CHIMNEY MENITI ABAD
🔴Chimney merupakan satu daripada beberapa peninggalan bersejarah di Tanjung Kubong yang terletak kira-kira 12 km ke utara pusat bandar.
🔴Dikenali oleh masyarakat tempatan sebagai punil, ia adalah mercu tanda bersejarah terkenal dan unik di WP Labuan.
🔴Fungsi sebenar bangunan Chimney masih belum dapat dipastikan walaupun banyak andaian tentangnya.
🔴Ramai menyangka ia adalah tempat pengalihan udara untuk terowong bawah tanah, tetapi kerja-kerja ekskavasi mendedahkan tidak terdapat sebarang struktur terowong di bawahnya.
🔴la juga tidak mungkin sebuah cerobong asap seperti namanya kerana tidak dijumpai sebarang kesan pembakaran pada dinding dalam.
🔴Sebahagian menyatakan ia adalah sebuah rumah api berdasarkan kedudukannya di tanah tinggi dan pernah terdapat sebuah pelabuhan di kawasan pantai Lubok Temiang suatu ketika dahulu.
🔴Cerita tempatan pula menyebut ia sebagai menara loceng untuk memaklumkan ketibaan kapal.
🔴Andaian bahawa Chimney adalah sebuah mercu tanda lebih mudah diterima kerana tapak persekitarannya adalah pusat utama perlombongan dan pengumpulan arang batu di Tanjung Kubong sebelum diangkut ke pelabuhan atau ke bandar Victoria.
🔴Jadi sebuah mercu tanda adalah perlu untuk menandakan signifikan kawasan ini kepada aktiviti perekonomian sekitar.
🔴Tambahan pula kawasan Chimney adalah penghujung landasan keretapi Labuan dan ini menggambarkan betapa sibuk dan aktifnya kawasan ini ketika itu.
🔴Malah Chimney dipercayai dibina pada penghujung 1890-an, iaitu selepas siapnya landasan keretapi ke Tanjung Kubong, kerana sistem pengangkutan yang berkeupayaan diperlukan untuk mengangkut ribuan batu-bata dan bahan binaan Chimney ke kawasan tersebut.
DESKRIPSI FIZIKAL CHIMNEY
🔴Chimney yang berketinggian kira-kira 32.5 meter (106'-6") merupakan satu struktur binaan daripada batu-bata berbentuk segiempat menjulang tinggi dan terdapat lubang di dalamnya.
🔴Terdapat dua pintu berbentuk melengkung atau gerbang setinggi 2.2 meter masing-masing menghadap ke barat dan selatan.
🔴Kedua-dua gerbang ini berfungsi sebagai pemecah angin yang melindungi bahagian tapak Chimney daripada tiupan angin kuat.
🔴Chimney dibina seluruhnya menggunakan ribuan batu-bata merah yang tidak dilepa dengan susunan dan rekabentuk bata corak Inggeris.
🔴Jumlah untuk lapisan permukaan sahaja dianggarkan lebih 23,000 biji batu-bata.
🔴Kerja-kerja ekskavasi mendapati tapak dasar bangunan didirikan di atas tanah kaolin dengan kedalaman kira-kira satu meter. Ini dianggap mengkagumkan kerana tanpa penggunaan cerucuk seperti kaedah pembinaan hari ini, Chimney tetap kukuh binaannya.
🔴Rel-rel besi yang mengikat bangunan berfungsi menahan rekahan dan memberikan tekanan berat yang mengukuhkan bahagian tapak Chimney, manakala puncak bangunan diletakkan kepingan besi yang memberikan kekuatan kepada bahagian atas Chimney.
Bahan-bahan tambahan ini juga dianggap "aksesori" yang memberikan nilai artistik kepada Chimney.
Jumpaan arkeologi berbentuk seramik dan kaca di tapak Kompleks Sejarah Chimney.
Jumpaan arkeologi berbentuk logam di Kompleks Sejarah Chimney.
Jumpaan arkeologi dalam pelbagai bentuk di Kompleks Sejarah Chimney.
ARTIFAK-ARTIFAK JUMPAAN KERJA-KERJA EKSKAVASI ARKEOLOGI DI TAPAK CHIMNEY
🔴Hasil daripada kerja-kerja ekskavasi arkeologi, puluhan artifak telah dijumpai.
🔴Sebahagian besarnya adalah peralatan jentera seperti kain gasket, bol dan nat, spanar gulungan besi, bekas peralatan bateri, wayar dan sebagainya serta peralatan pertukangan seperti baji, mata tukul, penyodok, paku dan serpihan kayu.
🔴Turut dijumpai adalah bahan kegunaan harian seperti botol-botol dan pecahan seramik khususnya pinggan mangkuk, yang dipercayai digunakan oleh pelombong-pelombong Cina.
🔴Jumpaan sebahagian besar peralatan kejenteraan merumuskan runtuhan struktur bangunan bersebelahan Chimney adalah sebuah bekas rumah janakuasa yang membekalkan kuasa kepada kawasan perlombongan, atau juga ia adalah sebuah tempat penyimpanan arang batu sebelum dipunggah ke gerabak keretapi.
🔴Daripada kerja-kerja ekskavasi ini juga dapat diketahui dan dikaji bagaimana tapak dasar Chimney dibina, yang memudahkan kajian struktur bangunan dilakukan seterusnya.
KERJA-KERJA EKSKAVASI ARKEOLOGI DI TAPAK CHIMNEY
🔴Ekskavasi merupakan satu proses kerja carigali menggunakan kaedah yang sistematik dan saintifik untuk mendapatkan artifak yang tertanam di bawah tanah, laut, runtuhan dan seumpamanya sebagai bukti sejarah dan kebudayaan manusia.
🔴Kerja-kerja ekskavasi di tapak Chimney bertujuan untuk mengkaji perkaitan Chimney dengan kawasan persekitarannya, mencari artifak- artifak di bawah tanah untuk mendapatkan bukti-bukti sejarah kawasan, serta mengenalpasti runtuhan struktur bangunan di kawasan berkenaan.
🔴Perlaksanaan kerja-kerja ekskavasi ini bermula daripada 14 November 1997 hingga 29 Mei 1998 dan mempunyai signifikannya kerana ia adalah yang ketiga dilakukan di Labuan selepas kerja ekskavasi arkeologi di Pulau Burong dan Pulau Enoe pada tahun 1960 oleh Mr. Tom Harrisson, Kurator Muzium Sarawak ketika itu.
PROSES KERJA-KERJA EKSKAVASI ARKEOLOGI DI TAPAK CHIMNEY
🔴Seluruh aktiviti ekskavasi dilaksanakan dalam jangka masa 26 minggu, dengan bilangan kotak bersaiz 2 x 2 meter sebanyak 136 buah telah dicari gali.
🔴Penentuan kotak-kotak gali dilakukan dengan memasang grid pada keseluruhan permukaan tapak dan berdasarkan grid-grid yang telah dibuat, kotak-kotak dipilih secara rambang untuk dicari gali.
🔴Teknik ekskavasi ini dinamakan sistem grid. Deretan grid/kotak dari Barat ke Timur menggunakan urutan abjad A hingga Z, sementara deretan kotak Utara ke Selatan menggunakan urutan angka 1 hingga 50.
🔴Setiap kotak diberikan kod seragam, contohnya LBU31V.
🔴Kedalaman galian berbeza daripada 0.20 meter hingga 4.25 meter.
🔴Kerja-kerja ekskavasi menggunakan peralatan kecil yang tidak merosakkan seperti cangkul, penyodok, berus, penukul dan pahat / baji yang dilakukan keseluruhannya secara manual.
🔴Sepanjang perlaksanaan kerja-kerja ekskavasi, kerja merekod dilakukan mengikut kedalaman dan jumpaan tertentu, sama ada secara mencatat atau membuat penggambaran.
Artifak yang dijumpai di Tapak Pusat Informasi Chimney.
Artifak yang ditemui di sekitar Bukit Kubong, dipercayai tinggalan daripada pekerja-pekerja lombong.
Sebahagian artifak yang digunakan oleh pelombong Cina di Tanjung Kubong.
Pelbagai bahan seramik yang dijumpai di kawasan pantai dan bukit di persekitaran Tanjung Kubong.
PROSES KONSERVAS CHIMNEY: PERINGKAT AWAL PERSIAPAN)
🔴Sebelum perlaksanaan kerja-kerja fizikal, kerja-kerja kajian dan analisis seperti kajian struktur dan material bangunan, survey dan pengukuran bangunan, analisis makmal, ujian daya tahan tanah, kajian senibina yang menggabungkan kepakaran konservator dan jurutera dilakukan.
🔴Gabungan hasil kajian akan dirumus dan didokumentasikan agar dapat dikenalpasti kaedah perlaksanaan kerja-kerja konservasi.
🔴Seterusnya setiap dinding permukaan Chimney akan dipasang grid menggunakan tali dengan ukuran setiap grid adalah 1 m x 1m.
🔴Untuk itu Chimney dibahagikan kepada Dinding A (Timur), B (Utara), C (Barat) dan D (Selatan) dan perancah didirikan sehingga ke puncak.
🔴Setiap grid akan dilabel dengan nombor kod, contohnya A10a atau D45c.
🔴Ini diikuti pengambilan gambar berskala yang dilakukan gridemi grid.
🔴Selepas dicetak, gambar akan diproses menggunakan sistem pengkomputeran sepenuhnya dengan perisian AutoCAD.
🔴la akan diimbas, dicantum dan diberi skala seterusnya dijadikan lukisan teknikal dinamakan Historical Architecture Building Survey (HABS).
🔴Gambar skala ini akan dijadikan rujukar. kepada perancangan kerja-kerja konservasi, contohnya mengenalpasti kadar dan jenis kerosakan, struktur binaan dan sebagainya.
🔴Kerja-kerja awalan diakhiri dengan proses mencatat kerosakan batu-bata yang dilakukan secara manual grid demi grid berpandukan gambar-gambar berskala yang telah disiapkan.
🔴Ini akan menjadi rujukan untuk menentukan keadaan fizikal keseluruhan Chimney dan apakah langkah serta teknik yang perlu direncanakan. Keseluruhan proses ini mengambil masa sehingga lima bulan untuk disiapkan.
PROSES KONSERVASI CHIMNEY: PERINGKAT PERTENGAHAN
🔴Kerja-kerja fizikal Chimney dimulakan dengan membersihkannya daripada lumut, parasit dan tumbuhan kecil.
🔴Sebahagian besar pencucian menggunakan air biasa dan berus, manakala bahan kimia seperti larutan ammonia, HYVAR XL, Aceton, Thinner digunakan untuk batu-bata yang sukar dibersihkan.
🔴Ini diikuti komponen kerja terpenting iaitu kerja-kerja penggantian dan pembaikian batu-bata sama ada secara teknik dismantling bagi batu-bata yang pecah, retak dan terhakis atau pembinaan semula bagi batu-bata yang hilang atau runtuh.
🔴Kerja- kerja mengeluarkan batu-bata rosak dilakukan dengan cermat secara memahat perlahan-lahan. la dilakukan lapisan demi lapisan dimulakan dari bahagian bawah sebelum batu-bata baru dipasang.
🔴Ketika sampai ke grid 47, besi-besi rel pengikat mula dilepaskan.
🔴Batu-bata baru yang digunakan ditempah khas agar menyamai saiz dan komposisi batu-bata asal.
🔴Pada beberapa tempat batu- bata asal yang masih elok turut digunakan.
🔴Bagi tujuan pengukuhan, bahan penguat seperti kepingan besi, paku dan dawai turut dipasang bersekali dengan batu-bata baru.
🔴Setelah selesai kerja-kerja penggantian, Chimney sekali lagi dibersihkan menggunakan air dan cement remover yang dilakukan dari puncak ke bawah.
🔴Campuran bahan kimia farmy plus dan air suling disembur ke dinding Chimney untuk memelihara Chimney daripada ditumbuhi kulat atau parasit.
PROSES KONSERVASI CHIMNEY: PERINGKAT SIAP
🔴Selesai dibersihkan, kerja-kerja pemasangan besi-besi rel pengikat dilakukan menurut kaedah pemasangan yang asal.
🔴Kemudian pemasangan grid dilakukan semula sebagaimana sebelumnya.
🔴Seterusnya kerja-kerja mengambil gambar-gambar berskala dilakukan sekali lagi dan perlu melalui proses yang sama untuk menghasilkan lukisan teknikal Chimney selepas selesai kerja-kerja konservasi.
🔴Sebelum perancah diturunkan secara berperingkat, alat perintang kilat dipasang di puncak Chimney.
🔴Di bahagian dalam Chimney, dipasang tangga jenis stainless steel bagi memudahkan kerja-kerja penyelenggaraan.
🔴Kerja-kerja konservasi Chimney selesai keseluruhannya pada bulan Oktober 1999.
🔴Kejayaan memulihara Chimney bukan sekadar satu kebanggaan kepada Jabatan Muzium 🔴Dan Antikuiti, malah seluruh penduduk WP Labuan kerana sebuah monumen bersejarah dan unik yang pada awalnya tidak ramai yang yakin mampu bertahan lebih lama kerana keuzurannya, akhirnya mampu diperteguhkan kembali.
KERJA-KERJA KONSERVASI CHIMNEY
🔴Konservasi merupakan kerja-kerja membaikpulih semula monumen atau tapak tanah bersejarah kepada senibina dan bahan-bahan binaan sehampir atau seasli mungkin dengan keadaan asal pembinaan dahulu.
🔴Sebagai sebuah monumen bersejarah dan mercu tanda terkenal di WP Labuan, Jabatan Muzium Dan Antikuiti telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan kerja-kerja konservasi ke atas Chimney yang pada peringkat awalnya berkeadaan begitu uzur dan rosak.
🔴Sebahagian besar batu-bata di permukaan telah sama ada pecah, retak, terhakis atau jatuh disebabkan faktor cuaca, pengaruh angin, gerakan tanah dan tumbuhan mikrobiologi/parasit, manakala besi-besi rel pengikat pula telah reput dan hampir tanggal.
🔴Kerja-kerja konservasi telah dimulakan pada tahun 1997 dan hanya dapat disiapkan dua tahun kemudiannya kerana proses kerja yang rumit dan kompleks selain perlu dirancang dan dilaksanakan menurut prosedur yang teliti dalam usaha mengekalkan keaslian rekabentuk, bahan dan teknologi binaannya.
🔴Setiap peringkat kerja pula perlu dicatat dan didokumenkan selaras dengan prinsip dan perundangan kerja-kerja konservasi di peringkat antarabangsa.
🔴Faktor cuaca, risiko keselamatan yang tinggi serta bahan-bahan binaan yang perlu diperolehi melalui tempahan khas turut menjejaskan kelancaran kerja.
Pelbagai peralatan kejuruteraan perlombongan yang ditemui di tapak Kompleks Sejarah Chimney.
Till the next coming entry, inshaAllah. Meanwhile do take care.
No photograph or videos may be reproduced, downloaded, copied, stored, manipulated, or used whole or in part of a derivative work, without written permission from Syed Amran. All rights reserved.
No comments:
Post a Comment